Bahasa Arab bukan sekadar bahasa untuk dipelajari, malah boleh menjadi jambatan yang menghubungkan seseorang dengan penghayatan ibadah, khususnya ketika menunaikan solat, membaca surah, berdoa dan berzikir. Bertitik tolak daripada gagasan itu, projek “Bridging Faith and Language: Arabic for Ibadah Community Engagement” dilaksanakan bagi memberi peluang kepada masyarakat awam mengikuti pendidikan sepanjang hayat dalam pembelajaran bahasa Arab yang berkait secara langsung dengan amalan ibadah seharian.

Projek yang diketuai Profesor Madya Dr  Sueraya Che Haron itu dilaksanakan menerusi geran penyelidikan Sidek Baba Community-Based Grant Scheme, Kulliyyah of Education (KOED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Berbeza daripada pendekatan pembelajaran bahasa Arab konvensional yang memberi penekanan kepada penguasaan bahasa, projek ini mengetengahkan konsep bahasa Arab sebagai jambatan kepada penghayatan ibadah. Melalui pendekatan itu, peserta bukan sahaja diperkenalkan kepada maksud perkataan dan ungkapan Arab yang dibaca dalam ibadah, tetapi dibimbing untuk menghubungkan kefahaman bahasa tersebut dengan makna, tujuan dan pengalaman spiritual ketika beribadah.

Projek ini menggunakan modul “Dari Lafaz ke Makna: Bahasa Arab untuk Ibadah” yang dibangunkan oleh pasukan penyelidik. Modul berkenaan dirangka secara khusus untuk membantu masyarakat memahami lafaz dan ungkapan Arab yang lazim digunakan dalam ibadah tanpa menjadikan penguasaan bahasa Arab sebagai matlamat utama. Sebaliknya, bahasa Arab digunakan sebagai medium untuk membantu peserta memahami apa yang mereka lafazkan, seterusnya meningkatkan penghayatan dan kesedaran terhadap ibadah yang dilakukan.

Dalam menjayakan projek berkenaan, Masjid Bilal bin Rabah, Gombak tampil sebagai rakan kolaborasi dengan membuka ruang kepada jemaah masjid untuk menyertai program yang dilaksanakan. Sebanyak empat siri pengajaran telah dijalankan bersama jemaah masjid dengan penyampaian dikendalikan oleh Dr. Wan Rusli Wan Ahmad.

Daripada memahami lafaz kepada menghayati ibadah

Hasil pelaksanaan program menunjukkan bahawa pendekatan tersebut mendapat sambutan positif daripada jemaah yang terlibat. Dapatan kajian yang dijalankan terhadap peserta menunjukkan tahap kepuasan yang tinggi terhadap modul dan pendekatan pengajaran yang digunakan. Peserta turut mengakui bahawa kefahaman terhadap bahasa Arab membantu mereka memahami dengan lebih jelas bacaan yang dilafazkan ketika beribadah.

Lebih penting, kefahaman tersebut dilihat membantu peserta menghayati ibadah dengan lebih mendalam. Antara pengalaman yang dikongsikan ialah mereka berasa lebih memahami apa yang sedang dibaca dan dilakukan ketika solat, sekali gus membantu meningkatkan rasa khusyuk. Bagi sesetengah peserta, kefahaman terhadap makna bacaan turut mengubah pengalaman mereka ketika beribadah sehingga setiap lafaz yang diucapkan dirasakan mempunyai makna dan hubungan yang lebih dekat dengan Allah SWT.

Kelangsungan program melalui tenaga latihan tempatan

Aspek kelestarian turut menjadi salah satu elemen penting projek berkenaan. Bagi memastikan program tidak terhenti selepas tamatnya penglibatan pasukan penyelidik, seorang kakitangan Masjid Bilal bin Rabah, Ustaz Ubaidullah, telah dilatih sebagai tenaga pengajar dan pewaris program.

Latihan tersebut membolehkan beliau memahami kandungan dan pendekatan yang digunakan dalam modul sebelum meneruskan pengajaran kepada jemaah secara kendiri. Langkah itu bukan sahaja memastikan kesinambungan program, malah memperlihatkan bagaimana penyelidikan universiti boleh dipindahkan kepada komuniti dalam bentuk ilmu dan kemahiran yang boleh diteruskan secara berterusan.

Menurut Dr. Sueraya, kelestarian merupakan aspek penting dalam penglibatan universiti bersama masyarakat kerana matlamat program bukan sekadar melaksanakan aktiviti dalam tempoh tertentu, tetapi membina keupayaan komuniti untuk meneruskannya selepas projek selesai.

“Matlamat kami bukan sekadar mengajar masyarakat beberapa perkataan atau bacaan dalam bahasa Arab. Apa yang lebih penting ialah membantu mereka memahami apa yang dilafazkan supaya bahasa Arab menjadi jambatan kepada penghayatan ibadah,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu juga selari dengan konsep pendidikan sepanjang hayat yang melihat pembelajaran sebagai sesuatu yang boleh berlaku pada setiap peringkat kehidupan dan dalam konteks yang dekat dengan keperluan masyarakat.

Universiti dan komuniti saling memperkasa

Projek ini memperlihatkan potensi penyelidikan universiti untuk menghasilkan impak secara langsung kepada masyarakat apabila kepakaran akademik digabungkan dengan keperluan sebenar komuniti. Kerjasama bersama Masjid Bilal bin Rabah bukan sahaja menyediakan ruang kepada penyelidik untuk mengaplikasikan hasil pembangunan modul dalam konteks sebenar, malah memberi peluang kepada jemaah mendapatkan ilmu yang berkaitan secara langsung dengan kehidupan dan ibadah mereka.

Pada masa sama, penglibatan komuniti membolehkan pasukan penyelidik mendapatkan maklum balas dan pengalaman sebenar peserta untuk menilai keberkesanan pendekatan yang digunakan.

Secara keseluruhannya, projek “Bridging Faith and Language: Arabic for Ibadah Community Engagement” berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan menggabungkan pendidikan bahasa Arab, penghayatan ibadah, penyelidikan dan pembangunan komuniti dalam satu pendekatan yang praktikal.

Lebih daripada sekadar mempelajari bahasa, projek ini membawa mesej bahawa memahami bahasa ibadah boleh membuka ruang kepada penghayatan yang lebih mendalam terhadap ibadah itu sendiri. Usaha seperti ini juga membuktikan bahawa universiti bukan sekadar tempat menghasilkan ilmu untuk komuniti akademik, tetapi berperanan membawa ilmu tersebut keluar ke masyarakat supaya dapat difahami, diamalkan dan diwariskan secara berterusan.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Profesor Madya Dr Sueraya Che Haron dari Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading