Oleh V. Ashok

CRISTIANO Ronaldo beranggapan Liga Pro Saudi ‘bakal meletup’ dengan kehadiran beberapa lagi pemain bintang global sambil memberi pandangan sinis liga di Eropah sudah kehilangan kualitinya.

Bekas bintang Real Madrid dan Juventus itu juga berpendapat andai kebanjiran pemain ternama berlaku, liga ini akan memiliki kualiti dan tarikan besar sama seperti beberapa liga terbaik di dunia.

Ronaldo yang kini menyarung jersi kelab Al-Nassr yakin betapa Liga Pro Saudi akan terus maju dan akan meledak dalam satu tempoh yang singkat.

Sebelum jendela perpindahan Eropah bagi musim panas ini, kapten skuad Portugal berusia 38 tahun itu menegaskan liga di benua berkenaan makin kehilangan kualiti dan menyebut liga di Arab Saudi akan ‘’bertambah baik’ berbanding dengan liga MSL di Amerika Syarikat, umpamanya.

Dia juga berkata peluangnya untuk kembali ke kancah bola sepak Eropah boleh dianggap sudah tertutup kerana tidak berbaloi dengan usianya ketika ini.

“Eropah sudah hilang kualiti. Cuma EPL (Liga Perdana Inggeris) masih yang terbaik di dunia ketika ini. La Liga nampak macam sudah hilang taraf mereka, begitu juga Bundesliga.

“Liga MSL di AS? Tidak, kejohanan di Arab Saudi lebih baik,” katanya kepada portal sukan GiveMeSport.com, baru-baru ini.

Ronaldo menambah, dalam tempoh setahun lagi, ramai lagi pemain ternama akan hadir di Liga Pro Saudi dan kejohanan elit ini akan mengatasi status Liga Turki dan Belanda. Pemain lagenda itu yang sudah menjaringkan lebih 800 gol rasmi untuk pasukan kelab dan negara, menandatangani kontrak tiga tahun mewakili kelab Al-Nassr pada 30 Disember 2022.

Seperti dilaporkan oleh Fabrizio Romano dari The Guardian, Ronaldo menerima gaji tertinggi dalam sejarah bola sepak bernilai Euro 200 juta setahun. Menurut Romano, pemain legenda itu menolak tawaran mewakili Sporting Kansas City dalam MSL, sebalik memilih Al-Nassr destinasi terkini menyambung kerjayanya.

Selepas pemain terbaik dunia itu menjadi pemain pertama menjejak kaki ke bumi Arab Saudi, beberapa bintang lain mengikut jejak langkahnya. Penyerang veteran Real Madrid, Karim Benzema memulakan langkah kanan sebelum diikuti kapten Liverpool, Jordan Henderson dan bekas rakan sepasukan, Roberto Firmino dan Fabinho.

Pemain berstatus bintang lain adalah perancang Chelsea, N’Golo Kante serta bekas rakan sepasukan – Kalidou Koulibaly dan Edouard Mendy manakala Riyad Mahrez dan Aymeric Laporte (Manchester City) memilih haluan sama bersama Sadio Mane (Bayern Munich) dan bintang Brazil, Neymar dari Paris St. Germain.

Namun, kemunculan barisan bintang ini belum cukup untuk melonjakkan status liga Arab Saudi dalam Opta Ranking Power. Pemerhati bola sepak beranggapan kedudukan itu mampu berubah dengan kehadiran beberapa lagi pemain tersohor untuk menyuntik kualiti hampir sama dengan liga terbaik dunia.

Menurut Opta – system ranking pasukan global yang memberi mata kepada persembahan lebih 13,000 pasukan kelab domestik – Liga Pro Saudi ketika ini menghuni tangga ke-27 dalam senarai 30 liga terbaik dunia, termasuk mengatasi Liga Romania dan Norway.

Namun, Jepun (Liga-J) dan Korea Selatan masih unggul selaku yang terbaik dari Asia apabila masing-masing menduduki tangga ke-25 dan 26.

Jika anda beranggapan EPL adalah liga terkuat, anda juga akan terbayang La Liga sebagai kedua terbaik. Anda salah kerana pada hakikatnya liga elit Sepanyol itu berada di tangga keempat dengan Bundesliga ditempat kedua manakala Serie A dari Itali, tempat ketiga dan Ligue 1 dari Perancis, ditangga kelima.

Peminat global pasti tidak hairan dengan kekuatan EPL yang mendahului pencabar mereka yang lain dari Eropah. Hakikat ini terpancar berpandu kepada dominasi mereka dalam kejohanan Eropah sejak beberapa tahun lalu.

Dalam lima daripada enam musim terakhir, kelab dari liga Inggeris ini layak ke final Liga Juara-Juara yang menyaksikan tiga kelab dari liga berkenaan muncul juara. Manchester City adalah juara musim lalu dan pasukan terunggul di Eropah ketika ini manakala West Ham memenangi Liga Konferens Europa pada musim yang sama.

Walaupun Ronaldo menyebut MSL bukan liga terbaik, namun ia kini menghuni tangga ke-15 ranking Opta. Kehadiran Lionel Messi – kapten Argentina yang memacu pasukan negara muncul juara Piala Dunia 2022 di Qatar, Disember lalu tidak dinafikan satu tarikan besar dalam kancah bola sepak di benua Amerika Utara itu.

Pemain berusia 36 tahun ini mewakili kelab Inter Miami dan sudah memulakan kerjaya di tempat baru dengan satu impak besar.

Dunia juga menunggu siapa antara dua lagenda bola sepak ini bakal menyinar – sama ada dari liga paling kaya di Asia atau Amerika Syarikat.

Majulah sukan untuk negara!

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading