NEW YORK: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan berhubung peningkatan kebencian, tiada tolak ansur, diskriminasi dan tindakan keganasan, terhadap umat Islam dan kesucian mereka.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Direktorat Komunikasi Republik Turkiye hari ini (21 September 2023), kedua-dua pemimpin itu berkata sikap berkenaan telah mencapai tahap membimbangkan di banyak bahagian dunia, terutamanya di Eropah.

Kedua-duanya yang bertemu di New York semalam (20 September 2023) ketika sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), menggariskan kebimbangan kemunculan bentuk perkauman baharu yang dicirikan oleh xenofobia, profil negatif dan stereotaip umat Islam.

Menurut kenyataan itu, kedua-duanya menyatakan mesyuarat penyelarasan tahunan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan diadakan di New York, pada 21 September 2023 akan membincangkan pencegahan pembakaran naskhah al-Quran.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu di New York semalam, 20 September 2023.

Kenyataan itu menjelaskan Erdogan dan Anwar:

  1. Mengalu-alukan penerimaan Resolusi UNGA 76/254 untuk mengisytiharkan 15 Mac sebagai “Hari Antarabangsa untuk memerangi Islamofobia”, yang menekankan bahawa keganasan dan ekstremisme ganas tidak boleh dan tiada kaitan dengan mana-mana agama, kewarganegaraan, tamadun atau kumpulan etnik;
  2. Menyokong perbahasan segera sesi ke-53 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) untuk membincangkan “peningkatan yang membimbangkan dalam tindakan kebencian agama yang dirancang dan dinyatakan secara terbuka seperti yang ditunjukkan oleh penghinaan berulang-ulang terhadap al-Quran dan penerimaan resolusi HRC yang mentakrifkan pembakaran kitab suci sebagai kebencian agama;
  3. Mengalu-alukan resolusi UNGA 77/318 berkaitan ‘Menggalakkan Dialog Antara Agama dan Antara Budaya dan Toleransi dalam Melawan Ucapan Kebencian’, yang diterima pakai pada 25 Julai 2023 yang amat mengecam semua tindakan keganasan terhadap orang berdasarkan agama atau kepercayaan mereka, serta apa-apa perbuatan sedemikian yang ditujukan terhadap simbol agama, kitab suci, tempat ibadat, tapak keagamaan dan tempat suci mereka yang melanggar undang-undang antarabangsa;
  4. Mengingatkan kembali resolusi yang diterima pakai semasa Sidang Luar Biasa ke-18 Majlis Menteri Luar OIC pada 31 Julai 2023, yang menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kempen memburukkan Islam, serta menghasut tindakan keganasan, xenofobia, dan berkaitan tidak bertoleransi terhadap simbol agama Islam;
  5. Menggariskan bahawa tindakan kebencian agama, perkauman, diskriminasi dan xenofobia sedemikian menimbulkan ancaman kepada keamanan dan menghasut budaya keganasan;
  6. Mengutuk sekeras-kerasnya insiden pembakaran naskhah al-Quran baru-baru ini yang disaksikan di beberapa negara Eropah, dengan berselindung dalam kebebasan bersuara, serta wacana populis yang menghasut penganiayaan, ucapan kebencian dan keganasan terhadap Islam dan umat Islam;
  7. Menegaskan semula peranan penting komitmen politik di peringkat tertinggi untuk pelaksanaan penuh dan berkesan Resolusi UNHRC 16/18 dan menggalakkan semua negara memberi perhatian khusus kepada kepentingan menjenayahkan hasutan kepada keganasan berdasarkan agama atau kepercayaan dan untuk mengambil langkah segera bagi memastikan akauntabiliti;
  8. Mengulangi seruan dalam Resolusi 76/254 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memperkukuh usaha antarabangsa bagi memupuk dialog global mengenai menggalakkan budaya toleransi dan keamanan berdasarkan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan untuk kepelbagaian agama dan kepercayaan; dan
  9. Menyeru semua pihak berkepentingan yang berkaitan, termasuk kerajaan untuk meningkatkan usaha menangani diskriminasi, xenofobia, perkauman dan ucapan kebencian selaras dengan hak asasi manusia antarabangsa.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading