Kita sudah pun berada di penghujung Ramadan dan pada kesempatan ini Aji nak mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua, maaf zahir dan batin.

Selain berpuasa dan berjuang melawan hawa nafsu, Ramadan sering mengingatkan kita kepada masalah dunia yang tiada penghujungnya iaitu gelagat dan perbuatan rejim Zionis.

Mereka sekali lagi memilih bulan Ramadan untuk melakukan kekejaman dengan menyerang rakyat Palestin baru-baru ini dan itulah yang berlaku pada bulan Ramadan saban tahun.

Malah, boleh dikatakan ia satu-satunya keganasan manusia pada setiap kali bulan penuh keberkatan itu disambut oleh umat Islam untuk meningkatkan amalan sebagai bekalan akhirat dan menuju jalan ke Syurga kelak.

Mengimbas beberapa tahun lalu, antara serangan bulan Ramadan berlaku pada 2014 yang berlarutan hampir tujuh minggu dan dilaporkan ia mengorbankan lebih 2,000 nyawa.

Menjelang Ramadan 2018 pula, Israel menyerang para penunjuk perasaan di Tebing Gaza dan membunuh lebih 60 orang. Pada 2019, serangan udara Israel mengorbankan sekitar 20 nyawa.

Tiga tahun lalu, mereka menyekat rakyat Palestin daripada bersolat Jumaat. Perbuatan diulangi tentera Israel pada Ramadan 2021. Tahun lepas, berlaku lagi hal seperti itu di perkarangan al-Aqsa, juga pada bulan Ramadan.

Terkini, Rejim Zionis mencemari kesucian minggu terakhir Ramadan apabila bertindak biadab menceroboh Masjid al-Aqsa menjelang sambutan Hari al-Quds Sedunia pada Jumaat. Ia berlaku pada awal pagi selepas tentera Israel menyerbu dua pintu masuk al-Aqsa iaitu Bab al-Silala dan Bab Hutta.

Pada malam sebelumnya, mereka dilaporkan melancarkan serbuan di Nablus hingga turut menyebabkan siren amaran dibunyikan di Kota Lama tersebut. Malah, sejak awal Ramadan, Israel telah melancarkan tindakan provokasi melampau ke atas penduduk Palestin di al-Aqsa.

Seperti biasa Israel akan menyatakan bahawa tindakan mereka adalah untuk melindungi ‘negara’ daripada rancangan jahat puak Islam. Reaksi negara-negara dunia pula sekadar mengutuk serangan dan Israel terus menyerang sehingga puas dan berhenti bukan kerana desakan atau campur tangan luar.

Semua orang tahu ini bukan perkara baru dan rejim Israel bertindak sesuka hati manakala ‘polis dunia’ (kuasa-kuasa besar) selalunya lambat bertindak dan apabila bertindak pun lebih kepada perbincangan demi perbincangan tanpa kesudahan muktamad.

Tidak perlu menghantar pasukan risikan bagi memahami pemikiran dan gelagat Israel ini kerana mereka melakukannya secara terbuka dan tidak peduli pun usul-usul rundingan dicadangkan atau dikemukakan kepada PBB.

Liga Arab misalnya, sekadar mampu mengulangi gesaan kepada Majlis Keselamatan PBB dan pertubuhan hak asasi manusia, agar mengambil tindakan segera dan berkesan bagi menghentikan keganasan, menyediakan sistem perlindungan antarabangsa bagi rakyat Palestin dengan melaksanakan resolusi PBB yang bersesuaian.

Skrip serangannya sama walaupun ada kala berbeza jalan cerita. Ia bagaikan pita rakaman yang dimainkan setiap tahan dan filem dipertontonkan kepada masyarakat dunia yang lesu dan lemas dalam cengkaman Yahudi.

Barangkali sampai kiamat pun isu ini menjadi hidangan masyarakat antarabangsa, khususnya kuasa-kuasa besar untuk menjamahnya dengan alasan mereka bertungkus lumus menjaga keamanan dunia.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading