Di sebalik kontroversi pengeluaran susulan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta kekal haluan tindakan dan melakukan apa yang patut untuk Malaysia dan rakyat Malaysia.

Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Penasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D’Angelus berkata, kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar sedang menghadapi ujian politik yang getir.

“Terdiri daripada gabungan yang rakan kongsi yang boleh disifatkan sebagai teman sekamar yang aneh, ia kini menjadi kontroversi sama ada membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka dalam KWSP bagi mengurangkan krisis kos sara hidup,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, pembangkang yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali mendesak agar membenarkan pengeluaran KWSP sekali lagi.

“Satu perkara yang dipersetujui oleh semua pihak ialah rakyat B40 di negara ini sedang bergelut untuk memenuhi keperluan hidup harian mereka.

“Muhyiddin dan Azmin berhujah bahawa orang ramai harus dibenar mengeluarkan simpanan KWSP mereka kerana itu adalah wang mereka. Ini mengambil pandangan jangka pendek dan tidak bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu ekonomi dan sosial yang besar,” kata beliau.

SPCAAM ditubuhkan Mei tahun lalu bagi memperjuangkan kepentingan pencarum perlindungan sosial pekerja-pekerja di negara ini.

Ahad lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pengeluaran caruman KWSP akan memberi kesan kepada dana pelaburan negara.

Susulan itu, beliau menegaskan, kerajaan perlu mencari jalan lain bagi meringankan beban rakyat dalam usaha memastikan dana pelaburan negara itu tidak terjejas.

Anwar berkata, tindakan kerajaan memberikan RM500 kepada pencarum yang mempunyai simpanan RM10,000 ke bawah adalah bagi membolehkan wang itu dilabur KWSP.

Katanya, pemberian RM500 itu akan memberi dividen dan wang tambahan kepada simpanan persaraan pencarum.

Selain itu, kerajaan mempertahankan langkah membenarkan ahli KWSP menggunakan caruman mereka sebagai cagaran pinjaman peribadi kerana langkah itu tidak bercanggah dengan Akta KWSP 1991.

Anwar berkata perkara itu sudah dibincang dan diperhalusi bersama pihak KWSP sebelum kaedah itu diumumkan oleh beliau di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Dalam kenyataannya, Anthony berkata: “Adakah masalah ekonomi masyarakat B40 dapat diselesaikan dengan membenarkan mereka mengeluarkan akaun KWSP mereka? Apa yang akan berlaku apabila simpanan kehabisan?”

“Keadaan itu kemudian mencetuskan kedua-dua masalah segera dan jangka panjang untuk rakyat dan negara secara keseluruhan. Apa yang berlaku apabila ahli KWSP yang sama mencapai umur persaraan?” kata beliau dan menambah, jelas terbukti bahawa Muhyiddin dan Azmin ketandusan idea tentang cara menangani krisis ekonomi yang teruk yang memberi kesan paling besar ke atas rakyat B40.

Malah kata beliau, Anwar adalah betul dalam menyatakan bahawa pelbagai bentuk campur tangan ekonomi adalah perlu, yang akan membolehkan penyelesaian berterusan bagi krisis kos sara hidup.

“Ketidakcekapan yang disebabkan oleh rasuah sistemik, tadbir urus yang lemah dan dasar yang tidak sesuai harus ditangani, seperti yang cuba dilakukan oleh Anwar.

“Menginstitusikan gaji sara hidup di negara ini dan memastikan korporat Malaysia bertindak dengan bertanggungjawab adalah penting sebagai sebahagian daripada pembaharuan yang seimbang,” kata beliau.

Beliau menambah, bagaimanakah organisasi korporat utama boleh mempunyai pekerja yang termasuk dalam komuniti B40?

“Semua ini berlaku apabila pendapatan dan ketidaksamaan kekayaan semakin meningkat dalam negara.

“Korporat Malaysia telah dibenarkan untuk berkelakuan sedemikian kerana mereka telah menerima manfaat daripada rasuah yang telah diinstitusikan dan tadbir urus yang lemah,” kata beliau.

Menurut beliau, institusi seperti Bank Negara dan Kementerian Sumber Manusia harus campur tangan dan menggunakan kuasa pemujukan mereka untuk memberi manfaat kepada para pekerja.

“Dengan berbuat demikian, ia tidak mengorbankan perniagaan dan khususnya perniagaan besar. Ia hanyalah satu kes memaksa tangan perniagaan besar khususnya untuk bertindak secara bertanggungjawab.

“Anwar akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan asas politiknya, pada masa yang sama mengemudi negara di jalan yang berbeza.

“Malaysia harus bercita-cita untuk dikenali dengan kerancakan ekonomi dan sosial, institusi demokrasi yang bebas, institusi masyarakat sivil yang kukuh dan budaya inklusif.

“Ini akan menjadi pemulihan daripada reputasi kleptokrasi dan sikap tidak bertoleransi kaum dan agama,” katanya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading