Apabila Rakan Muda dilancarkan semula oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 26 Jun lalu, ia menempelak keegoan para pemimpin Melayu.
Rakan Muda itu diberi nafas baru oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas sembilan pemimpin sebelumnya membiarkan program berkenaan yang asalnya dilancarkan pada 29 Oktober 1994, dibiarkan hampir tiga dekad hidup segan mati tak mahu.
Pemimpin DAP ini tidak segan untuk memulihkan program Rakan Muda yang satu ketika dulu menjadi platform membentuk jati diri anak muda hasil buah tangan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Abdul Ghani Othman.
Kerancakan Rakan Muda yang disambut belia dan ibu bapa di seluruh negara mula lesu apabila portfolio Belia dan Sukan itu bertukar tangan kepada Muhyiddin Yassin pada 1995, diikuti Hishamuddin Hussein, Azalina Othman Said, Ismail Sabri Yaakob, Ahmad Shabery Chik, Khairy Jamaluddin, Syed Saddiq Abdul Rahman, Reezal Merican Naina Merican dan terakhir Ahmad Faizal Azumu.
Mereka sudah tentu mempunyai alasan masing-masing dan nampaknya Hannah Yeoh menyedari bahawa program Rakan Muda adalah permata, lantas menggilapnya dengan diberi kesesuaian dalam suasana semasa.
Laman rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan bahawa inisiatif Rakan Muda kini diperkasakan semula dengan objektif untuk menjadi platform pengisian masa berkualiti dan penyatuan perpaduan.
Kalau lahirnya Rakan Muda dibawah pimpinan Abdul Ghani dengan gaya hidup anak muda dengan nama antaranya Rakan Wajadiri, Cinta Alam dan Seni Budaya, kini disesuaikan dengan keadaan semasa dengan 10 Gaya Hidup iaitu Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Demokrasi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Litar, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.
Laman web itu turut menyatakan majlis pelancaran diserikan dengan kehadiran pengasas inisiatif Rakan Muda pada tahun 1994, Abdul Ghani. Malah beliau diberikan penghormatan menyampaikan ucapan bagaimana idea tersebut dicetuskan.
Abdul Ghani menyatakan bahawa Rakan Muda menjadi program pengisian untuk anak-anak muda ketika itu berasa kekosongan serta tiada arah tuju sehingga muncul budaya lepak dalam kalangan mereka dan diburukkan lagi dengan isu bohsia.
Beliau menghargai Hannah Yeoh yang datang menemuinya untuk memahami lebih lanjut mengenai Rakan Muda dengan hasrat menyemarakkannya semula sebagai wadah membentuk sahsiah anak muda.
Sekalipun diberikan nafas baru, Hannah Yeoh banyak mengekalkan ciri-ciri Rakan Muda, termasuk logo yang menggabungkan bentuk pramid dan bintang, slogan ‘Yakin Boleh’ serta falsafah pengisiannya.
Anwar menyifatkan Program Rakan Muda yang diberi nafas baharu itu adalah persiapan bagi melahirkan generasi dengan cita-cita murni dan nilai kemanusiaan tinggi dalam menjadikan Malaysia sebuah negara hebat.
Falsafah Rakan Muda tidak asing kepada Anwar kerana beliau adalah orang nombor dua Kabinet Malaysia yang meluluskan pelaksanaan program tersebut pada 1994, dan kini ia tersedia sebagai antara platform untuk menyebar luaskan penghayatan prinsip-prinsip Madani.
Justeru, besarlah harapan ibu bapa untuk mengambil peluang daripada program ini bagi memastikan anak-anak mereka mempunyai pengisian hidup lebih bermakna bermula pada usia 15 tahun, tempoh kritikal remaja belasan tahun mencari identiti diri masing-masing.





Leave a Reply