Oleh Amerul Muner Mohammad
Setelah 65 tahun merdeka dan 15 kali pilihan raya umum, kerajaan kini menunjukkan minat yang lebih tinggi untuk menggubal undang-undang berkaitan pembiayaan politik. Sebagai sebuah negara demokrasi, kebebasan berpersatuan dan berpolitik adalah terjamin di dalam perlembagaan persekutuan. Kebebasan tersebut adalah tertakluk kepada undang-undang yang ditetapkan oleh Parlimen. Apabila tiada undang-undang khusus yang menghalang sesuatu kegiatan, maka aktiviti tersebut dibolehkan selagi tidak bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.
Parti-parti politik ditubuhkan untuk ‘memperjuangkan’ hak dan kepentingan rakyat. Setiap aktiviti yang dijalankan bagi tujuan tersebut memerlukan dana. Yuran keahlian dan sumbangan penyokong merupakan punca pendapatan utama bagi parti-parti politik. Sejarah menunjukkan ada penyokong parti sanggup menyerahkan barang kemas, wang ringgit dan lain-lain harta bagi tujuan menjayakan fahaman politik. Sumbangan politik bukan sahaja dari individual malah dari badan-badan koperat dan institusi yang menyokong parti masing-masing.
Sumbangan politik adalah sebahagian daripada kebebasan bersuara dan berpersatuan yang dinikmati oleh rakyat negara ini. Namun begitu perkara asas yang harus ditekankan adalah: sumbangan kepada parti-parti politik mestilah melalui suatu mekanisme yang telus dan berintegriti bagi memastikan sumbangan tersebut tidak membawa kepada gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penyokong politik dan kerajaan memerintah.
Untuk merangka undang-undang pembiayaan politik, beberapa faktor harus dititik-beratkan.
Undang-undang tersebut harus mengambil kira budaya politik tempatan dan nilai-nilai yang terkandung di dalam perlembagaan persekutuan. Undang-undang tidak seharusnya menghalang kebebasan tetapi mesti diimbangi dengan kawalan terhadap gejala yang boleh membawa kesan negatif yang lebih besar terhadap masyarakat seperti rasuah dan salah guna kuasa.
Sumbangan politik yang dibalas dengan pemberian projek-projek kerajaan tidak telus kepada penderma politik jelas akan menjejaskan kredibiliti terhadap tadbir urus negara. Derma politik juga boleh menyebabkan polisi-polisi awam disusun bagi menjamin kepentingan politik pemerintah tidak terganggu. Apabila polisi pentadbiran dicemari, keyakinan pelabur akan berkurangan dan menyebabkan keadaan ekonomi negara terjejas.
Sumber wang yang didermakan bagi tujuan politik juga harus diketahui umum.
Politik adalah suatu arena di mana hak dan kepentingan rakyat diperjuangkan oleh pemimpin politik. Oleh yang demikian wang yang digunakan oleh parti-parti politik haruslah daripada sumber yang bersih dan tidak diragui. Memandangkan kegiatan politik di negara ini menelan belanja yang besar, terutama di musim pilihan raya, tidak mustahil sumber wang dari ekonomi gelap akan dibersihkan melalui perbelanjaan politik. Apabila politik dicampuradukkan dengan ekonomi gelap, kredibiliti ahli-ahli politik akan tergugat menjadikan keseluruhan integriti pilihan raya dan sistem politik hancur.
Politik adalah terbuka kepada setiap rakyat. Kemuncak kegiatan berpolitik adalah pilihan raya. Pemilihan ini haruslah dijalankan di atas lapangan yang sama rata tanpa mengira status dan kedudukan pengundi dan calon-calon yang mengambil bahagian. Setelah 15 kali pilihan raya umum diadakan, jelas kelihatan calon dan parti politik yang mempunyai sumber kewangan yang besar mempunyai peluang yang lebih besar untuk memenangi pilihan raya.
Walaupun sumber kewangan bukanlah penanda kemenangan di dalam sesuatu pilihan raya, namun parti yang kaya kelihatan seolah-olah mengawal perjalanan pilihan raya dengan lebih berkesan. Kelebihan ini menjadikan platfom pilihan raya lebih memihak kepada parti-parti politik yang besar manakala parti-parti kecil tidak mempunyai ruang untuk mengambil bahagian dengan lebih berkesan di dalam sesuatu pilihan raya.
Pengwujudan undang-undang pembiayaan politik akan mengubah landskap politik di negara ini. Keberkesanan undang-undang ini juga bergantung kepada keterbukaan atau ketelusan parti-parti politik, penyokong, pentadbir negara dan badan penguatkuasaan yang bakal mengawal selia undang-undang ini apabila dikuatkuasakan nanti. Pemberi dan penerima sumbangan politik harus mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk mengisytiharkan sebarang sumbangan yang dilakukan.
Setelah sekian lama perkara ini dipraktiskan tanpa sebarang peraturan, rakyat ternanti untuk melihat sama ada ahli-ahli politik dan para dermawan akan merasa selesa untuk membuat perisytiharan sumbangan politik. Ramai penyokong terutama dalam kalangan korporat menyumbang kepada kedua-dua pihak bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka dan ini memberi gambaran negatif terhadap kesetiaan mereka kepada parti tertentu. Banyak badan korporat yang tidak mahu mendedahkan halatuju sokongan politik mereka. Manakala parti politik yang memerintah pula mungkin menggunakan kuasa pentadbiran mereka menghukum penderma kepada parti lawan.Â
Pelbagai kajian telah dijalankan dan cadangan penambahbaikan telah dikemukakan kepada kerajaan seperti yang dilakukan oleh Jawatan Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (2015-2016) dan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya (2018-2020). Namun sehingga ke hari, cadangan-cadangan tersebut masih menunggu untuk dilaksanakan secara lebih menyeluruh oleh kerajaan. Sekiranya semua pihak serius dalam perkara ini, pelaksanaannya akan menjadi lebih mudah.
Perubahan landskap politik adalah satu perkara yang menakutkan kepada ahli-ahli politik kerana merekalah yang akan terkesan sekiranya perubahan ini berlaku. Ahli-ahli politik yang mempunyai nilai integriti yang tinggi mengalu-alukan kewujudan undang-undang pembiayaan politik ini kerana undang-undang ini boleh membantu untuk mengurangkan kos berpolitik tanpa menjejaskan sokongan kepada parti masing-masing.
Masyarakat dan pengundi harus dididik agar politik tidak dijadikan pentas untu mengutip wang ihsan. Nilai integriti yang tinggi dalam kalangan ahli politik adalah tuntutan utama dan tanpa nilai integriti, seseorang calon tidak akan dipilih. Pengundi tidak harus menggadai masa depan negara hanya kerana pemberian imbuhan semasa pilihan raya.
NOTA: Penulis ialah Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya, JPM dan Pengasas Bersama Centre for Electoral Education and Democracy, MalaysiaÂ





Leave a Reply