Oleh V. Ashok

KANCAH liga bola sepak profesional di Arab Saudi sudah mencetus ‘episod gempar’ di Asia Barat dengan memancing lebih sedozen pemain bertaraf bintang yang bakal menerima gaji lumayan meningkatkan profil pentas saingan ini.

Tidak dinafikan ada yang mungkin menerima pendapatan bulanan, dua atau pun tiga kali ganda berbanding apa diperoleh daripada bekas majikan mereka, khususnya di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Cuma apa yang menimbulkan keraguan ialah, apakah ia akan bertukar menjadi “Liga Bercuti” untuk kebanyakan pemain import ini yang sedang meniti penghujung kerjaya masing-masing.

Pemerhati dan pengkritik juga bertanya, apakah Liga Pro Saudi ini mungkin mengancam status EPL, La Liga (Sepanyol), Bundesliga (Jerman) atau pun Serie A (Itali) dalam tempoh terdekat ini.

Jawapannya sudah pasti TIDAK.

Pengurus pasukan baru Al-Ettifaq, Steven Gerrard dan bekas rakan sepasukannya dari Liverpool, Jordan Henderson akan menguatkann cabaran kelab dalam Liga Pro Saudi, musim ini.

Sukar mencari satu realiti bahawa perpindahan kelompok pemain seperti Cristiano Ronaldo, Sadio Mane (Al-Nassr), Karim Benzema, Riyad Mahrez, N’Golo Kante, Fabinho (Al-Ittihad), Roberto Firmino, Allan Saint-Maximin, Edouard Mendy (Al-Ahli), Jordan Henderson (Al-Ettifaq) dan Kalidou Koulibaly (Al-Hilal) boleh melumpuhkan kelancaran liga utama di Eropah.

Kita tahu kuasa wang boleh memberi kita apa saja yang diinginkan, tapi ketika sama, wang bukan segala-galanya.

Eropah mungkin goyah sedikit apabila memikirkan masa depan liga mereka, namun ini bukan bererti mereka harus cemas ketika memiliki segala sumber terbaik memastikan EPL dan La Liga, umpamanya berjalan lancar seperti musim-musim lalu.

Cuma, jika pemain seperti bintang Perancis, Kylian Mbappe turut beraksi barulah kita boleh sebut sudah ada ‘gelombang panas’ yang harus menerbitkan rasa takut di kalangan pemilik kelab elit di Eropah. Sehingga itu, Eropah boleh bertenang.

Liga Pro Saudi atau Liga Saudi Roshn (atas sebab penajaan) sebenarkan mahu mengubah perspektif bola sepak di negara mereka dan melihat betapa penjenamaan semula liga itu satu keputusan terbaik untuk mencipta nama.

Jadi, bagi memulakannya, pemilik kelab tidak melihat kepada faktor usia, sebaliknya mungkin beranggapan pemain terbaik di Eropah yang sudah dipancing ini boleh membantu memantapkan lagi kualiti dan memberi keyakinan kepada pemain bintang muda datang beraksi dengan lebih yakin.

Buat masa sekarang, liga ini memerlukan tempoh lebih lama sebelum mampu menghampiri status liga di Eropah walaupun pemilik kelab sudah memberi isyarat awal dengan kuasa wang mereka.

Situasi yang berlaku ketika ini sama seperti yang pernah berlaku di China sedekad lalu. Liga Super China (CSL) bermula dengan hangat apabila pemain ternama dari Brazil dan Eropah mendapat tawaran lumayan beraksi di Asia Timur.

Namun, ia beransur pudar apabila syarat ketat dikenakan ke atas kuota pemain import serta cukai yang amat tinggi oleh pihak berkuasa Beijing ke atas kelab yang mahu membeli pemain bertaraf bintang dengan harga mahal.

Lama kelamaan ia mula merudum dengan jumlah pemain import yang makin kurang, tambahan kehadiran penonton di gelanggang juga dilaporkan makin susut.

Sama juga dengan liga bola sepak profesional di Amerika Syarikat (MSL) yang tidak menitikberatkan faktor usia pemain asalkan mereka masih dapat menyumbang tenaga dan kepakaran masing-masing.
Kini, pemain seperti Lionel Messi sudah pun beraksi dengan kelab Inter Miami CF dengan pendapatan AS$54 juta setahun.

Ini kerana dia masih menjadi tarikan global, apatah lagi selepas mengetuai Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar, Disember lalu. Imej Messi selaku bekas pemain Barcelona dan Paris St. Germain turut meningkatkan nilai pasaran bola sepak di AS.

Pemain tersohor tidak dinafikan akan sentiasa melihat kepada peluang mendapatkan pendapatan yang berganda. Siapa tidak mahu menambah wang besar dalam akaun bank demi masa depan mereka dan keluarga.

Liga di China dan AS tidak ubah seperti pentas yang membuka peluang terakhir sebelum pemain bintang itu menamatkan kerjaya masing-masing. Cuma prospek di Arab Saudi sahaja belum dapat kita membuat sebarang andaian atau pun rumusan kerana ini baru musim pertama.

Ada perkhabaran lebih ramai lagi bintang dari liga Eropah bakal berpindah jika usaha memancing pemain berkualiti dibuat secara konsisten, katakan untuk tempoh selama sedekad. Ini akan memberi satu gambaran visi pemilik kelab bola sepak di Arab Saudi bukan lagi satu fantasi semata-mata.

Pengurus pasukan Manchester City, Pep Guardiola, dalam satu kenyataan di laman portal The Mirror, baru-baru ini akur betapa wujud satu sifat kesungguhan dalam pengurusan liga pro di Arab Saudi apabila berkata: “Liga di Saudi sudah mengubah sama sekali pasaran bola sepak.’

Dia menyuarakan apabila anak buahnya, Riyad Mahrez mendapat tawaran lumayan, tiada apa boleh dilakukan untuk menyekat pemain kelahiran Algeria itu untuk meninggalkan kelab di Etihad itu.

“Riyad menerima satu tawaran amat besar dan kami tidak dapat menghalang dia atau pun berkata, jangan lakukannya,” katanya.

Guardiola juga dilaporkan mungkin kehilangan ayam tambatannya, Kevin De Bruyne untuk musim depan ketika bintang Belgium itu sudah menjadi buruan beberapa kelab elit.

Penyerang prolifik Liverpool, Mohamed Salah turut menjadi bahan spekulasi hangat ke liga berkenaan, beberapa hari lalu, namun bintang dari Mesir itu menolak tawaran lumayan itu kerana sudah komited dengan pasukan The Reds.

Menurut akhbar Al-Riyadiah dari Arab Saudi, kelab Al-Ittihad mendekati pemain sayap ini dengan tawaran kontrak dua tahun bernilai £155 juta dan tambahan £52 juta lagi untuk yuran perpindahan.

Salah, 31, sudah pun menandatangani kontrak baru tiga tahun untuk kekal di Anfield sehingga Jun 2025.

Apapun, berpandu kepada senarai nama bintang ternama, liga yang bercita-cita besar ini boleh mendapat liputan meluas media asing. Ada beberapa perlawanan penting membabitkan kelab gergasi mungkin akan disiarkan secara langsung setiap minggu.

Negara Teluk ini jelas ada kemampuan membuat pelaburan besar bagi mendapatkan promosi serta pemasaran bola sepak yang baik ketika sasaran awal adalah untuk menarik atau mengalih tontonan global ke arah liga ini.

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamad Bin Salman atau popular dengan nama singkatan MBS bukan calang-calang pemimpin yang amat meminati sukan. Dia bukan sahaja melihat bola sepak sebagai satu jenama malah sukan lain seperti jelajah basikal, tenis atau pun golf turut dijangka akan dipergiatkan bagi mendapat pasaran besar.

Beliau mahu bersaing menjadikan sukan antara sumber ekonomi negara selain daripada industri pelancongan – bukan hanya terus bergantung kepada minyak atau gas sahaja.

MBS, secara peribadi juga mungkin ada kecenderungan mahu melihat negaranya menjadi nadi sukan di Asia Barat sebelum menerokai pentas antarabangsa dalam satu usaha jangka panjang. Jadi, bola sepak, umpamanya pasti akan mendapat keutamaan di negara yang amat menggilakan sukan popular ini.

Dunia bola sepak pasti akan mendapat tambahan tontonan tetapi seperti disebut tadi Liga Pro Saudi ini bukan satu ancaman besar kepada liga elit di Eropah yang jelas memiliki satu tradisi bola sepak yang cukup kaya.

Bekas bintang bola sepak England, Gary Linekar beranggapan liga yang menjadi heboh ketika ini perlu membuktikan kemampuan dengan satu struktur yang mantap untuk mendapat tarikan pemasaran yang meluas.

“Saya rasa adalah terlalu awal mahu membuat perbandingan secara terperinci kerana Liga Arab Saudi dengan liga elit di Eropah ada perbezaan amat ketara, ibarat langit dan bumi,” katanya.

Dia turut menyuarakan pandangan peribadi bahawa gelanggang ini menjadi sumber rezeki baik untuk pemain yang bakal bersara.

Dari segi sejarah, liga di Eropah atau pun di Amerika Selatan mengambil masa lebih 100 tahun untuk menapak kukuh dan berjaya seperti apa dilihat pada hari ini.

Kancah saingan EPL, La Liga, Bundesliga, Serie A atau Lique 1 sudah jauh berkembang pesat dengan struktur bola sepak yang mantap dan konsisten sehingga mendapat keyakinan tontonan global, tambahan sumber pemasaran berbilion ringgit yang terbabit pada setiap masa.

Jentera pentadbiran juga cekap, termasuk soal kebajikan dan gaji pemain serta infrastruktur untuk latihan bola sepak bertaraf antarabangsa. Ini tidak menyusul mudah tetapi dengan kegigihan, perancangan jitu dan juga peredaran masa lama, penuh dengan kesabaran.

Episod panas yang sedang berlaku di Arab Saudi kini, pantas mengingatkan kita kepada liga profesional di China hampir sedekad lalu yang turut mengundang pemain ternama dari liga di Eropah untuk mencari imej baru, ketika sama menyaingi liga di Jepun dan juga Korea Selatan.

Pentas CSL juga menjadi yang pertama di Asia membuat tawaran gaji lumayan kepada pemain bintang, khususnya dari Brazil untuk meningkatkan nilai pemasaran bola sepak mereka.

Pada ketika sama penyertaan pemain ternama juga bagi membantu liga berkembang maju dalam usaha membentuk skuad kebangsaan lebih mantap untuk layak ke Piala Dunia dan Sukan Olimpik secara kerap.

Pada 2016, kehadiran bekas pemain Chelsea, Ramires dan Oscar- begitu juga bekas pemain kebangsaan Brazil, Hulk dan bintang Belgium, Marouane Fellaini membuka dimensi satu baru.

Oscar yang berusia 25 tahun ketika itu menerima £400,000 setiap minggu ketika mewakili Shanghai SIPG dengan satu rekod perpindahan bernilai £60 juta. Dia juga difahamkan menolak tawaran dari Athletico Madrid dan Juventus.

Namun, pemain lincah dari Brazil itu pantas mengakui dia hanya berhajat mewakili kelab di China itu untuk termpoh tiga tahun sahaja.

CarlosTevez dari Argentina yang pernah mewakili Manchester United pernah berkata perpindahan mewakili kelab baru, Shanghai Shenhua adalah untuk “bercuti” sebelum dia menamatkan tempoh singkat dalam aksi CSL untuk kembali menyertai semula Boca Juniors.

Dia hanya menyumbang empat gol selaku seorang penyerang utama daripada 20 kemunculan ketika dilaporkan menerima gaji £615,000 setiap minggu.

Imej CSL juga mula merudum apabila Persatuan Bola sepak China (CFA) mengumumkan syarat peraturan ketat yang memaksa kelab mengurangkan kehadiran pemain import dalam setiap perlawanan.

Pada 2018, satu ‘cukai’ baru diperkenalkan untuk melarang kelab berbelanja besar ke atas yuran perpindahan pemain import. Menurut laporan, ia menyebut sesebuah kelab yang berbelanja lebih £5juta (AS$7 juta) ke atas pemain luar akan dikenakan membuat bayaran dengan jumlah sama kepada CFA.

Perkembangan itu melihat liga berkenaan kembali ke tahap lama dan ketika sama prestasi skuad kebangsaan mereka juga merudum, tambah perit lagi ranking dunia pun turut merosot.

Mungkin Liga Pro Saudi boleh mengambil pengajaran daripada kegagalan yang berlaku di China dengan mengamalkan pendekatan lebih professional. Pada ketika sama, belajar meningkatkan lagi aspek pengurusan kelab yang mantap seperti liga elit di Eropah yang memiliki tradisi cukup unik, sesuatu yang tidak dapat dilihat di benua lain.

Mungkin elemen seperti ini lebih penting daripada kuasa wang.

Majulah sukan untuk negara!

Karim Benzema antara bintang baru yang bakal beraksi bersama kelab Al-Ittihad

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading