HOKI – SUKAN ASIA 2022

PADA mulanya terbit rasa geram melihat skuad hoki lelaki negara gagal mengaut peluang terhidang depan mata untuk merakamkan kemenangan lebih besar ke atas barisan kerdil, Indonesia.

Tetapi, beberapa jam selepas tamat perlawanan dengan kemenangan 9-2 dalam saingan Kumpulan B, satu perkhabaran yang sedikit melegakan menyusul buat ketua jurulatih, A Arulselvaraj dan anak didiknya.

Ini kerana juara lima kali Sukan Asia, Korea Selatan yang dilabel pencabar utama untuk menghalang impian Speedy Tigers daripada menjuarai kumpulan itu, tiba-tiba kecundang secara mengejut kepada tuan rumah, China, 2-3.

Pemain mendengar taklimat daripada pihak pengurusan pasukan sebelum turun ke gelanggang menentang Indonesia di Hangzhou, semalam (28 September).

Jadi, perkembangan terkini itu juga menceritakan kemaraan skuad negara ke separuh akhir bukan sahaja bertambah cerah, malah mampu mengelak pertembungan awal dengan India.

India – pemenang Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, bulan lalu dijangka menjuarai Kumpulan A dan kemaraan mereka ke kelompok empat terakhir itu semakin menjadi satu realiti selepas menewaskan juara bertahan, Jepun 4-2, semalam (28 September) untuk merakamkan tiga kemenangan berturut-turut.

Bagi Speedy Tigers, mereka berjaya melunaskan sasaran awal untuk menang tiga perlawanan pertama ke atas pasukan yang ranking lebih rendah. Selain Indonesia, mereka membelasah Oman 11-1 dan Thailand 9-0 dalam perlawanan pembukaan.

Kini, Korea Selatan yang bakal ditemui pada 30 September dan China (2 Oktober) dijangka akan memberi ujian sebenar kepada skuad bimbingan Arulselvaraj.

Kebetulan pada hari sama, penulis sempat berbual dengan ketua jurulatih lelaki dan wanita Indonesia, Muhammad Dharma Raj Abdullah dari Hangzhou.

Bekas ketua jurulatih Malaysia itu mengibaratkan skuad Speedy Tigers kini mendapat ‘2 nyawa’ untuk muncul juara kumpulan.

“Jika Malaysia dapat menewaskan Korea Selatan bererti lawan itu dianggap sudah tersingkir. Pemain anda juga tidak akan terasa tekanan dan cuma perlu seri apabila menentang China untuk mengesahkan sebagai juara Kumpulan B.

“Tetapi jika kalah kepada Korea Selatan, mereka perlu lebih waspada kerana peluang ke separuh akhir buat ketiga-tiga pasukan ini akan menjadi terbuka. Jadi, tiga mata wajib dimenangi apabila berdepan China nanti.

“China pasti akan bermain mati-matian di hadapan penyokong mereka untuk memburu pingat di laman sendiri,” katanya kepada Apa Khabar TV menerusi perbualan Whatsapp.

Ketua jurulatih skuad hoki Indonesia, Dharma Raj (gambar kecil) percaya Malaysia ada ramuan untuk muncul juara kumpulan.

Apapun, Dharma anggap Korea Selatan memiliki barisan lebih berkualiti dan berasaskan pengalamannya, bekas jaguh benua ini lazimnya mampu bangkit lebih garang dan mencari kemenangan pada perlawanan berikut.

“China nampak cergas dan dikhabarkan mereka sudah menjalani latihan pusat bagi satu tempoh yang lama, khas untuk Sukan Asia,” katanya yang tetap percaya Malaysia ada peluang memenangi kedua-dua perlawanan ini.

Mengenai perlawanan menentang Malaysia, Dharma akur dia sudah menjangkakan peluang Indonesia untuk menang amat tipis, tambahan mahu mengatasi lawan yang berada dalam ranking ke-10 dunia ketika ini.

“Mustahil kami dapat menumpaskan Malaysia yang ibarat langit dengan bumi buat kami. Ini bukan hoki dalam dewan tetapi permainan hoki yang tulen. Tapi saya juga dapat melihat pemain Malaysia seperti kehilangan idea untuk menembusi kubu kami, khususnya pada suku ke-4 (Q4) permainan.

“Saya gembira dengan persembahan dan komitmen pemain saya, termasuk beberapa pemain hoki dalam dewan yang dibawa bersama kali ini. Masih banyak lagi perlu diusahakan dalam tempoh satu dua tahun ini,” jelasnya.

Sementara itu wajah jurulatih Malaysia, Arulselvaraj jelas menceritakan satu kehampaan selepas skuad Speedy Tigers membenarkan dua gol membolosi gawang mereka.

“Saya memang tak puas hati mengenai tumpuan pemain dan juga dari segi permainan teknikal. Kita juga memberi ruang sehingga mereka bangkit menjaringkan dua gol.

“Saya akan bertemu pemain dan bertanya sebabnya. Ketika sama banyak pukulan sudut penalti dibazirkan. Pemain tidak dapat fikir pantas.

“Saya akan cari satu penyelesaian. Saya tak bimbang mengenai perkara ini tetapi itulah sikap pemain yang harus saya betulkan,” kata pengendali berusia 49 tahun itu menerusi rakaman video disiarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sejurus selepas perlawanan.

Dalam perlawanan berkenaan, Speedy Tigers membazirkan 22 pukulan sudut penalti menentang lawan yang berada dalam ranking ke-60 dunia.

Gol skuad negara disumbang oleh Ashran Hamsani (minit ke-5), Firhan Ashaari (m17), Najmi Farizal Jazlan (m19,35), Faizal Shaari (m33), Shello Silverius (m38), Azrai Aizad Kamal (m42), Razie Rahim (m43) dan Aminuddin Zain (M48) manakala Indonesia membalas dua gol menerusi Ahdan Asasi (m15) dan Aulia Al Ardh (m55).

Majulah sukan untuk negara!

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading