Bulan lalu, Selekoh Tajam ada membicarakan supaya pengambilan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) diteliti semula agar ia benar-benar memberi peluang pendidikan berkualiti kepada keluarga miskin dan akses kepada pelajar berpotensi dari luar bandar.
Ini kerana gambaran kasar berderet kereta mewah mengambil dan menghantar anak ke asrama tidak lagi memberi gambaran bahawa mereka datang daripada keluarga luar bandar atau yang tidak berkemampuan.
Apakah sudah tidak ada lagi pelajar miskin atau luar bandar untuk diberi peluang berhijrah dan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti di SBP dan MRSM?
Dalam pada kita bertanya-tanya demikian, Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini menimbulkan semula angan-angan mahu mewujudkan MRSM berbayar bagi memenuhi kehendak masyarakat berpendapatan tinggi.
Apa matlamat sebenar hasrat ini? Mahu mewujudkan satu rantaian pendidikan swasta peringkat menengah? MARA mahu menjana pendapatan melalui pengkomersilan pendidikan?
Jika itu tujuannya, jangan campur-adukkan dengan MRSM. Gunalah model lain dan tadbirlah secara komersial.
Kalau dalam keadaan sekarang pun, MRSM yang diwujudkan dengan tujuan murni memberi akses kepada golongan miskin dan luar bandar, telah dipenuhi dengan anak-anak orang berada, tidak mustahil lambat laun, keseluruhan rantaian MRSM menjadi entiti komersial pada masa depan.
Pengerusi baru, Asyraf Wajdi Dusuki mungkin mahu membawa pembaharuan dan menunjukkan hasil tangannya, namun jangan jadikan MRSM sebagai bahan uji kajinya. Buatlah sesuatu yang baru dan berkesan tanpa melibatkan model sedia ada.
Tidak salah MARA melaksanakan sesuatu pendekatan dan pelaburan bagi memperkayakan sumber pendapatan, tetapi jangan sampai ia menggadaikan matlamat dan tujuan MARA itu sendiri, apatah lagi andai ia akhirnya memperdagangkan maruah bangsa Melayu.
Media memetik Asyraf Wajdi sebagai berkata: “Penubuhan MRSM berbayar ini kelak bukan hanya untuk golongan T20 tetapi mungkin dalam 30 peratus kita akan ambil pelajar daripada golongan B40 yang mendapat tajaan badan-badan korporat seperti Yayasan Pelajaran Mara.”
Amalan ini nampaknya sudah pun bermula apabila beliau juga dipetik sebagai berkata, dasar pengambilan pelajar MRSM ketika ini adalah 60 peratus daripada keluarga berpendapatan rendah B40 dan selebihnya diberikan kepada pelajar daripada keluarga M40 dan T20.
Beliau juga memberikan alasan lain dengan berkata: “Saya lihat tuntutan dan harapan masyarakat pada MRSM begitu tinggi, tahun ini sahaja seramai 90,000 permohonan yang diterima sedangkan kita cuma ada kira-kira 7,100 tempat sahaja.”
Adakah bermakna 80,000 pemohon yang gagal itu adalah anak-anak golongan berpendapatan tinggi sehingga negara memerlukan MRSM berbayar, atau ramai kalangan mereka itu adalah daripada golongan tidak berkemampuan tetapi dinafikan tempatnya oleh dasar pengambilan tadi.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi ada memberi jaminan bahawa penubuhan MRSM berbayar tidak akan menggunakan peruntukan kerajaan atau dibina di atas tanah rakyat miskin.
Katanya, kerajaan akan menggunakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk pembiayaan MRSM terbabit. Katanya lagi, kajian menunjukkan ramai pelajar berkelayakan memasuki MRSM, tetapi tidak layak dari segi pendapatan ibu bapa.
Nah, jelas jawapannya. Kembalikan konsep MRSM untuk pelajar layak dari segi akademik dan pendapatan isi rumah, noktah. Buat pula sistem sekolah baru dan tidak ada kena mengena dengan MRSM untuk pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan tinggi, noktah.





Leave a Reply