Teknologi komunikasi telah menjadikan semuanya di hujung jari melalui telefon pintar di tangan. Seluruh ilmu dari perut bumi hingga ke cekerawala boleh dicapai melalui peranti dan aplikasi di tangan manusia.
Lantas kita sentiasa melihat manusia menekuni telefon tangan masing-masing, sehingga ramai tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling. Begitu juga rakyat Malaysia ketika di kedai makan, dalam pengangkutan awam, pusat belah belah, hatta di pejabat dan di tepi jalan atau di mana sahaja.
Sekali pandang, ledakan teknologi komunikasi telah menjadikan rakyat Malaysia masyarakat membaca. Satu budaya yang sekian lama boleh dikatakan gagal diterapkan kepada mereka, lantas kita sering mencemburui rakyat Jepun, Korea dan Eropah yang budaya membacanya amat tinggi.
Namun, kalau diperhatikan apakah rakyat Malaysia memang membaca dan mencerna dalam fikiran maklumat-maklumat berguna diperolehi melalui telefon pintar masing-masing? Apakah kita telah berjaya melahirkan masyarakat membaca dan berilmu yang sangat kita impikan selama ini?
Apabila dijengah, kebanyakannya menekuni telefon bukan sebagai ganti bahan bacaan seperti buku, majalah dan akhbar, sebaliknya bermain video, menonton filem, keratan video, berbalas-balas posting dan pelbagai bahan viral yang tidak bermanfaat kerana sekadar menyeronokkan hingga barangkali ada yang membuka aib serta boleh menjadi fitnah.
Mereka lemas dan karam dalam media sosial yang sudah menguasai dengan perangkap budaya berinteraksi dan berkomunikasi berjam-jam sehari melalui Facebook, WhatsApp, Instagram, Tik Tok, Twitter dan pelbagai aplikasi lain.
Semua kita sedar hal ini dah sudah menjadi barah hingga membawa perbalahan sesama sahabat, bermasam muka kalangan jiran tetangga, perseteruan antara darah daging dan lebih buruk membawa keruntuhan rumah tangga, yang semuanya memberi kesan besar kepada mereka yang terlibat.
Dalam hal lebih serius juga, Kajian profil Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menunjukkan rakyat Malaysia membaca tidak lebih tiga jam seminggu berbanding rakyat Thailand dan China di antara lapan hingga sembilan jam manakala rakyat India pula melebihi 10 jam.
Buku popular dalam kalangan pembaca Malaysia pula ialah fiksyen (76 peratus), hobi dan minat (53 peratus), bukan fiksyen (36 peratus), perniagaan (18 peratus), ulasan saintifik dan buku teks (18 peratus) dan sains popular sebanyak 15 peratus.
Dalam kajian itu, ramai responden menyatakan tidak minat dan tidak peduli dengan buku sebagai sumber bacaan. Apabila malas membaca bahan ilmiah, dengan sendirinya malas berfikir dan tidak berupaya mencerna secara mendalam serta mudah lupa kepada sejarah dan pengajaran.
Walhal, pembacaan dapat mempertingkatkan kecerdasan emosi (EQ) dan tahap kecerdasan intelektual (IQ) seseorang, lantas negara bergantung kepada rakyat yang mempunyai kekuatan tersebut untuk membangun dan maju.
Sehingga kini, hanya segelintir rakyat negara ini mampu menjadi penggerak kemajuan sedangkan yang lain hanyalah masyarakat pengguna walaupun ribuan profesional dan warga teknikal dilahirkan saban tahun.
Apakah keupayaan mereka ini sekadar memenuhi tuntutan keperluan kerja dan pasaran dan ilmu tidak berkembang melalui pembacaan, penyelidikan dan inovasi.
Untuk menjadi negara maju, rakyatnya perlu berilmu dan bertamadun. Mereka yang menguasai ilmu dan mencipta teknologi, menjadi peneraju budaya dan cara hidup manusia.
Justeru, Menteri Pendidikan dan kementeriannya perlu memikirkan sedalamnya bagaimana boleh menjadikan insitusi sekolah sebagai wadah melahirkan masyarakat membaca, berilmu dan berbudaya dan bertamadun.






Leave a Reply