MISI skuad hoki negara mahu memburu pingat emas pertama di Sukan Asia makin terbayang selepas gah merakamkan satu lagi kemenangan besar di Hangzhou, hari ini (Selasa).

Barisan bergelar Speedy Tigers itu mudah membaham Oman 11-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Gongshu Canal Sports Park. Kemenangan berharga ini menyusul dua hari selepas membelasah Thailand 9-0 pada hari pembukaan, Ahad lalu.

Ketika sasaran anak didik A Arulselvaraj terjurus kepada usaha menjuarai kumpulan, 20 gol daripada dua perlawanan ini harus menyuntik keyakinan kepada pemain meneruskan rentak garang sama bagi baki tiga lagi saingan.

Khamis ini, skuad negara akan menentang Indonesia – satu lagi halangan yang boleh disifatkan mampu melihat aliran gol akan bertambah memihak kita.

Perlawanan menentang pasukan ranking ke-60 dunia ini wajib dimenangi kerana selepas ini ranjau akan bertambah sukar apabila berdepan bekas juara, Korea Selatan dan tuan rumah, China.

Pemain Malaysia, Ashran Hamsani meyambut kegembiraan gol jaringannya dalam saingan perlawanan Kumpulan B menentang Oman, hari ini (Selasa).

Penyerang, Ashran Hamsani meledakkan jaringan hatrik pada minit ke-14, 30 dan 35 manakala gol lain adalah sumbangan Razie Rahim (minit ke-3 dan 11), Shello Silverius (m18), Faizal Shaari (m26,39), Azrai Aizad Kamal (m29,38), Najmi Farizal Jazlan (m34). Gol tunggal Oman dijaringkan oleh Fahad Lawati (m23).

Cuma, agak menghairankan apabila skuad hoki negara gagal menjaringkan gol dalam permainan suku ke-4 (Q4) ketika jelas sekali mereka ada kemampuan membuat gempuran padu bagi mencipta kemenangan lebih besar.

Kita juga gagal menyempurnakan penalti strok yang dihadiahkan pada minit terakhir permainan sehingga penjaga gol lawan yang menampan bola dengan baik, menjerit-jerit tanda gembira.

Mungkin daripada pandangan peminat di tanah air yang menyaksikan secara langsung perlawanan ini, mereka boleh merumuskan sama ada pemain mahu menyimpan tenaga atau ada isu dari aspek kecergasan pada penghujung babak permainan. Atau pun ada sedikit ‘sifat simpati’ kepada lawan.

Sesungguhnya ini adalah satu perlawanan yang harus kita mencari jaringan besar dengan menyambung rentak sama – bukan ‘bertukar gear’ dan perlahankan tempo.

Gol tambahan boleh menjadi penentu untuk memastikan siapa bakal menjuarai Kumpulan B ketika pencabar terkuat kita, Korea Selatan juga mampu menang dengan jaringan besar. Kedua-dua pasukan ini mahu mengelak pertemuan menentang India dalam saingan separuh akhir, jika mereka layak nanti.

Arulselvaraj juga menyentuh perkara sama ini dan berkata permainan dalam Q4 ada kekurangan sedikit yang perlu diatasi bagi halangan berikut.

“Kami akan memperbaiki beberapa perkara yang nampak kekurangan dalam Q4 tadi.

“Secara keseluruhan saya puas hati dengan persembahan pasukan yang bermain mencari kemenangan besar. Kita melengkapkan gol menerusi ketiga-tiga jaringan padang, pukulan sudut penalti dan penalti strok.

“Kita akan rehat esok (Rabu) dan akan membuat pembetulan dalam corak permainan, dari segi hantaran dan terima bola,” katanya dalam satu kenyataan menerusi rakaman video ringkas disiarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sejurus selepas perlawanan.

Sebelum kejohanan bermula, pengendali berusia 49 tahun secara berulang berkata dia mahu anak didiknya mengambil cabaran pada setiap perlawanan di Sukan Asia kali ini sebagai satu final.

Terdahulu, pasukan pilihan, India meneruskan corak serangan menakutkan apabila bersahaja membelasah Singapura 16-1 dalam saingan Kumpulan A. Dalam perlawanan pertama mereka, pasukan ranking ke-3 dunia itu membenamkan Uzbekistan 16-0.

Dalam satu lag perlawanan kumpulan sama, juara bertahan, Jepun juga berpesta gol menumpaskan Uzbekistan 10-1.

Majulah sukan untuk negara!

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading