
Pekan menandatangani perakuan pihaknya sambil diperhatikan Hannah pada majlis akuan sokongan Kod Sukan Selamat di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia memberi kerjasama terbaik ‘ke arah mewujudkan persekitaran sukan yang selamat’ sepertimana yang disarankan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada sesi menandatangani ‘Kod Sukan Selamat’ di Putrajaya.
Acara berkenaan yang membabitkan 60 entiti sukan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan KPT itu disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, KPT, Datuk Dr Pekan Ramli, pengajaran mengenai nilai baik serta skop salah laku dalam sukan dan etika sebenarnya sudah ada dalam silibus pengajian program sukan di peringkat IPT.
“Kewujudan Kod Sukan Selamat ini boleh dijadikan sebagai panduan dan peringatan atau penambahbaikan kepada semua pihak yang terbabit dalam sukan di IPT,” katanya.
KPT diwakili Pekan dan wakil Majlis Sukan IPT, termasuk Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP), Majlis Sukan Kolej Komuniti (Maskom) dan Majlis Sukan IPTS Malaysia (Masiswa).
Difahamkan, KPT akan meminta semua empat majlis sukan IPT dan pusat sukan badan berkenaan untuk melantik pegawai khas serta membentuk jawatankuasa berkaitan dengan Kod Sukan Selamat berkenaan.
“Ia penting bagi memastikan tidak berlaku skop salah laku dalam sukan di peringkat institusi pengajian tinggi,” kata Pekan.
Selain KPT, KPM juga menjadi rakan strategik utama bagi program ini.
Sementara itu, laporan Bernama menyebut, Hannah beranggapan pelajar di sekolah dan mahasiswa universiti adalah pihak berkepentingan besar bagi kod terbabit ketika sekolah adalah akar umbi kepada pembangunan atlet negara.
“Saya percaya semua pelajar dan jurulatih akan mempunyai kesedaran tinggi mengenai Kod Sukan Selamat . Apabila kesedaran itu wujud mereka akan mengerti bagaimana mahu membawa diri ketika melakukan kegiatan sukan,” katanya.
Hannah menambah, enam aspek diberikan keutamaan dalam kod ini adalah membabitkan gangguan seksual, salah laku mental, salah laku fizikal, pembulian, pengantunan seksual dan kesalahan sedia ada di bawah undang-undang negara.
Kod Sukan Selamat yang dilancarkan pada 15 Mac lalu, merangkumi tatacara kelakuan yang bakal diguna pakai untuk mengendalikan aduan mengenai gangguan seksual dalam industri sukan sebelum digantikan dengan Akta Sukan pada masa depan.

Hannah dan Fadhlina (barisan depan) bersama wakil dari KPM dan KPT pada majlis menandatangani akuan sokongan Kod Sukan Selamat di Menara Kementerian Belia dan Sukan.





Leave a Reply