Oleh Razali Zakaria di Narathiwat, Thailand

Kunjungan penulis ke Wang Yaring (Wang dalam bahasa Thai ialah Istana) atau Istana Kerajaan Islam Jambu di wilayah Pattani, Selatan Thailand, baru-baru ini, telah ditunggu oleh pengurusan istana diketuai Puan Che Naliah bt Che Abdullah.

Beliau adalah isteri kepada pewaris Istana Raja Jambu keenam – Tengku Ayub Almarhum Tengku Abdul Hamid – iaitu adik kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.

Bercakap mengenai Kerajaan Islam Jambu, tidak sah jika tidak dikaitkan dengan Kerajaan Islam Pattani yang bermula apabila Raja di Kota Mahligai yang kemudiannya membuka Negeri Pattani, dan Kerajaan Kelantan.

Tengku Ayub Almarhum Tengku Abdul Hamid dan isteri Puan Che Naliah bt Che Abdullah.

Kisah mengenai Kerajaan Islam Pattani ini banyak diriwayatkan dalam Hikayat Pattani, Catera Negeri Pattani dan Tarikh Pattani, serta Cau Seri Bangsa (Sejarah Melayu).

Menurut kajian, Kerajaan Islam Pattani mempunyai tiga dinasti iaitu Dinasti Seri Wangsa; Dinasti Sultan Qanbul; dan Dinasti Tuan Besar.

Kerajaan Pattani Raya atau Pattani Besar merangkumi wilayah terbesar dari Pathalong (Badelung) hingga ke Terengganu.

Berikut adalah senarai Raja-raja Pattani Islam:

● Dinasti Seri Wangsa

  • Sultan Ismail Shah atau Sultan Muhammad Shah atau Sultan Ahmad Shah (1457-1530)
  • Sultan Muzaffar Shah (1530-1564);
  • Sultan Mansur Shah (1564-1572);
  • Sultan Patik Siam (1572-1573);
  • Sultan Bahadur Shah (1573-1584);
  • Raja Hijau (1584-1616);
  • Raja Biru (1616-1624);
  • Raja Unggu (1624-1635); dan
  • Raja Kuning (1635-1649).

● Dinasti Sultan Qanbul

  • Raja Sakti II (1650-1662);
  • Raja Loyor (1662-1663); dan
  • Raja Omar (1663-1670).

● Dinasti Tuan Besar

  • Sultan Muhammad (Tuan Besar) (1842-1856);
  • Sultan Puteh (1856-1881);
  • Sultan Timun (1881-1890);
  • Sultan Sulaiman (1890-1899); dan
  • Sultan Abdul Kadir Kamaruddin (1899-1902).

Menurut seorang penulis Mohd Fadli Ghani, yang memetik beberapa kajian mengatakan Pattani tidak mempunyai Raja antara 1670-1688M, tetapi ada pengkaji lain mengatakan ia kekal di bawah kekuasaan Kerajaan Jembal, Kelantan sehingga Raja Bakar dilantik Raja Pattani pada 1688.

Menurut kajian itu Raja-raja Pattani antara tahun 1688 hingga 1832 ialah:

  • Raja Bakar (1688-1690);
  • Raja Mas Kelantan (1690-1707);
  • Raja Nam Cayam (1707-1715 dan 1716-1718);
  • Long Bahar (1715-1716);
  • Raja Laksamana Dagang (1718-1721);
  • Sultan Haji Yunus (1721-1729);
  • Raja Yunus (1729-1749);
  • Raja Long Nuh (1749-1771);
  • Raja Bakar (1771-1774); dan
  • Sultan Muhammad (1774-1786).

● Raja-raja Boneka yang dilantik Siam:

  • Tengku Lamidin Raja Bendang Badang (1786-1791);
  • Raja Jaafar Datu Pengkalan (1792-1808);
  • Nai Kwan Sai Raja Chenak (1808-1815);
  • Nai Phya (1815-1816);
  • Tuan Sulung (1816-1832); dan
  • Nik Yusof (Raja Tok Ki Yusof) (1832-1842).
Tengku Ayub menunjukkan gambar lama perhimpunan di Istana Jambu yang kini dipamerkan di dalam ruang utama istana.

Kejatuhan Pattani di tangan Siam telah menyebabkan ‘Raja-raja Boneka’ dilantik untuk menjaga kepentingan pemerintah Siam.

Ia bermula dengan Raja Bendang Badang, (Tengku Lamidin) (1786-1791) dan Datu Pengkalan (Raja Jaafar) (1791-1808) sebagai Raja Pattani, tetapi kedua-dua Raja ini bangkit melawan Siam.

Akibatnya bukan Islam dari Chenak (sekarang Channa), Nai Kwan Sai (1808-1815) dan anaknya, Nai Phya (1815-1816) dilantik sebagai Raja Pattani.

Tuan Sulong (1816-1832) adalah putera Long Jenal (cucu Long Bahar), Raja Kelantan (1837-1838) yang terlibat dalam perebutan takhta dengan Sultan Long Senik Mulut Merah (1838-1886) di Kelantan pada 1839.

Untuk menamatkan perang saudara di Kelantan, Siam telah melantik putera Long Ismail Raja Kampung Laut (adinda Long Jenal), iaitu Long Ahmad (Tuan Besar) sebagai Raja Pattani bergelar Sultan Muhammad (1842-1856) menggantikan Nik Yusof (Raja Tok Ki Yusof (1832-1842).

Pada awalnya Raja Tok Ki mendirikan Istana di Kerisek, Pattani sebagai pusat pentadbiran. Beliau kemudian telah mendirikan Wang Yaring (yang ada sekarang) dengan reka bentuk lama menggunakan kayu.

Ringkasnya pemerintahan Kerajaan Islam Pattani selama 445 tahun itu berakhir dengan perang saudara dan serangan Siam sehingga dipecahkan kepada tujuh negeri berasingan menggunakan dasar pecah dan perintah iaitu:

  • Patani – Tuan Sulong;
  • Raman – Tuan Mansur;
  • Nong Chik – Tuan Nik;
  • Yala – Tuan Jalor;
  • Legeh – Nik Dah;
  • Saiburi atau Teluban – Nik Din; dan
  • Jambu – Nai Phya (bukan Islam).
Kendi dan tepak sireh peninggalan Kerajaan Melayu Islam Jambu dalam bentuk gambar.

Ketika penulis tiba di Istana Jambu, hanya Puan Che Naliah sahaja yang banyak bercerita. Namun, atas permintaan penulis, akhirnya Tengku Ayub, pun turut hadir.

Berdarah Raja, namun Tengku Ayub berusia 62 tahun yang penulis panggil ‘Pak Ku’ sangat ramah dan mesra bercerita mengenai keturunan beliau dan sejarah Istana Jambu.

Menurutnya, Raja-raja Jambu ialah Raja Tok Ki Yusof; Nik Timung; Nik Mah atau Nik Emboh (Tok Ku Sultan); Raja Nik Wok (panggilan Tok Ku Raja).

Di bawah pemerintahan Tok Ku Raja, beliau mendirikan istana baharu pada 1895 dan kini tersertam indah berusia 128 tahun.

Ketika itu, wilayah pentadbiran Jambu meliputi mukim Jambu, Penarik dan Mayo serta sedikit Yaarang, kata Pak Ku yang juga bekas BrigadierJeneral dalam Angkatan Tentera Thailand.

Pekarangan Wang Yaring atau Istana Jambu.

Yaring terletak berhampiran laut dengan kebanyakan penduduknya ketika itu bekerja sebagai nelayan, selain menoreh getah.

Katanya, Tok Ku Raja adalah Raja terakhir Jambu yang diiktiraf kerajaan Siam, sebelum Thailand mengangkat sistem demokrasi dalam pentadbiran negara itu.

Anak kepada Tok Ku Raja iaitu Tengku Muda turut menceburi bidang politk dan pernah menjadi Ahli Parlimen Pattani selain Gabenor Ke-11 Wilayah Satun.

“Saya masih berhubung dengan keturunan Tengku Anis Kelantan. Selalu juga pergi ke Istana Kelantan untuk beberapa acara dan sambutan.

“Kadang-kala menghantar nasi kerabu atau kereta dari Istana Kelantan datang ke Jambu untuk mengambil sendiri.

“Tengku Anis gemarkan nasi kerabu Jambu hingga sekarang,” jelas Pak Ku yang mempunyai empat cahaya mata yang semuanya perempuan iaitu Tengku Aishah; Tengku Asrina; Tengku Amira; dan Tengku Anita.

Ketika penulis meninjau sekitar Istana Jambu itu ada kawasan yang tidak dibenarkan untuk masuk.

“Ada dua keluarga keturunan kami yang tinggal di dalam istana ini. Dua keluarga itu adalah Datin Tengku Zabedah dan Tengku Azizah.

“Kerajaan Thai cuba mengambil-alih istana ini tetapi kami tidak membenarkannya.

“Kini kami jadikannya sebagai salah satu destinasi pelancongan yang dibuka kepada umum mulai Isnin hingga Sabtu jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 1.30 tengah hari hingga 4 petang.

“Pelancong ada yang datang dari Eropah dan negara-negara Asean, selain penduduk tempatan. Bayaran yang dikenakan untuk masuk ke dalam istana ialah 30 baht bagi dewasa dan 20 baht kanak-kanak.

“Caj yang dikenakan itu digunakan untuk menampung bayaran pentadbiran, termasuk gaji kakitangan,” kata Pak Ku.

Penulis (tengah) bergambar bersama Tengku Ayub Almarhum Tengku Abdul Hamid dan Puan Che Naliah bt Che Abdullah serta pelancong tempatan di Istana Jambu, Pattani, Thailand.

Makluman:
Terima kasih Kak Yah, Rohana dan Rosmini. Klip video akan menyusul tak lama lagi.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading