Strategi komunikasi bukan sesuatu yang mudah untuk dicipta, tetapi sesuatu yang perlu diperbetulkan dalam tempoh yang agak panjang dan ianya sentiasa tidak akan sempurna, namun mempunyai ruang untuk diperbaiki dan diubah seiring perubahan dunia yang semakin pantas, khususnya dalam dunia Revolusi Digital atau Web 4.0.

Apakah strategi komunikasi?

Komunikasi adalah pertukaran maklumat di antara penghantar dan penerima. Sebelum ini kita hanya perlu bimbang mengenai cara kita berkomunikasi, sama ada dengan pertemuan empat mata atau melalui kertas.

Teknologi sudah berubah. Adalah penting bagi orang ramai mengetahui setiap aspek bagaimana mereka akan menghubungkaitkan maklumat dalam kalangan mereka.

Di sinilah strategi komunikasi memainkan peranannya. Strategi komunikasi adalah perencanaan (blueprint) bagaimana maklumat boleh berpindah tangan.

Ia adalah segugusan objektif komunikasi yang dipilih dengan tepat, dengan turut mengambil kira jenama, sebelum disusun menjadi satu strategi untuk menyampaikan maklumat.

Strategi umum ini mesti berkait rapat dengan matlamat, misi, fungsi, visi dan objektif organisasi, selain memerlukan komitmen 100 peratus daripada kakitangan bagi mencapai sasaran komunikasi.

Tidak ada cara sesebuah organisasi dapat berfungsi secara lebih baik dengan dunia luar jika tidak mempunyai pelan yang sempurna untuk memberitahu masyarakat mengenai kewujudan mereka, dan apa yang mereka lakukan.

Strategi komunikasi mempunyai pelbagai penampilan – bermula dengan pertemuan empat mata, kempen menyeluruh dan bersepadu, hingga kepada dunia maya digital.

Strategi komunikasi juga adalah pelan strategik yang terperinci, yang dirancang untuk membimbing sesebuah organisasi berkomunikasi, yang lazimnya merangkumi pertimbangan strategik yang mendalam dan menyediakan analisis kukuh terhadap persekitaran dalaman dan luaran.

Strategi Komunikasi Korporat dicipta untuk mencadangkan kepada peringkat tertinggi organisasi bagaimana untuk berkomunikasi. Ia biasanya mempunyai tempoh masa tiga tahun, dengan pelan pelaksanaan yang lebih terperinci dilakukan pada tahun pertama.

Pelan komunikasi pula adalah perancangan ringkas yang lebih terarah yang membimbing komunikasi dalam sesuatu projek, peristiwa atau inisiatif tertentu.

Pelan komunikasi akan mengikut struktur asas strategi komunikasi, tetapi menyediakan analisis yang kurang terperinci. Secara amnya maklumat yang lebih khusus mengenai perancangan pelaksanaan, seperti pelan kerja.

Dalam sesetengah kes pelan komunikasi pemasaran dibangunkan bagi membantu kedua-duanya – aktiviti pemasaran dan komunikasi – secara bersepadu.

Strategi komunikasi kini diistilahkan sebagai perubahan paradigma dalam kerjaya yang ada kaitan dengan komunikasi, seperti perhubungan awam, pengiklanan, kewartawanan, dan penulisan, yang digabungkan menjadi satu ikatan kukuh.

Dalam komunikasi strategik, pembangunan mesej dan maklumat, atau proses membentuk idea utama memerlukan perancangan dan penyelidikan tahap profesional. Mesej atau maklumat itu menyasarkan untuk menguasai fikiran khalayak sasaran, serta membantu mencapai matlamat organisasi.

Dalam dunia teknologi digital tanpa sempadan sekarang, peranan komunikasi strategik adalah membantu organisasi untuk memahami bagaimana mesej dan maklumat hendak disampaikan dengan lebih efektif.

Terdapat lima prinsip komunikasi strategik iaitu:

  1. Mesej yang berhati-hati

Komunikasi strategik membabitkan banyak pemikiran, perancangan, dan analisis. Ini tidak bermakna merancang iklan yang bagus atau menghantar twit tanpa memikirkan implikasinya. Untuk menyediakan mesej yang berhati-hati, anda mesti bermula dengan matlamat komunikasi yang realistik terhadap apa yang anda hendak capai.

Apapun matlamat anda, anda mesti bermula dengan tujuan yang jelas dan terus mengekalkannya sepanjang proses penciptaan dan pelaksanaan.

Di samping itu, anda mesti memastikan bahawa matlamat komunikasi berjalan seiring dengan matlamat organisasi.

Contohnya, jika organisasi mahu mencipta dan mengekalkan imej tanggungjawab sosial korporat (CSR), anda boleh mencapainya dengan membangunkan strategi komunikasi suka menderma, seperti bekerjasama dengan mana-mana pihak menganjurkan program keagamaan dengan menjemput tokoh atau ustaz terkenal untuk membantu mengutip derma amal.

  1. Platform yang tepat

Ada ungkapan dalam melaksanakan perhubungan awam, strategi pemasaran, dan kewartawanan – pergi ke tempat khalayak anda. Sebilangan besar perkara ini akan membabitkan pemilihan platform yang tepat untuk berkomunikasi dengan orang awam atau khalayak utama anda.

Ini boleh memberi cabaran. Dalam dunia digital tanpa sempadan ini, tidak banyak lagi saluran komunikasi yang boleh mengawal dan mengekalkan khalayak mereka. Sebaliknya, khalayak membuat pelbagai pilihan daripada sumber media, sekali gus menjadikan maklumat yang hendak anda sampaikan semakin sukar.

Jika anda boleh menetapkan apakah saluran pilihan khalayak anda, maka anda boleh menghantar maklumat atau mesej dengan lebih berkesan. Contohnya, anda cuba memperkenalkan masyarakat digital, maka platform anda adalah artikel berkaitan teknologi terbaharu.

  1. Ketepatan masa

Semua perancangan, analisis, dan usaha kreatif anda boleh sia-sia jika mesej anda tidak disampaikan pada masa yang tepat. Pada tahun 2014, Malaysia Airlines melancarkan kempen pemasaran dan perhubungan awam dengan pelbagai hadiah, termasuk tiket penerbangan percuma untuk bakal pelanggan di Australia dan New Zealand.

Masalahnya, kempen bertajuk ‘My Ultimate Bucket List’, mempelawa orang ramai untuk bercerita mengenai tempat yang mereka mahu pergi dan aktiviti yang ingin dilakukan.

Ia adalah kempen yang bagus untuk meningkatkan imej dan jenama, tetapi masa dan penggunaan istilah kempen itu diadakan tidak masuk akal.

Sebabnya, dalam tahun yang sama iaitu sebelum kempen dilancarkan, dua pesawat MAS terbabit dengan nahas menyebabkan lebih 500 terbunuh atau hilang.

Walaupun matlamat kempen untuk menaikkan imej jenama yang positif selepas tragedi, penggunaan istilah ‘bucket list’ yang membawa persamaan pengertian dengan kematian, terbukti tidak sesuai.

Eksekutif syarikat penerbangan menghadapi tindak balas daripada khalayak, dan ramai yang mendakwa bahawa mesej yang hendak disampaikan tidak sensitif.

  1. Analisis dan pemilihan khalayak

Sesetengah khalayak menganggap matlamat adalah lebih penting daripada mesej yang hendak disampaikan. Khalayak untuk mesej dalaman adalah pekerja dan pelabur, manakala khalayak untuk mesej luaran pula ialah pelanggan, media, wartawan dan lain-lain di luar.

Adalah penting untuk anda memastikan matlamat mesej dan memilih khalayak adalah tepat. Mengambil pendekatan yang luas dan
menyasarkan semua orang bukan cara terbaik untuk berjaya. Bahagikan komuniti kepada subkategori berdasarkan sikap, demografi dan penggunaan media.

  1. Kesan yang diingini

Pada peringkat perancangan mesej, jelaskan apakah kempen yang dirancang itu bakal berjaya. Bagaimana pasukan komunikasi strategik mengukur kejayaan?

Adakah anda berharap dapat meningkatkan jangkauan khalayak? Adakah anda bertujuan meningkatkan kehadiran ketika kempen diadakan? Adakah anda cuba meminimumkan liputan negatif media terhadap organisasi dan kempen yang diadakan?

Contohnya seperti kempen yang dijalankan oleh MAS menimbulkan kecaman orang ramai.

Penulis terlibat dalam dunia penulisan untuk media cetak dan digital sejak 1993. Bermula sebagai wartawan sehingga ketua pengarang media digital. Daripada penggunaan mesin taip pada tahun 1990-an hingga kini – komputer riba.

SIRI 1
SIRI 2

9 responses to “[SIRI 3] Komunikasi Strategik: 5 prinsip strategi komunikasi”

  1. […] 1SIRI 2SIRI 3SIRI 4SIRI 5SIRI 6SIRI 7SIRI […]

  2. […] 1SIRI 2SIRI 3SIRI 4SIRI 5SIRI 6SIRI 7SIRI 8SIRI […]

  3. […] 1SIRI 2SIRI 3SIRI 4SIRI 5SIRI 6SIRI 7SIRI 8SIRI 9SIRI […]

  4. […] 1SIRI 2SIRI 3SIRI 4SIRI 5SIRI 6SIRI 7SIRI 8SIRI 9SIRI 10SIRI […]

Leave a Reply to [SIRI 7] Komunikasi Strategik: Kenapa ianya penting?Cancel reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading