Oleh: Prof. Madya Ir. Dr. Nahrizul Adib Kadri
Saya menukar pendaftaran saya sebagai pengundi di Johor ke Kuala Lumpur pada tahun 2015. Jadi saya tidak terlibat dengan mana-mana Pilihan Raya Negeri (PRN) sejak itu. Dan seingat saya juga (setelah 4-5 kali mengundi), tidak pernah lagi PRN mendapat perhatian orang ramai sebanyak pada kali ini.
Hampir setiap orang (termasuklah yang tidak mengundi untuk PRN seperti saya), dilimpahi dengan kandungan mengenai PRN pada setiap hari, sejak pembubaran Dewan Undangan Negeri di enam negeri yang terlibat tempoh hari. Tarikh-tarikh penting 29 Julai (hari penamaan calon) dan 12 Ogos (hari mengundi) telah dihafal; sepenting tarikh-tarikh pertunangan dan perkahwinan. Nama-nama parti, ‘poster boy’, dan bakal calon bermain di mata dan fikiran, setiap kali ibu jari menguis skrin telefon ke atas bagi menikmati ‘suapan’ cerita politik terkini di media sosial.
Yang melompat keluar (dan masuk) parti, atau duduk sebentar di tepi gelanggang, hatta ‘pemain’ politik yang bukan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekali pun, tapi sering memberi ulasan di ruang media; semuanya kita kenali.
Ada yang pandai menggunakan retorik (soalan yang tidak memerlukan jawapan), ada yang pandai menakut-nakutkan dengan ketakutan yang bakal terjadi, dan yang paling ramai adalah spesies yang ingin memberikan hiburan dengan pelbagai kaedah yang kononnya menggelikan hati: menuding, merendah dan mempersenda orang lain.
Apakah kita sedang menjadi penonton kepada persembahan komediri (stand-up comedy) yang panjang?

Menurut rakan baik saya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, yang juga merupakan penganalisis politik tempatan yang sedang meningkat naik, perbincangan (sembang?) politik sememangnya sesuatu yang ‘nikmat’.
“Dari satu sudut, seseorang mungkin meminati perbincangan politik kerana ia memberikan identiti dan perasaan ‘sense of belonging’. Sebagai individu, setiap daripada kita ingin dikenali dengan identiti khusus, supaya membolehkan kita berinteraksi dengan orang lain. Politik juga membolehkan kita meneroka ruang untuk menyumbang kepada masyarakat, melalui penunaian tanggungjawab sebagai seorang pengundi. Dengan mengundi dan memahami politik, seseorang boleh merasakan yang dirinya memainkan peranan di dalam sistem demokrasi. Wakil rakyat yang terpilih kelak akan mewakili suara dan aspirasi kita, bakal membentuk masyarakat, undang-undang dan polisi; maka sudah tentunya perbincangan mengenai politik adalah sesuatu yang menarik dan berwarna-warni.
“Namun perlu juga difahami yang ruang perbincangan sebegini, terutamanya yang banyak memperkatakan tentang nilai, ideologi, dan karakter pemimpin, tidak akan lari daripada membincangkan perkara-perkara yang sifatnya subjektif. Perbezaan pendapat sudah pasti akan timbul. Tanpa kemahiran berdebat atau mengutarakan pendapat dengan baik, maka timbullah isu polarisasi, ketiadaan akauntabiliti, fitnah, dan lain-lain perkara negatif yang menjauhkan kita dari aspek positif perbincangan politik itu tadi.
“Ditambah dengan rekabentuk dunia media sosial itu sendiri yang sentiasa menuntut perhatian penggunanya, kandungan pendek yang berbentuk atau berbunyi sensasi, akan mendapat tempat di hati dan fikiran kita. Tidak menghairankan jika ramai yang menganggap ‘cakap-cakap’ politik ini hanya sekadar hiburan, dan tidak mampu memainkan peranannya yang sebenar dalam membina bangsa dan negara,” terangnya panjang lebar.
Thomas Jefferson, Presiden ketiga Amerika Syarikat, merupakan antara individu yang sangat menitikberatkan peranan seorang warganegara di dalam sesebuah sistem demokrasi yang sihat. Ruang yang memberikan keberanian untuk seseorang mengetengahkan perspektif yang berbeza merupakan salah satu ciri demokrasi yang sihat. Kewujudan ideologi dan parti politik yang berbeza akan menjamin kelangsungan semak dan imbang di dalam sistem. Kepelbagaian inilah yang akan menggalakkan perkongsian idea, dan seterusnya memastikan sebarang keputusan yang dibuat adalah setelah menimbang tara semua perspektif pendapat dari spektrum yang luas.
Dr. Tawfik bersetuju, dan menambah: “Polarisasi pendapat dalam perbincangan politik itu boleh diibarat nadi sebuah sistem demokrasi yang sihat. Ia hanya bermasalah apabila menghakis kepercayaan kita kepada nilai sebuah dialog yang membina, dan akhirnya membawa kepada kemusnahan sebuah kerjasama dan timbang rasa sesama kita.”
Saya kira sudah tiba masanya untuk kita meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tiada salahnya untuk kita berhibur dengan kandungan bersifat politik, namun jangan sesekali diletakkan taraf perbincangan politik yang sepenting itu setara dengan ‘makanan’ hiburan ringan yang kita nikmati setiap hari di media sosial. Kongsi (share), komen, dan ikut (follow) mereka yang betul-betul layak mewakili suara dan hasrat kita dalam membina negara, bukan hanya sekadar pandai berjenaka dan menggelikan hati.
Bak kata ibu saya satu masa dahulu ketika melihat saya asyik bermain basikal walaupun tarikh peperiksaan Penilaian Darjah Lima semakin hampir: “Sudah-sudahlah main basikal tu Zul. Tak lama lagi nak periksa.”
Ayuh semua, sudah-sudahlah berhibur dengan kandungan komediri politik ini. Kita ada peranan besar untuk sama-sama membina semula negara ini.


Penulis merupakan Pengarah, Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di nahrizuladib@um.edu.my






Leave a Reply