KEJOHANAN HOKI PIALA DUNIA 2023

Oleh V. Ashok

GAMBARAN menakutkan pada saat ini ialah, apakah Jepun akan menjadi satu lagi pasukan bakal mengecewakan skuad hoki negara pada penghujung saingan di kancah Piala Dunia kali ini.

Selepas dipalit derita tewas kepada Afrika Selatan 6-3 dalam perlawanan klasifikasi, kelmarin, anak didik A Arul Selvaraj perlu menyoal diri masing-masing – sama ada mahu bangkit dan menebus maruah atau akur apa saja kesudahannya pada edisi ke-15 ini.

Sebenarnya peminat hoki tanah air yang menonton siaran langsung menerusi kaca TV pasti terasa terkejut dengan rentak persembahan terumbang-ambing Speedy Tigers ketika dianggap pilihan untuk menang dalam saingan ini.
Tetapi lain pula jadinya.

Jepun – pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 – turut menempuh detik sama, malah lebih perit apabila dibelasah tuan rumah, India 8-0 dalam satu lagi saingan klasifikasi tempat ke-9 sehingga 16, pada hari yang sama.

Aksi penting klasifikasi tempat ke-13 hingga 16 di Rourkela, Odisha, petang ini hadir ketika kedua-dua pasukan benua Asia ini bakal turun ke gelanggang membawa bersama perasaan kecewa masing-masing. Emosi seperti ini tidak dapat dinafikan akan menghantui mana-mana pasukan pun pada saat getir menempuh satu lagi halangan penting di pentas kejohanan besar.

Dari segi kekuatan, kedua-dua pasukan ini adalah sama, cuma ketahanan mental baik dan pihak mana dapat memberi fokus penuh boleh menjadi garis pemisah siapa pemenangnya kelak.

Kita pernah mengatasi Jepun sebelum ini apabila bertindak garang membelasah lawan 5-0 dalam saingan separuh akhir Piala Asia 2022.

Kemenangan itu menjadi satu misi membalas dendam selepas kita tewas kepada mereka dalam final Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Dalam pertemuan itu, skuad negara bagai menghadiahkan pingat emas bersejarah itu kepada Jepun. Selepas mendahului selesa 5-2 satu ketika , kita melepaskan peluang keemasan itu membiarkan Jepun bangkit menyamakan kedudukan 6-6 sebelum mereka menang menerusi penentuan penalti 3-1.

Bagi beberapa pemain kebangsaan yang masih berada dalam skuad Piala Dunia ini, memori pedih itu harus diambil sebagai satu iktibar untuk mengilhamkan kemenangan yang kini dianggap wajib.

Arul Selvaraj yang seperti hilang kata- kata terbaik untuk menghuraikan kekalahan kepada Afrika Selatan, tempoh hari pasti tidak mahu lihat ‘pisang berbuah dua kali.’

Dalam satu perbualan dengan ApakhabarTV.com, semalam ketua jurulatih berpangalaman itu berkata Speedy Tigers harus menggandakan usaha dengan aksi lebih padu dan mantap untuk pulang dengan nota kemenangan.

“Kita berada dalam situasi harus menang esok (petang ini). Walaupun kita pernah menewaskan Jepun sebelum ini, ia tidak bererti kita harus leka dan mengambil mudah cabaran mereka,. Tidak ada ruang untuk kesilapan, diulangi” kata Arul.

Mengenai pencapaian hambar ketika menentang Afrika Selatan, pengendali berasal dari Segamat, Johor itu tidak menafikan betapa kesilapan secara kerap oleh individu dalam pasukan menyentap cabaran kita.

“Majoriti pemain dalam pasukan memberi persembahan yang agak mengecewakan. Peluang ini diambil baik oleh pihak lawan dengan jaringan pantas dan serangan balas yang kerap memerangkap benteng kita,” katanya.

Arul tidak menafikan faktor cuaca panas pada hari perlawanan juga menyukarkan rentak pemainan mereka dan menambah pasukan lain di kejohanan ini pun mengalami masalah sama.

Selepas tempoh rehat 24 jam, kita berharap pasukan negara dapat mengemaskan diri dan tampil memberikan satu persembahan terbaik untuk kembali semula ke landasan kemenangan sebelum menghala fokus kepada cabaran antarabangsa lain, termasuk Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.

Temasya yang bermula 23 September sehingga 8 Oktober ini adalah satu lagi misi penting kerana pemenang pingat emas acara hoki lelaki akan layak automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Kemenangan ke atas Jepun, petang ini pasti menyuntik inspirasi baru.

Speedy Tigers Boleh!

JADUAL HARI INI
Klasifikasi tempat ke-13 hingga 16
MALAYSIA lwn Jepun (2 ptg)
Chile lwn Perancis (4.30 ptg)

Klasifikasi tempat ke-9 hingga 12
Argentina lwn Wales (7 mlm)
India lwn Afrika Selatan (9.30 mlm)

(Nota: semua perlawanan waktu Malaysia)

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading