Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar, Prof. Madya Dr. Ng Boon Kwee
Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluncurkan dasar Malaysia Madani dengan menekankan aspek daya cipta sebagai salah satu daripada enam rukunnya selain kemampanan, kesejahteraan, hormat, keyakinan dan ihsan. Lebih menarik lagi, di dalam kerangka dasar ini, permasalahan yang dihadapi oleh komuniti luar bandar dalam usaha membangunkan daya cipta telah dikenalpasti dan diketengahkan. Perkara ini seharusnya disambut baik dan diberikan perhatian serius oleh semua pihak sama ada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, penyelidik universiti dan komuniti itu sendiri dalam meningkatkan kesedaran dan membantu memperkasakan aktiviti inovasi komuniti luar bandar. Hal ini begitu imperatif kerana usaha ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan daya kreatif dan inovatif dari generasi ke generasi, malah dapat memperkasakan sosio-ekonomi.
Sememangnya daya cipta komuniti luar bandar atau secara akademiknya dipanggil sebagai inovasi akar umbi luar bandar (Rural Grassroots Innovation) telah lama dikaji oleh para penyelidik dalam dan luar negara dan diperakui mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri. Inovasi Akar Umbi ini secara mudahnya ialah reka cipta yang diusahakan oleh komuniti akar umbi secara tidak formal bagi menyediakan penyelesaian masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat termasuklah masalah-masalah berkaitan pembekalan keperluan asas seperti air dan elektrik serta isu-isu produktiviti dalam aktiviti pertanian. Lebih mengagumkan, meskipun inovasi atau penyelesaian kepada permasalahan setempat tersebut dibangunkan dalam konteks di luar arus perdana penyelidikan dan pembangunan, iaitu secara tidak formal dan berpandu kepada kearifan tempatan, tetapi terdapat banyak inovasi daripada golongan akar umbi luar bandar ini yang dilihat lebih kompleks dan sofistikated berbanding inovasi di kawasan bandar, malah lebih mesra alam dengan suntikan elemen pengetahuan tradisional.
Walaubagaimanapun, di sebalik pelbagai kelebihan, terdapat juga cabaran dan halangan dalam melestarikan inovasi akar umbi di luar bandar. Faktor ekonomi dan geografi merupakan halangan utama dalam membantu para inovator akar umbi luar bandar ini. Aktiviti inovasi sememangnya menelan belanja yang signifikan jika mahu dijejak, dibimbing dan dibangunkan oleh agensi pelaksana dan penggubal dasar. Lokasi mereka yang jauh dan terpencil menyukarkan akses dan komunikasi berkesan. Para inovator di kawasan pedalaman ini seringkali menghadapi masalah teknikal dan kekurangan infrastruktur malah sukar mendapatkan bantuan pakar dan pekerja mahir. Kebanyakan inovator juga masih perlu mempertingkat pengetahuan asas seperti kemahiran teknikal dan keselamatan bagi memastikan reka ciptanya tidak memberikan mudarat kepada diri dan penduduk tempatan. Selain itu, para inovator akar umbi di kawasan pedalaman juga rata-ratanya masih kurang kesedaran terutamanya tentang kepentingan perlindungan harta intelek, khususnya dari segi perlindungan terharap ilmu tasit yang dimiliki mereka.
Segala masalah yang dihadapi oleh para inovator akar umbi di kawasan pedalaman sebenarnya telah lama diberi perhatian yang sewajarnya oleh agensi pembangun inovasi akar umbi yang ditubuhkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) iaitu Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). Sejak ditubuhkan pada tahun 2008, YIM telah bertindak aktif sebagai sebuah agensi pelaksana yang komited dalam mengenalpasti ribuan inovator di seluruh negara dan membantu membangunkan inovasi mereka sehingga ke peringkat pengkomersilan agar dapat memberi manfaat kepada sosio-ekonomi. Program Malaysia Inovasi Sosial (MyIS) Akar Umbi (MaGRIs) misalnya telah membantu mempertingkat usaha pembangunan dan pengkomersialan merangkumi penyediaan peluang pembinaan kapasiti. Program ini telah terbukti berpotensi menambah nilai produk inovasi daripada pembangunan prototaip kepada pra-pengkomersialan. Pada masa kini, YIM dalam usaha membangunkan Dasar Inovasi Sosial untuk memantapkan ekosistem dan landskap inovasi sosial negara dengan menggariskan sistem sokongan secara bersasar kepada pemegang taruh inovasi sosial.

Namun, bagi menjamin masa depan inovator akar umbi di luar bandar ini, satu kerangka polisi yang jelas perlu diformulasikan. Dengan adanya kerangka hatatuju yang jelas, usaha-usaha pembangunan dan pemerkasaan inovasi akar umbi ini dapat direalisasikan secara lebih sistematik dan holistik untuk jangka masa panjang dengan adanya penyaluran dana yang memadai. Justeru, sekumpulan penyelidik dari Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi Fakulti Sains Universiti Malaya dengan kerjasama Yayasan Inovasi Malaysia dan Institute for Development Studies (IDS, Sabah) telah bersama-sama bertukar idea dan pandangan dalam usaha pemetaan inovasi akar umbi di Malaysia. Sokongan padu dan bantuan khas Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar (MPDP) 2.0 oleh Institut Masa Depan Malaysia (MASA) diharapkan dapat memberikan input penting dalam merangka polisi demi memampankan inovasi akar umbi terutamanya di kawasan luar bandar.


Dr. Mohd Istajib Mokhtar merupakan Pensyarah Kanan, manakala Prof. Madya Dr. Ng Boon Kwee ialah Ketua, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universii Malaya. Mereka boleh dihubungi di ista.ajib@um.edu.my





Leave a Reply