Oleh Ismail Hashim Yahaya

Selepas serangan menggila yang bertalu-talu dari darat dan udara selama dua hari Israel mula mengundurkan tenteranya dari Jenin di Tebing Barat yang diduduki.

Regim haram Israel dilaporkan melancarkan operasi ketenteraan di Tebing Barat, yang disifatkan terbesar dalam tempoh beberapa dekad ini.

Apa khabar Jenin? 

Bayangkan selama lebih dua hari dalam minggu lepas Tentera Pertahanan Israel (IDF) menyerang kemah pelarian Palestin Jenin di Wilayah Tebing Barat yang diduduki. 

Apa kesan dan impak daripada serangan ini? Dalam menjejaki serangan dengan mengikuti laporan berita secara dalam talian dan visual dapat diperhatikan serangan bermula dengan serangan udara menggunakan peluru berpandu, diteruskan pula dengan dron, kereta kebal, gas pemedih mata dan unit penembak curi dan diakhiri dengan kebakaran dan jentolak yang memusnahkan rumah-rumah penduduk Palestin dan premis perniagaan mereka.

Apa khabar Jenin?

Perdana Menteri regim pengganas, Benjamin Netanyahu menyifatkan serangan ke atas Jenin sebagai operasi khas ketenteraan iaitu SMO yang seolah-olah menyamai serangan Russia ke atas Ukraine, bayangkan SMO ke atas sebuah kawasan yang tiada pertahanan dan mundur, serangan menyasarkan yang didakwa sebagai kubu pengganas. 

Kalau sesiapa masih ingat dalam serangan tahun lepas ke atas Jenin, ia  mengakibatkan kematian seorang wartawan Al Jazeera berketurunan Palestin warga Amerika, Shireen Abu Akleh yang ditembak di kepala dalam apa yang dikenali sebagai tindakan bersasar.   

Apa khabar Jenin?

Dalam serangan paling ganas ke atas baru ini, IDF menyasarkan kesemua penduduk Jenin dengan prasarana loji tenaga, saluran paip, talian elektrik, menara telefon, kemudahan rawatan najis, jalan-jalan, sekolah masjid dan klinik yang serba kekurangan dan sentiasa rosak dan tidak berfungsi.

Dalam situasi sedemikian, tentera regim haram dan unit penembak curinya menggunakan rumah-rumah penduduk Palestin di kawasan kemah sebagai pengkalan operasi.

Ketika serangan dilakukan ambulan dan wartawan tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut bagi menyelamatkan penduduk di kemah pelarian.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengawasi kemah Jenin tidak diberitahu mengenai perlancaran serangan.  

Apa khabar Jenin?

Jenin tiada pasukan keselamatan, (Pihak Berkuasa Palestin lemah bagai pokok taughe langsung tidak boleh diharap mempertahankan kemah pelarian Jenin), Jenin tiada tentera udara dan sistem pertahanan. Jenin boleh diserang pada bila-bila masa dengan hampir ketiadaan risiko oleh mana-mana tentera yang ingin menaklukinya.

Penilaian awal menyaksikan gambaran kemusnahan yang memilukan: sekurang-kurangnya 13 kematian, lebih 100 cedera termasuk wanita dan kanak-kanak, lebih seperempat daripada 15,000 penduduk di kemah pelarian meninggalkan rumah mereka, 80 peratus bangunan di kemah pelarian Jenin dimusnahkan, rosak atau terbakar.

Pada masa yang sama ramai penduduk Palestin ditangkap, disoal siasat dan dihumban ke penjara Israel. Dalam serangan ini hanya seorang tentera Israel terbunuh itu pun mangsa tembakan rakan sendiri.

Apa khabar Jenin?

Sasaran sebenarnya ialah kemah pelarian Jenin sendiri dan apa yang dimaksudkan di sini ialah bukan penduduk dan rumah dan bangunannya tetapi apa yang dipaparkan Jenin kepada dunia khususnya dunia Islam.

Jenin diibaratkan Israel sebagai  “sarang pengganas” maka Israel seolah-olah mempunyai hak untuk menghancur dan memusnahkannya. 

Apa yang orang Pulau Pinang cakap “bagi rapat sekali” maksudnya bagi hancur sekali. 

Namun berdepan dengan segala kemungkinan, Jenin masih tegak berdiri, mampu bertahan dalam setiap serangan menggila regim pengganas Israel.

Apa khabar Jenin?

Di mata regim haram Israel, mereka yang tinggal di Jenin adalah orang yang disyaki. Selama 70 tahun , kemah yang menjadi rumah penduduk Palestin yang diusir daripada Haifa dan pergunungan Carmel semasa Nakba telah dipaksa tinggal di perumahan berek tentera British di Jenin. Selepas Perang Enam Hari, regim haram jadah menguasai seluruh Tebing Barat termasuk Jenin dan menguasainya sehingg ke hari ini.

Ini yang membawa kelahiran kemah pelarian Jenin dan siri penentangan sentiasa diteruskan suatu justifikasi kepada membalas serangan kejam Yahudi Zionis.

Kehidupan di Jenin terbatas, dikuasai oleh sistem permit dan apabila tembok apartheid didirikan yang memisahkan mereka dengan kawasan regim haram, semua pergerakan penduduk Palestin di bawah pemantauan.

Ekonomi Jenin menjadi mangsa kepada rancangan perobohan bangunan dan rumah bagaikan bom jangka. Kadar pengganguran di Tebing Barat sekitar 16 peratus. Di kemah Jenin sahaja hampir seorang daripada setiap empat rumah penduduk menganggur dan penghasilan sayur-sayuran dan buah-buahan di lembah Jezreel dilarang dijual di Israel. Jadi bagaimana ekonomi hendak berkembang dan ekonomi pertumbuhan mereka dicengkeh hingga mati oleh regim pengganas.

Bahkan sebelum serangan, kehidupan seharian di Jenin berada di tahap mendesak. Grid tenaga biasanya gagal berfungsi dan kerosakan kepada sistem najis. Kebanyakan rumah ketiadaan pengudaraan atau ventilasi, tidak cukup lampu, jamban dan bilik  air yang berada dalam keadaan teruk. 

Apa khabar Jenin? 

Penduduk Jenin sentiasa diancam ketakutan menjadi sasaran, dibom, ditembak, ditahan, disoal siasat, diseksa, dipenjarakan tanpa dibicarakan selama bertahun-tahun dan dihalau daripada rumah di kemah pelarian.

Jenin adalah amaran kepada Gaza dan kawasan lain di mana regim pengganas dapat bertindak dalam serangan menggila seperti yang berlaku ke atas Jenin. 

Apa khabar Jenin?

Segala perjanjian antarabangsa daripada perjanjan Oslo sehingga kepada puluhan Resolusi PBB bagaikan kertas tisu boleh dikoyak dan menjadi rabak rabik di tangan regim pengganas Yahudi Zionisme. 

Serangan menggila dan melampau ke atas Jenin dihentikan tetapi Jenin masih bertahan namun siri operasi ketenteraan akan diteruskan dan serangan balas pejuang akan dipergiatkan.

Apa khabar Dunia Islam?

Jangan sekadar menjadi majoriti yang diam dan penonton episod keganasan demi keganasan kejam regim pengganas Israel!

ENDS.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading