Oleh V. Ashok

Sesudah tamat empat perlawanan pertama Liga Super, musim ini jelas sekali apa yang sedang berlegar dalam minda peminat bola sepak tanah air adalah Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap mantap untuk muncul juara sekali lagi.

Ada juga di kalangan mereka secara berseloroh menyebut topik lebih menarik sudah beralih kepada bicara – siapa bakal muncul naib juara.

Mata maksimum dengan 17 ledakan gol dan hanya dibolosi sekali, menerbitkan segala rasa yang menakutkan di kalangan pasukan pencabar yang harus beranggapan betapa gelaran ke-10 secara berturut-turut pihak lawan nampak semacam suatu realiti.

JDT jelas ada tabiat untuk menang, tambahan dengan jaringan besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pemain import dan tempatan berjaya diadunkan dengan baik sehingga sukar dicari kelemahan untuk dieksploitasi lawan. Ada juga sedikit persamaan mereka dengan perwatakan kelab Manchester City.

Sabah dan Selangor yang berada dua mata di belakang skuad bergelar Harimau Selatan itu berdepan tugasan berat menempuh satu lagi musim mencabar.
Begitu juga Kedah atau pun Terengganu.

Ranjaunya masih panjang dan apakah kelab besar ini mampu konsisten untuk menghambat barisan anak didik Esteban Scolari sehingga ke garisan penamat atau pun hanya sehingga separuh jalan.

Ini belum lagi dengan kehadiran penyerang Colombia, Radamel Falcao yang sudah hangat diperkatakan sedang dipancing oleh pengurusan JDT untuk memantapkan cabaran mereka bagi saingan di peringkat benua Asia.

Ketika ini pemain berusia 37 tahun itu terikat dengan kelab Sepanyol, Rayo Vallecano sejak 2021 dan difahamkan kontrak penggempur itu bakal berakhir Jun ini.

Tidak dinafikan ia satu perkembangan yang baik. Jika berhasil, ia akan menjadi satu tarikan besar dalam Liga Super untuk menambah nilai komersial ketika peminat tanah air sentiasa ghairah dengan ketibaan nama-nama pemain tersohor seperti ini.

Falcao mungkin tidak dapat menjelmakan aksi atau kelibat garang sebagaimana dia pernah tonjolkan bersama beberapa kelab ternama pada usia muda. Ini termasuk ketika mewakili Manchester United (2014-2015) dan Chelsea (2015-2016) – kedua-duanya selaku pemain pinjaman.

Namun, dia pasti menjadi tarikan baru dan akan menambah sengat untuk JDT memburu trofi di peringkat Asia. Peminat tempatan juga ghairah menunggu kelibatnya dalam Liga Super atau pun Piala Malaysia jika perpindahan dari La Liga menjadi satu realiti.

Ini bukan kali pertama JDT menawarkan kontrak kepada pemain ternama. Pada 2014, bekas penyerang sensasi Argentina, Pablo Aimar turut memperagakan kelibatnya pada usia 34 tahun dan berjaya meninggalkan impak besar walaupun untuk satu tempoh singkat.

Bagi bola sepak, kehadiran pemain seperti Falcao akan menjadi inspirasi kepada pemain tempatan dan juga satu penjenamaan kepada bola sepak bagi mewarnai liga elit negara.

Di negara ini, bola sepak menjadi satu kegilaan kepada berjuta peminat tegar di tanah air. Jika ada nama besar hadir, tarikan penonton untuk hadir membanjiri stadium juga akan bertambah mudah.

Daripada membiarkan banyak gelanggang pertandingan Liga Super dengan hampir separuh penonton atau pun kurang, adalah baik juga jika nama tersohor seperti ini membantu penjualan tiket – bukan hanya untuk JDT tetapi pasukan atau kelab lain yang menjadi tuan rumah.

Apa yang dilakukan JDT adalah satu inisiatif baik untuk penyokong mereka sebagai menghargai sumbangan bermakna meningkatkan semangat perjuangan pasukan.

Setiap inisiatif baru oleh JDT mendapatkan tenaga import tersohor juga kerap dicemburui pihak lawan.

Bicara mudah adalah kuasa wang milik Harimau Selatan untuk membeli pemain ternama.

Baru-baru ini, Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn. Bhd, Effebdi Jagan Abdullah dipetik sebagai berkata usaha yang diambil oleh JDT harus menjadi contoh kepada kelab lain, khasnya di Liga Super.

Ini kerana pada beliau ia secara tidak langsung akan dapat menaikkan imej liga tempatan kita yang memerlukan warna tambahan untuk menyeronokkan penyokong kita yang sudah lama setia bersama pasukan masing-masing.

“Ya…memang pasukan Liga-M harus melakukan marquee signing supaya liga kita akan lebih dihormati dan menjadi tarikan kepada pemain luar yang berkaliber serta mempunyai nama,” katanya kepada sebuah portal berita tempatan, baru-baru ini.

Ini juga satu mesej untuk kelab lain mencari ilham mendapatkan dana memancing pemain ternama sambil menghentikan bicara mengenai kemampuan JDT. Perbualan ini tiada penghujungnya.
Cuma apa yang membantutkan usaha sesetengah pasukan adalah sumber kewangan yang hanya sekadar ‘cukup makan’, termasuk soal membayar gaji pemain dan kos perbelanjaan lain.

Setiap musim, soal penajaan menjadi isu memeningkan pasukan dan kekangan ini memaksa pengambilan pemain asing mengikut bajet masing-masing untuk memantapkan pasukan.

Tidak salah andai persatuan bola sepak negeri lain cuba mengambil satu inisiatif mencontohi jejak jaya JDT, khususnya perancangan dan visi Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak 2013.

Jika satu usaha ke arah sama tidak diambil, ia jelas memberi petanda kelab lain dalam liga elit akan terus ketinggalan. Perkembangan ini kurang baik untuk bola sepak negara ketika ramai pengkritik beranggapan kejayaan liga tempatan mencerminkan kemantapan skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

Mungkin pemimpin atau peneraju setiap persatuan bola sepak negeri tampil melakar lagi usaha mencari dana cukup untuk meningkatkan nilai komersial masing-masing.

Bekas pemain bintang bukan saja dapat membantu meningkatkan profil pasukan atau kelab malah boleh menjadi duta membantu tarikan tontonan atau setidak-tidaknya mampu menarik penaja tampil berjuang bersama pasukan pilihan mereka.

Liga China, Jepun, Korea Selatan atau Liga Australia juga pernah menggunakan barisan pemain tersohor yang digelar ‘kuda tua’ mewarnai kancah liga domestik masing-masing. Ini semua bagi tujuan meningkatkan pemasaran dan ketika sama menambah kekuatan pasukan.

Kelab tempatan kita tidak perlu membeli ramai pemain bintang, seorang pun sudah cukup dalam situasi kantung pasukan yang kempis ini.

Jika ada satu kelab dapat memulakan misi ini dulu, ada kemungkinan pasukan lain bakal ikut jejak sama. Bola sepak di Malaysia masih hidup dan menjadi ikutan ramai penyokong.

Di Liga Malaysia, pemain bintang dari Eropah, umpamanya, yang sudah berusia seperti Falcao masih mampu memberi aksi tahap tertinggi dan berbaloi dengan gaji mereka. Pemain tempatan muda juga akan mendapat suatu inspirasi bermain bersama pemain idola seperti ini.

Jika usaha memancing pemain yang bergelar “El Tigre” itu terhasil, Liga Malaysia pasti sentiasa rancak dan bagi JDT, koleksi trofi dalam almari pasukan akan bertambah lagi.

Bila pula Kedah, Selangor, Pahang, Perak, Terengganu – pasukan yang ada prospek menghalang JDT – akan mengorak langkah memancing bekas bintang bola sepak dunia?

Majulah bola sepak untuk negara!

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading