Shahrizat Abdul Jalil sudah mengesahkan harsratnya untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno. Wajarlah, ‘warlord’ Wanita Umno pun mulalah ‘berkempen’ mahukan Shahrizat kembali menerajui kepimpinan sayap tersebut.

Namun, tidak pastilah sama ada ia suatu perkembangan menarik atau sebaliknya, baik untuk Umno atau tidak. Dan buat masa ini, tidak usah ditanya apakah ia baik untuk rakyat dan negara.

Cuma bolehlah ditanya kemungkinan usaha membawa kembali bekas pemimpin kontroversi itu boleh memberikan gambaran berbeza terhadap usaha Pembersihan Total Umno.

Ruangan ini pernah membangkitkan betapa perlunya perubahan di segenap peringkat yang dikuasai ‘warlord’ dilaksanakan bagi menjayakan pembersihan total untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa parti itu benar-benar pulih.

Justeru, kita menanti pembersihan total Umno yang bukan sekadar melalui pemecatan dan penggantungan sebilangan pemimpin parti tersebut.

Namun usaha membawa kembali Shahrizat sudah tentu dengan sokongan ketua-ketua Wanita Umno Bahagian, yang pada masa sama berusaha mengekalkan kedudukan dan kuasa, sekali pun masing-masing sedar bahawa Umno perlu berubah pasca keputusan PRU15.

Mereka adalah antara suara-suara Umno di Perhimpunan Agung yang saban tahun berbahas bahawa parti itu perlu berubah mengikut peredaran masa, ada suntikan nafas baru, barisan lebih muda, lebih bertenaga, bukan pemimpin kitar semula dan sebagainya.

Nah, dengan perkembangan sekarang, apakah yang sebenarnya Umno ingin tawarkan kepada rakyat?

Ketua Wanita Umno Kota Melaka, Haryaty Hamdzah dilaporkan sebagai mendakwa seramai 147 Ketua Wanita Umno Bahagian mahukan Shahrizat kembali memimpin mereka melalui pertemuan demi pertemuan kebelakangan ini.

Khabarnya, rumah Shahrizat sering menjadi tempat berkumpul para pemimpin wanita sama ada berstatus nenek, ibu dan wanita bekerja menyatakan komitmen kepada tuan rumah seterusnya mewujudkan gelombongan sokongan.

Kita bukan mahu menidakkan daya kepimpinan Shahrizat lebih 10 tahun memimpin pergerakan itu sejak 2008, tetapi perlukah seorang yang telah berundur dengan cara hormat selepas dilanda kontroversi projek National Feedlot Centre (NFC) kembali dalam usia 69 tahun?

Apakah dengan begitu ramai ahli Wanita Umno yang dikatakan menjadi tunjang kekuatan parti selama ini, rupa-rupanya ketandusan pemimpin atau mereka yang berpotensi tersekat pada tembok-tembok para ‘warlord.’

Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad,55, dikatakan tidak mendengar keluh kesah sepanjang memimpin sayap berkenaan dan sudah digesa agar lebih bertanggungjawab dengan mengundurkan diri pada pemilihan parti akan datang.

Sebuah portal berita memetik ahli Wanita Umno Titiwangsa Azwati Abdul Halim sebagai berkata, Ahli Parlimen Parit Sulong itu harus mendengar masalah yang dihadapi anak buahnya dan bukannya menjauhkan diri.

Kalau pun Noraini, yang disuakan sendiri oleh Shahrizat sebagai penggantinya lima tahun lalu, gagal memainkan peranan memimpin pergerakan Wanita, tidakkah lebih baik amanah itu diberikan kepada nafas baru.

Apa pun, jika Umno mahu didakap semula oleh pengundi, parti itu mesti mampu memberikan keyakinan dan harapan masa depan kepada rakyat. Apakah itu sedang berlaku? Tepuk dada, tanya selera.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading