Teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja meningkatkan permintaan tenaga melalui operasi pusat data, malah berpotensi membantu mengoptimumkan penggunaan elektrik, mengurangkan kos operasi dan mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih.
Ketua Pegawai Teknologi AIQ, sebuah syarikat teknologi dan kecerdasan buatan, Saravan Penubarthi berkata, meskipun teknologi AI menggunakan tenaga yang tinggi, penggunaan teknologi dan sistem yang tepat mampu mengurangkan keperluan pemprosesan data sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga.

Menurutnya, terdapat tiga pendekatan utama bagi mencapai matlamat tersebut, iaitu penggunaan teknologi AI yang bersesuaian di pusat data, pelaksanaan sistem AI yang lebih cekap dalam perusahaan serta peralihan kepada sumber tenaga bersih.
“Perbezaan dari segi kos dan penggunaan tenaga bukan hanya bergantung kepada model AI yang digunakan, tetapi juga bagaimana sesuatu penyelesaian itu direka bentuk dan dilaksanakan bagi menghasilkan keputusan yang tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika mengulas potensi AI dalam membantu Malaysia dan ASEAN pada Persidangan Abu Dhabi International Petroleum Exhibition and Conference (ADIPEC 2026). Adipec adalah persidangan dan pameran tenaga terbesar di dunia yang diadakan setiap tahun di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Mengulas lanjut, Saravan berkata, AI turut berperanan meningkatkan kecekapan pengurusan grid elektrik, penyelenggaraan ramalan serta pengoptimumkan pengeluaran tenaga selain meningkatkan kecekapan tenaga serta memenuhi peningkatan permintaan elektrik daripada pusat data dan sektor industri.
Teknologi berkenaan katanya, membantu menangani cabaran integrasi tenaga boleh baharu ke dalam sistem bekalan elektrik, khususnya dari segi mengimbangi bekalan dan permintaan tenaga.
Pada masa sama, beliau berpandangan penyelarasan dasar kerajaan berkaitan tadbir urus AI serta pembangunan infrastruktur tenaga amat penting bagi memastikan pertumbuhan teknologi berjalan seiring dengan keperluan bekalan tenaga.
Saravan berkata demikian pada Adipec 2026 yang mewakili AIQ, sebuah syarikat teknologi dan kecerdasan buatan berpangkalan di Abu Dhabi, turut optimis bahawa AI akan memainkan peranan lebih besar dalam mengoptimumkan penggunaan tenaga bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Menurutnya, teknologi AI berpotensi meningkatkan kecekapan operasi pusat data sekiranya disokong oleh seni bina teknologi yang tepat serta penggunaan sumber tenaga bersih.
“AI sememangnya menggunakan tenaga yang besar, tetapi saya percaya teknologi ini juga akan menjadi sebahagian daripada penyelesaian untuk mengoptimumkan keperluan tenaga pada masa hadapan,” katanya.





Leave a Reply