KEJOHANAN HOKI PIALA DUNIA 2023

Oleh V. Ashok
RASA perit skuad hoki negara terlepas tiket ke suku akhir Piala Dunia jelas masih terasa. Namun, pada saat ini apa lebih penting ialah lupakan segera episod duka itu, sebaliknya kembali memberikan fokus memburu posisi terbaik sebelum pulang dengan nota bangga.
Ibarat, ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’ barisan dikendali A Arul Selvaraj tiada pilihan kecuali bangkit semula menyusun langkah kanan. Ujian getir adalah untuk mengatasi halangan Afrika Selatan dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-9 hingga ke-16 di Stadium Birsa Munda di Rourkela, hari ini.
Andai menang, bererti pasukan kita bakal berada di landasan tepat untuk menggapai impian tersenarai dalam kelompok 10 terbaik dunia pada edisi ke-15 kali ini.
Setiap pemain harus mengulangi semangat dan rentak sama ketika menentang New Zealand dan Sepanyol tempoh hari agar ia terus menjadi inspirasi sambil memberi isyarat kita makin mendekati pasukan elit dunia yang lain.
Tidak dapat dinafikan, kekuatan dan semangat sepasukan Speedy Tigers kali ini hampir sama dengan skuad negara pada kancah Piala Dunia 2002 apabila barisan didik Paul Lissek menghuni tangga ke-8 di Kuala Lumpur. Sungguhpun impian menyamai rekod 20 tahun itu sudah terlepas, namun ruang untuk membuktikan kita bukan pasukan kerdil sudah menyusul.
Ringkasnya, sasaran realistik kita adalah memburu tempat ke-9 dan setiap pemain perlu menyelit sifat yakin betapa tiada yang mustahil untuk dicapai. Rata-rata kita memiliki sekumpulan pejuang yang memiliki sifat berani tanpa mengira lawan bakal ditempuhi.
Jika dapat mengilhamkan kemenangan ke atas Afrika Selatan, halangan lebih mencabar tetap menunggu pasukan ketika tuan rumah, India dan juara Sukan Olimpik 2016, Argentina turut memasang impian sama untuk mengisi kedudukan teratas.
Berpandu kepada ranking dunia masing-masing, ditangga ke-6 dan 7, kedua-dua pasukan ini yang juga kecewa tersingkir awal layak ke suku akhir kejohanan, dilihat sebagai prospek besar untuk mara ke perlawanan penentuan tempat kesembilan/10.
Hari ini, setiap pemain negara perlu positif sebelum turun ke gelanggang dan bukan lagi memikirkan rasa pedih kalah kepada Sepanyol dalam pusingan kedua. Ini difahamkan hanya akan mengganggu minda dan tumpuan permainan mereka pada saat-saat getir ini.
Bantuan ini harus diserapkan oleh pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi dan Arul Selvaraj yang lebih berpengalaman kerana masing-masing pernah merasai situasi sama sebagai pemain kebangsaan satu ketika dulu.
Afrika Selatan juga bukan calang-calang pasukan walaupun kita berada dalam ranking ke-10 dunia manakala lawan di tempat ke-15.
Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan adalah dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada November 2022 apabila kita berjaya membelasah lawan 7-2 dalam saingan liga sepusingan sebelum menamatkan cabaran selaku juara buat julung kali selepas penantian 39 tahun.
Gemilang dilakar ini harus memberikan satu kelebihan psikologi kepada Speedy Tigers. Andai dapat mengekalkan corak permainan sama daripada tiga perlawanan lalu, termasuk Chile, satu lagi kemenangan sudah terbayang dalam genggaman kita.
Dalam sesi temubual dengan wartawan tempatan di Bhubaneswar , ketua jurulatih skuad negara berkata anak didiknya sudah membanggakan negara dengan menyajikan satu persembahan di luar jangkaan dengan sikap tidak mudah mengaku kalah.
“Apa yang pasti kita harus mengikiskan rasa kecewa kalah kepada Sepanyol serta merta. Esok (petang ini) adalah hari yang baru dan kami perlu mengusahakan kemenangan untuk mencari kedudukan terbaik. Tempat ke-9 adalah sasaran kami,” Arul Selvaraj dipetik berkata tempoh hari.
Sekali lagi harapan skuad negara bakal disandarkan ke atas kelibat penyerang lincah, Faizal Shaari yang sehingga kini menepati perwatakan penting digalas olehnya.
Andai rakan sepasukan lain terus dapat menekan lawan dengan gerakan pantas dan agresif seperti perlawanan lalu, umpanan dan hantaran baik dapat diterima penyerang bagi tujuan penyudahan.
Jika pemain berusia 31 tahun ini yang pernah beraksi dalam Liga Belanda bersama kelab ZSC Schaerweijde, tahun lalu dapat mencari tambahan gol peribadinya, hari ini, bererti laluan merakamkan satu lagi kemenangan ke atas Afrika Selatan amat cerah.
Ini kerana dia cekap menyambar peluang dan bersikap tenang dalam jaringan – satu intipati amat diperlukan bagi buruan posisi terbaik pasukan negara pada kejohanan kali ini.
Sebagai pemain senior, sudah tiba masanya untuk Faizal memperagakan kelibat sebenar miliknya dan mengemudi pasukan ke tahap terbaik.
Edisi kali ini juga mungkin menjadi aksi Piala Dunia terakhir baginya.
Satu lagi tenaga penggempur pasukan ialah Shello Silverius yang boleh mengubah rentak permainan pasukan dengan gerakan licik serta memiliki ketepatan depan gawang lawan. Kelibat pemain berusia 23 tahun itu terserlah ketika menyumbang lima gol membantu Malaysia menjuarai Piala Sultan Azlan Shah.
Antara pemain tonggak lain menjadi harapan adalah penjaga gol, Hafizuddin Othman, pakar pukulan sudut penalti, Razie Rahim, kapten pasukan, Jalil Marhan dan dua pemain sayap – Najib Abu Hassan dan Norsyafik Sumantri.
Lebih menarik, skuad yang dicanang kali ini didapati tidak banyak bergantung kepada kelibat individu, sebaliknya bergerak sebagai satu unit yang padu – bertahan bersama-sama, bantu rakan merebut semula bola serta menyerang baik dalam kumpulan besar.
Apa yang pasti, ramuan lebih penting adalah kepercayaan pada diri dan sikap mahu menang. Jelas sekali seluruh pasukan memiliki elemen penting ini untuk berjuang bermati-matian memburu status terpuji di India.
Peminat hoki tanah air dijangka melihat satu lagi persembahan tahap tertinggi daripada skuad negara di Rourkela, petang ini.
Malaysia Boleh!
JADUAL HARI INI
Perlawanan klasifikasi tempat ke-9 hingga 16
Malaysia lwn Afrika Selatan (2 ptg)
Wales lwn Perancis (4.30 ptg)
Chile lwn Argentina (7 mlm)
Jepun lwn India (9.30 mlm)
(Nota: semua perlawanan waktu Malaysia)





Leave a Reply