Gema ‘75 Stadium Merdeka iringi cabaran Speedy Tigers ke Odisha

Oleh V.Ashok
SETIAP kali kita membicarakan kejohanan hoki Piala Dunia, nama Stadium Merdeka akan pantas kembali berlegar dalam minda peminat tanah air.
Memori pada edisi 1975 tidak dinafikan masih kuat melekat dalam ingatan, khasnya kepada mereka pada era 70-an yang hadir menyaksikan sejarah terpahat di bumi sendiri.
Pada edisi berkenaan skuad hoki negara mencipta kejutan besar dengan menjelmakan aksi klasik mara ke separuh akhir.
Sehingga kini, gemilang dilakar itu terus menjadi satu penanda aras untuk diulangi – satu detik yang masih dicemburui pemain negara pada era moden ini.
Apa pun, hujah oleh sesetengah pengkritik adalah pencapaian itu terhasil di atas padang rumput kerana selepas itu cabaran barisan hoki kita berpindah ke padang tiruan, astroturf, yang didakwa lebih mencabar untuk mengekalkan corak permainan lama.
Sebaliknya, gelanggang permainan baru yang dicipta atau diperkenalkan oleh pasukan negara Barat lebih terarah kepada kelebihan mereka ketika padang rumput bukan medan pertarungan selesa kepada gergasi Eropah seperti Jerman, Belanda, Belgium atau Sepanyol, umpamanya.
Mereka kerap dibayangi oleh kemahiran ‘stick-work’ pemain Asia yang laju, khususnya dari Pakistan, India dan Malaysia ketika itu.
Difahamkan, skuad hoki Eropah lebih tertumpu kepada tenaga fizikal dan permainan taktikal serta aspek teknik. Elemen ini disebut sukar diperagakan atas padang rumput.
Tiga daripada lima tempat teratas di kejohanan 1975 dikuasai pasukan dari benua Asia dan ini jelas membuktikan hakikat itu.
Dalam aksi separuh akhir, pasukan negara dengan bekalan sorakan 50,000 penyokong yang membanjiri gelanggang keramat ketika itu menyajikan aksi terpuji tetapi ramuan yang ada pada mereka pada hari berkenaan belum cukup untuk menghalang India yang berjaya menang 3-2 selepas masa tambahan dan layak ke final bertemu Pakistan.
Dalam perlawanan akhir, India muncul juara menewaskan pasukan jiran mereka, 2-1.
Pemain lagenda dan kapten skuad India, Ajit Pal Singh pernah berkata perlawanan separuh akhir menentang Malaysia adalah halangan paling sukar bagi mereka sepanjang tempoh kejohanan itu.
Malaysia diketuai N Sri Shanmuganathan, hanya meraih tempat keempat selepas tewas 0-4 kepada Jerman Barat dalam penentuan pingat gangsa.
Pemain lain yang membanggakan negara adalah penjaga gol, Khairuddin Zainal, Poon Fook Loke, M Mahendran, Brian Sta Maria, Azraai Zain, A Francis, K Balasingam, Phang Poh Meng, Wong Choon Hin, S Balasingam, Len Oliveiro, R Pathmarajah dan Franco D’Cruz.
Namun, kejayaan dramatik berjaya menewaskan Belanda 2-1 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A pada 11 Mac 1975 di padang Kelab Kilat sebelum mara ke separuh akhir, turut menjadi satu lagi memori indah dan bahan bicara sehingga ke hari ini.
Pada edisi ke-15 kali ini yang bermula Jumaat sehingga 29 Januari ini di Bhubaneswar dan Rourkela di India, semangat sama bakal digalas oleh pemain negara.
Detik kemasyhuran 1975 itu lazimnya akan diserapkan dalam ingatan mereka – sama ada oleh jurulatih, pegawai atasan pasukan, tokoh hoki dan juga media tempatan sebagai satu inspirasi sebelum mengorak langkah ke kejohanan berkenaan.
“Ya, sudah 47 tahun detik kegemilangan skuad hoki negara sebagai empat pasukan teratas tidak dapat disamakan,” kata bekas jurulatih negara, Stephen Van Huizen dalam satu perbualan bersama ApaKhabarTV.com, baru-baru ini.
Dia menambah: “ Kelebihan kita bermain atas padang rumput dan status sebagai tuan rumah juga banyak membantu menyemarakkan semangat setiap pemain kita .”
Barisan 2023 yang dibimbing Arul Selvaraj mungkin tidak dapat merasakan nikmat kejayaan barisan lama kita yang berjaya muncul dalam kelompok empat teratas dunia. Tetapi , faktor itu kurang penting kerana mereka juga mampu melakar sejarah baru jika yakin pada diri di India.
Malaysia akan membuka tirai perlawanan Kumpulan C menentang gergasi dunia, Belanda, Sabtu ini di Rourkela pada jam, 5.30 petang waktu tempatan sebelum berdepan Chile (16 Januari) dan bakal melengkapkan jadual perlawanan menentang New Zealand (19 Januari).
Perlawanan pembukaan amat penting bagi survival kita dalam edisi kejohanan kali ini dan keputusan seri boleh dianggap satu kejayaan menakjubkan berpandu kepada status Belanda yang kini berada dalam ranking ke-3 dunia dalam senarai terkini Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) manakala Malaysia di tempat ke-11.
Rasa gementar mungkin terasa buat skuad hoki negara kerana dalam saingan peringkat kumpulan pada kancah Piala Dunia 2018, juga di India, kita dibelasah lawan gah itu 7-0 dan sesungguhnya peminat tanah air amat berharap ‘pisang tidak akan berbuah dua kali’.
Dalam edisi ke-14 itu, kita hanya mampu menghuni tangga ke-15 daripada jumlah 16 pasukan selepas perlawanan klasifikasi.
“Apa yang penting kita perlu mencari ilham untuk merampas tiga mata daripada Chile yang membuat kemunculan pertama dan cuba menandingi dan mencuri mata dari New Zealand untuk merebut sekurang-kurangnya slot selaku naib juara kumpulan,” kata Stephen.
Kali ini, sasaran pengurusan skuad negara adalah untuk layak ke suku akhir dan laluan boleh menjadi selesa andai dapat menyudahkan cabaran peringkat kumpulan sebagai pasukan kedua terbaik.
Namun, peluang masih ada jika tergelincir ke tempat ketiga tetapi laluannya amat perit kerana difahamkan dalam perlawanan cross-over di pusingan kedua, mereka bakal bertemu naib juara Kumpulan D yang membabitkkan tuan rumah, India, Sepanyol, England dan Wales.
Skuad negara yang dicanang kali ini boleh dianggap lebih bersedia berbanding pada empat tahun lalu kerana persefahaman sepasukan makin mantap dengan aksi menyerang dan bertahan yang dikatakan makin seimbang.
Kejayaan muncul juara baru Piala Sultan Azlan Shah buat julung kali dalam sejarah penyertaan pada 10 November, tahun lalu di Ipoh dengan menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam final harus menjadi satu motivasi baru kepada Speedy Tigers. Barisan itu kebelakangan ini menunjukkan perwatakan positif dan banyak membantu sesama mereka dalam kawalan bola serta dilihat belajar untuk bersifat lebih tenang.
Ayuh skuad negara. Gema ’75 Stadium Merdeka pasti akan mengiringi cabaran anda di Odisha.
INFO KEJOHANAN HOKI PIALA DUNIA 2023
Tarikh: 13 – 29 Januari
Tempat: Bhubaneswar dan Rourkela (Odisha, India)
Jumlah pasukan: 16
Juara bertahan: Belgium
KUMPULAN A: Australia, Argentina, Perancis, Afrika Selatan
KUMPULAN B: Belgium, Jerman, Korea Selatan, Jepun
KUMPULAN C: Belanda, New Zealand, MALAYSIA, Chile
KUMPULAN D: India, England, Sepanyol, Wales
V Ashok, Associate Editor Apa Khabar, merupakan penulis sukan BH Dan pengarang sukan BH dari 2010 hingga 2012 sebelum berhijrah ke New Straits Times dan kini, Apa Khabar.





Leave a Reply