Oleh Badrolhisham Bidin
Sering kali terlintas di fikiran apa ada di dalam kompleks rumah api yang banyak di negara ini. Acap kali juga terfikir siapa yang mengawal lampu yang berkerdip di waktu malam, memberi panduan kepada kapal-kapal.
Ketika bercuti di pulau kegemaran kami sekeluarga iaitu Pulau Kapas, Marang, sering juga terjenguk-jenguk struktur di sebalik bukit dan walaupun ke sana dua tiga kali setahun, masih juga tidak kesampaian untuk mengunjungi rumah api yang “dekat tetapi jauh” itu.
Begitu juga ketika bercuti di Port Dickson. Sering kali lalu di hadapan Tanjung Tuan, ternampak struktur tersergam di atas bukit menghadap Selat Melaka. Pernah sekali kami mendaki lorong tar ke sana dan dapatlah kami melihat kompleks rumah api dari luar pagar.
Bagaimanapun, September lepas, saya diundang untuk mengikuti lawatan sambil belajar Maritime Institute of Malaysia (MIMA) ke rumah api, Cape Racardo atau kini dikenali sebagai Tanjung Tuan untuk melihat dengan lebih dekat lagi operasi rumah api tertua di negara ini yang dilancarkan pada tahun 1863.

Kakitangan MIMA Komander Ang sedang menyusuri tangga pusing ke tempat paling tinggi di menara
Barulah puas rasanya di hati akhirnya dapat meneroka kompleks yang terletak di daerah Alor Gajah, Melaka. Selain dari menara setinggi 118 meter dari aras laut, terdapat bilik pameran yang menempatkan pelbagai artifak alatan yang digunakan sejak dahulu.
Selain itu terdapat sebuah bilik rehat untuk pekerja di tingkat atas, sebuah dapur dan tandas di bawah. Pemandangan dari perkarangan menara ini juga indah, memperlihatkan lautan luas terbentang.
Menurut pegawai Jabatan Laut Malaysia yang mengiringi kami, kini ia hanya dijaga oleh seorang pengawal di waktu malam.
Pintu ke menara turut dibuka untuk kami. Lorong yang sempit dengan 66 mata tangga membolehkan hanya tiga atau empat orang naik ke atas pada satu masa.

Pengunjung bergambar di Pulau Intan, sebuah kawasan berbatu dan berpasir untuk beriadah
Selepas menyelusuri tangga “pusing”, terdapat satu lagi tangga besi yang curam untuk sampai ke atas. Kami dapat melihat lampu LED yand dibiaskan melalui kanta fresnel dan jarak kenampakan nominal lampu adalah 23 batu nautika (sumber dari Jabatan Laut Malaysia).
Di luar perkarangan kompleks yang dipagari batu ini adalah sebuah kawasan hutan yang menjadi tumpuan burung-burung migratori dari pelbagai negara yang berhijrah dari kawasan sejuk ke kawasan lebih panas.
Pelbagai spesis burung seperti Helang Baza Berjambul (Black Baza), Helang Sewah (Japanese Sparowhawk), Alap-Alap Cina (Chinese Goshawk), Helang Merah (Brahminy Kite) dan Lang Baza Hitam (Grey-faced buzzard) akan singgah di kawasan ini sebelum terbang ke Pulau Rupat, Indonesia.
Jurugambar dan peminat burung berkumpul di sini dengan pelabagai lensa dan kamera serta teropong untuk mendapatkan gambar menarik burung-burung raptor yang sentiasa berkeliaran. Aktiviti ini termasuk di dalam kalendar pelancongan Melaka.
Penganjuran Raptor Watch ini turut membuktikan kerjasama erat kerajaan Melaka dan Negri Sembilan di dalam memeriahkan lagi sektor pelancongan negara.
Tempat ini menjadi popular di kalangan burung-burung migratorikerana lokasinya adalah bahagian paling hampir dengan Pulau Rupat membekalkan thermal column iaitu ruang panas dan penghijirahan unik ini sememangnya telah berlaku sejak ribuan tahun dahulu.
Kawasan ini menjadi meriah di antara Mac hingga penghujung Julai dengan kehadiran spesis-spesis haiwan ini.
Selain itu, terdapat satu laluan curam menuruni bukit untuk sampai ke Pulau Intan, sebuah kawasan pantai yang bersih dan indah, sesuai untuk perkhemahan dan aktiviti memancing.
Walaupun ia bukan sebuah pulau, dikatakan kawasan pantai ini akan menjadi seperti pulau ketika air pasang.
Kecuraman bukit itu sering digelar “lorong taubat” oleh ramai pengunjung kerana selepas menuruni dan kembali ke atas, mereka akan berkata “taubat dah tak mahu lalu lorong ini”, menurut kata seorang pemandu pelancong yang menemani kami ke bawah.
Sebenarnya, ia tidaklah terlalu rumit. Pengunjung dinasihatkan berhati-hati ketika menuruni anak tangga yang mungkin licin terutama selepas hujan. Terdapat tali keselamatan di sepanjang jalan.
Keunikan tempat ini menjadikan ia sering dikunjungi oleh ramai orang terutama di waktu hujung minggu untuk beriadah bersama keluarga dan rakan taulan.
Sebenarnya penat lelah menuruni bukit hilang apabila sudah sampai ke tepi pantai yang berbatu, sesuai untuk berselfie atau untuk ditayangkan di media sosial masing-masing. Ketika kami di sana, terdapat sekumpulan pelajar memasang khemah dan memancing di tepi.
Untuk sampai ke puncak rumah api, pengunjung dikehendaki letak kereta di kawasan parkir di bawah. Mereka boleh berjalan di atas jalan tar yang tidak sampai pun satu km jaraknya untuk sampai ke rumah api, walaupun agak curam. Bersedialah dengan pakaian dan kasut yang sesuai untuk tujuan ini.
Lorong untuk sampai ke Pulau Intan pula biasanya mengambil di antara 30 hingga 45 minit.
Lawatan sambil belajar MIMA disertai oleh 24 orang kakitangan dan diketuai oleh Ketua Pengarah MIMA Datuk Dr Sabirin Ja’afar.
Sila ke FB ApakhabarTV untuk melihat lebih banyak gambar-gambar menarik
Berita ini pertama kali tersiar di majalah Risalah terbitan Maritime Institute of Malaysia (MIMA).






Leave a Reply