
Semestinya rakyat Malaysia telah lama mengetahui, malah pernah merasai, betapa enaknya masakan Thailand hasil daripada kemunculan gerai, kedai dan restoran yang menghidangkan aneka jenis makanan.
Tetapi masakan Thai mempunyai lebih banyak hidangan yang mampu memenuhi cita rasa anda. Anda hanya perlu cari, kerana banyak yang ‘bersembunyi’ di kampung-kampung di Selatan Thailand.
Tomyam, phat prik, phat phet, phat kaphro, pad Thai dan som tam, sudah dikenali ramai. Banyak hidangan ini boleh didapati di Malaysia, namun sesetengahnya tidak sama asli dengan yang dimasak sendiri di Thailand.

Langkah sahaja ke sebelah sempadan Malaysia-Thailand, khususnya di bandar-bandar berhampiran negara kita. Wilayah Narathiwat dan Yala, dan jauh sedikit adalah Pattani – bersepah gerai dan restoran yang menghidangkan aneka jenis masakan Thai.
Penulis berada di wilayah Narathiwat baru-baru ini dan berkesempatan untuk menikmati pelbagai hidangan. Yang jarang ditemui di Malaysia adalah hidangan ikan bakar bersama sayur dan bihun atau kuetiau.
Miang Pla Phau. Makanan istimewa ini dikatakan berasal dari wilayah Chiang Mai, terdiri daripada ikan merah yang dibakar, bihun atau kuetiau beras, daun salad, kobis, kobis cina atau sayur putih, dicicah dengan sos istimewa.
Penulis pernah beberapa kali dibawa menikmati hidangan Miang Pla Phau di sebuah restoran sekitar bandar Narathiwat. Restoran ini terkenal dalam kalangan penggemar hidangan ini.
Namun, sudah menjadi kebiasaan apabila makan di restoran, harganya juga lebih mahal, berbanding menyediakannya sendiri.
Lalu, penulis mengajak sepupu – Iftisam Awang dan suaminya Adnan yang tinggal di Bangkok tetapi pulang bercuti di kampungnya di Lubo Sawo, Bacho, Narathiwat – untuk menyediakan sendiri Miang Pla Phau.
Sebelah pagi, kami menuju ke pasar besar Narathiwat – kira-kira 20 minit memandu dari Lubo Sawo – untuk membeli ikan merah segar dan sayur-sayuran.
Anda boleh bayangkan segala-galanya murah (tapi ada juga barang yang harganya hampir sama dengan di Malaysia. Lagi pula nilai mata wang kita lebih rendah berbanding baht Thailand).
Kami membeli empat ekor ikan merah yang beratnya hampir empat kilogram berharga 370 baht (kira-kira RM48.50). Ikan dibelah perut, tetapi sisiknya tidak dibuang.
Jika makan di restoran, seekor ikan merah yang siap dibakar berharga 250 hingga 400 baht.
Kemudian kami memilih sayur-sayuran, bihun dan kuetiau, cili serta rempah ratus untuk menyediakan sos hijau (pedas) dan sos manis.
Bayangkan, banyak barang yang dibeli termasuk ikan, tetapi tidak habis pun RM100. Jika makan di restoran dengan hidangan empat ekor ikan serta sayur-sayuran itu, anda bayangkan berapa harganya jika seekor ikan saja mencecah RM30.

Pulang ke rumah, Iftisam yang kami panggil Kak Cham mula mencuci ikan sebelum melumurkannya dengan tepung yang dicampur garam. Dalam perut ikan dimasukkan beberapa bahan, termasuk serai, asam dan daun limau purut untuk menghilangkan bau hanyir.
Siap semuanya, ikan dibakar. Istimewanya di kampung penulis, penduduk lebih banyak menggunakan arang daripada tempurung yang dibuat sendiri. Jarang menggunakan arang kayu yang dibeli.
Sementara menunggu ikan masak, Kak Cham dibantu adiknya Ibtihad mencuci sayur-sayuran dan menyediakan sos hijau dan manis.

Resipi yang benar-benar sihat tetapi padat dengan rasa yang menyeronokkan untuk bereksperimen, dan merupakan cara terbaik untuk menggunakan mana-mana sayur-sayuran yang anda ada di dapur anda. Apa lagi untuk diet.
Sosnya sedap tetapi mudah disediakan, dan walaupun terdapat banyak penyediaan yang terlibat dalam membuat hidangan ini, ianya tetap berbaloi.
Menurut Kak Cham, apa yang penting ialah ikan merah serta sos. Jika ikan lain kurang sedap.

Ikan merah ini seperti ikan talapia, tetapi ia dua atau tiga kali ganda lebih besar selain banyak dipelihara di Selatan Thailand.
Penulis tidak pasti sama ada ikan ini turut dipelihara di Malaysia. Namun, maklumat terbaharu mengatakan ada penduduk di Kelantan yang memelihara ikan ini.

Langkah-langkah menyediakan Miang Pla Phau
Langkah 1: Mula-mula kita perlu sumbat ikan. Hancurkan 3 batang serai, kemudian masukkan ke dalam ikan bersama 25g daun selasih. Kemudian sapu kedua-dua belah ikan dengan campuran tepung dan garam.
Langkah 2: Seterusnya panggang ikan dengan api perlahan selama kira-kira 20 minit pada setiap sisi, namun masa akan bergantung pada saiz ikan yang anda gunakan. Jadi periksa ia dengan kerap supaya ia tidak hangus.
Langkah 3: Semasa ikan dipanggang kita boleh menyediakan sos. Untuk membuat sos pedas, tambahkan 10g tangkai ketumbar, 5g bawang putih yang dikupas, 10g bawang putih jeruk, 25g cili mata burung, dan 5g biji lada kering ke dalam pemproses makanan, dan gaul bersama sehingga semuanya hancur.
Langkah 4: Seterusnya masukkan 50g sos ikan, 25g jus limau nipis, dan 15g gula, dan gaulkan selama beberapa saat lagi sehingga anda mempunyai rasa pekat seperti sos.
Langkah 5: Sekarang kita boleh membuat sos manis. Masukkan 25ml air dan 25g pes asam jawa ke dalam periuk, dan gaul sebati. Kemudian masukkan 50g sos ikan dan 30g gula melaka, panaskan dan kacau dengan api perlahan sehingga gula melaka larut ke dalam sos. Apabila gula telah larut, tutup api, dan masukkan 20g kacang tanah panggang yang telah dihancurkan dan kacau.

Tidak hairanlah jika hidangan Miang Pla Phau adalah hidangan Thai yang istimewa yang harus dimakan dengan perlahan dan berhati-hati.
Anda bermula dengan sekeping salad, yang anda isi dengan bihun, isi ikan, dimasukkan sos pedas atau manis (ikut selera anda). Dilipat seperti makan sireh – masukkan ke dalam mulut anda dan rasai sensasi yang istimewa!
- Terima kasih kepada Pak Teh Awang, Mak Teh Dillah, Kak Cham, Adnan, Kak Aa dan Kak Na.







Leave a Reply