
Oleh V. Ashok
Syabas diucapkan kepada skuad Harimau Malaya yang berjaya menghuni tangga ke-138 ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Mungkin ia satu kejayaan kecil, malah masih jauh di belakang sejarah yang pernah dirakamkan pada 1993 iaitu ditempat ke-75 dunia.
Namun, tujuh anak tangga didaki tetap satu detik positif pada saat ini.
Perkembangan terbaru ini dikaitkan atas kejayaan anak didik Kim Pan-gon yang menjelmakan aksi terpuji ketika menewaskan Turkmenistan dan Hong Kong dalam siri persahabataan antarabangsa, baru-baru ini dan juga kejayaan layak ke separuh akhir Piala AFF 2022.
Ini jelas satu keyakinan baru disajikan pemain yang mahu mengorak langkah walaupun ada sesetengah pengkritk beranggapan tiada apa yang perlu dibanggakan dapat naik tujuh anak tangga itu. Difahamkan ini adalah ranking terbaik kita sejak 2006.
Apa yang penting selepas ini adalah persembahan konsisten pasukan dan usah turun lagi anak tangga, malah ilhamkan laluan untuk naik satu demi satu. Kalau jatuh satu atau dua anak tangga tidak membimbangkan tapi sentiasa kena ada satu tabiat untuk melonjak semula dan mencari status baru.
Ranking terbaik pada 1993, iaitu menghuni tangga ke-75 dunia menyusul selepas mencatat beberapa siri keputusan amat memberangangkan di pentas antarabangsa.
Status ini turut dikaitkan dengan kejayaan pasukan kebangsaan menjulang trofi Pestabola Merdeka pada tahun sama selepas menumpaskan gergasi Asia, Korea Selatan.
Ranking paling terendah dalam sejarah bola sepak kita ialah 178 yang dicatat pada 2018.
Mungkin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga, selepas sekian lama membuat pelbagai eksperimen untuk melonjakkan status skuad negara, kini bagai ‘bangun dari tidur yang agak lama.’
Ketua jurulatih, Pan-gon dengan pendekatan lebih agresif kini mencanang Harimau Malaya untuk melakar sejarah baru dengan barisan yang boleh dianggap memiliki kualiti dan semangat sepasukan tinggi.
Bagi merealisikan impian, pengendali berasal dari Korea Selatan itu pernah menyuarakan pandangan mahu memburu pasukan lawan berkualiti untuk aksi persahabatan.
“Kami sedang merancang perlawanan yang kompetitif. Untuk itu, kami menghantar surat jemputan dan mencari pasukan lawan yang kuat bagi tujuan siri persahabatan antarabangsa,” katanya di sidang media ulang tahun pertamanya.
Pendekatan itu serta sifat teliti dalam setiap gerak kerja beliau itu mula membutirkan hasil ketika ini dan harus mendapat sokongan semua pihak terbabit walaupun pada hakikatnya sukar bagi kita untuk kembali mencecah tangga ke-75 dalam tempoh terdekat ini.
FAM setidak-tidaknya boleh melakarkan program baru, mengusahakan laluan Harimau Malaya tersenarai dalam kelompok 100 teratas dunia. Ia pasti akan dirakamkan dalam rekod sebagai pencapaian amat terpuji andai ia menjadi satu realiti satu hari nanti.
Sementara itu, penganalis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli menyifatkan perkembangan semasa ketika ini sebagai sesuatu yang positif serta mencapai objektif, terutamanya menerusi dua aksi persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong.
Malah, beliau juga menyebut ranking dicatat pada hari ini kebetulan tiba pada ketika skuad negara bakal mengharungi cabaran di pusingan akhir Piala Asia, awal tahun depan.
“Namun, pada pengamatan saya, ranking ke-138 belum cukup untuk kita berasa bangga kerana di Asia Tenggara kita masih di belakang Vietnam (95), Thailand, (114) dan Filipina (136).
“Di Asia pula kita berada ditempat ke-25 daripada jumlah 46 negara. Apakah kita boleh berada di bawah ranking 100 menjelang 2030 atau mencapai sasaran F30 yang dilakar FAM sebagai hala tuju untuk muncul sebagai gergasi bola sepak Asia.
“Saya optimis boleh tercapai tapi Harimau Malaya perlu lebih menonjol gaya permainannya dipersada antarabangsa bagi tujuan menarik pasukan lain ‘mengidam’ untuk beraksi menentang Malaysia tanpa mengambil kira ranking semasa pasukan negara,” katanya kepada ApaKhabarTV, semalam.
Pekan juga menyuarakan pandangan betapa skuad negara tidak boleh sentiasa mengharapkan untuk menewaskan pasukan yang hampir sama dengan ranking mereka atau pun lawan lebih tercorot untuk melonjakkan lagi posisi Harimau Malaya.
Ini kerana pungutan mata FIFA adalah berkurangan dan perubahan ranking kelak mungkin tidak begitu drastik atau pun boleh disifatkan perlahan.
“Strategi terbaik adalah mewujudkan pelbagai kejohanan jemputan antarabangsa. Kita juga harus menjemput pasukan hebat untuk hadir beraksi. Gunakan sebaik-baiknya peluang seperti ini untuk menang,” katanya.
Apabila menyebut ranking skuad negara yang merudum teruk selepas 1993, kita juga tidak dapat melarikan diri daripada hakikat betapa skandal rasuah pada 1994 menyentap cabaran pasukan yang menjadi hampir lumpuh satu ketika.
Menurut laporan, kita kehilangan lebih 80 pemain dan jurulatih selepas lebih 100 daripada mereka disoal siasat pihak polis.
Kehilangan pemain berbakat, sebahagian besar yang membentuk tulang belakang pasukan, jelas memberi kesan besar. Malek Rahman, umpamanya, adalah bintang sensasi skuad negara yang berjaya menewaskan Korea Selatan dalam final Pestabola Merdeka 1993.
Satu lagi pemain tersohor ketika itu, Azizol Abu Hanifah turut terkena tempiasnya selepas arkitek skuad kebangsaan, yang penuh dengan nama-nama besar ketika itu, termasuk Matlan Marjan, digantung permainan atas skandal berkenaan.
Perkembangan amat menyedihkan ketika itu menggoncang bola sepak tanah air yang mula menjadi kucar kacir.
Sejak itu, skuad negara kehilangan ramai tonggak dan kepincangan itu memberi impak besar kepada kemantapan pasukan yang sesungguhnya hilang sengat di pentas antarabangsa, termasuk Sukan SEA, umpamanya.
Pada 1994 dan 1995, ranking Malaysia berlegar antara tangga ke-75 hingga ke-95 dunia dan kejatuhan secara drastik itu berterusan masuk ke alaf baru.
Kini, sedikit kestabilan sudah mula terbayang pada wajah skuad Harimau Malaya sejak kehadiran Pan-gon.
Rata-rata anak didiknya itu mula menunjukkan satu tabiat untuk menang pada setiap perlawanan.
Harap tujuh anak tangga didaki itu menjadi satu permulaan baru bagi setiap pemain negara untuk membuktikan nilai masing-masing bahawa mereka memiliki ramuan untuk menjadi pencabar terkuat di pentas Asia dan juga Asia Tenggara.
Pengkritik dan peminat tegar sentiasa mahu melihat ‘selera besar’ berkekalan pada pemain untuk turun ke padang dan menang. Itulah mentaliti bola sepak era moden – menjaringkan gol dan menang tiga mata.
Majulah bola sepak untuk negara!





Leave a Reply