Usaha membina masa depan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak wajar dipikul oleh keluarga dan pertubuhan komuniti semata-mata. Kerajaan, agensi berkaitan, institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat perlu berganding bahu menyediakan pendidikan khas serta latihan vokasional yang berterusan supaya mereka berpeluang hidup lebih berdikari, produktif dan bermaruah.

Keperluan itu terserlah menerusi program “Dari Daun ke Pasaran: Teknologi dan Inovasi Produk Kraftangan Berasaskan Rangka Daun dan Ekoprint” yang dilaksanakan oleh Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia bersama Universiti Malaya (UM) di Pertubuhan Akademi Permata Impian (APIM), Semenyih, Selangor.

Program yang dibiayai melalui dana UNNES itu bermula dengan sesi perbincangan dan pengenalan secara dalam talian pada 6 Julai 2026, sebelum diteruskan dengan latihan dan bimbingan bersemuka di APIM pada 13 Julai 2026.

Inisiatif berkenaan menggabungkan kepakaran Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA) serta Fakultas Bahasa dan Seni (FBS) UNNES, dengan kerjasama Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, UM melalui Dr. Maisarah Hasbullah, Dr. Mohd Zufri Mamat dan Dr. Suzana Ariff Azizan.

Latihan praktikal mengikut keupayaan peserta

Pasukan khidmat masyarakat ini diketuai Prof. Dr. Ir. Amin Retnoningsih, bersama Prof. Dr. Ari Yuniastuti, Prof. Dr. drh. R. Susanti, Prof. Dr. Aditya Marianti, Prof. Dr. Noor Aini Habibah, Dr. Dewi Mustikaningtyas, Dr. Sigit Saptono, dan Dr. Eko Sugiarto. Tiga mahasiswa yang turut terlibat ialah Sania Luthfia Atika, Dafina Armesya Putri dan Hizkia Martanoel Kristian.

Latihan intensif ini disertai guru, tenaga pengajar, sukarelawan, pelatih APIM dan Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK), Semenyih yang terdiri daripada remaja serta dewasa OKU pembelajaran, selain beberapa ibu bapa pelatih. Aktiviti dilaksanakan menerusi stesen kerja supaya setiap tugasan dapat dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil, menggunakan teknik gambar dan visual, teknik pengajaran secara berulang dan mengikut tahap tumpuan, komunikasi serta keupayaan motor setiap pelatih. Setiap langkah latihan sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan pelatih dalam mengendalikan setiap alatan yang digunakan.

Pelatih OKU mempelajari proses menghasilkan rangka daun menggunakan abu kayu, membersihkan tisu daun yang telah direbus, mewarnakan rangka daun, menghasilkan ekoprint dengan menggunakan teknik ketuk serta menghasilkan kraf gantungan kunci berasaskan rangka daun dan resin. Guru dan pelatih OKU menunjukkan minat tinggi kerana mereka bukan sahaja mempelajari penyediaan bahan mentah, malah menghasilkan produk yang boleh dikembangkan sebagai cenderamata dan hadiah yang mempunyai potensi di pasaran.

Empat prosedur operasi standard (SOP) untuk kesinambungan latihan

Bagi memastikan program tidak terhenti selepas sesi bersemuka, UNNES menyumbangkan empat modul iaitu SOP Pewarnaan Tulang Daun, SOP Ekoprint Pukul, SOP Pembuatan Tulang Daun dan SOP Pembuatan Kunci Resin, bagi membantu guru atau pelatih untuk memahami dan mengaplikasikan langkah terperinci daripada pembuatan rangka daun menggunakan abu kayu, pewarnaan tulang daun, ekoprint teknik ketuk sehinggalah penghasilan kraf resin berdasarkan rangka daun.

Menurut ketua pasukan, Prof. Amin Retnoningsih, program itu dirangka bukan sekadar sebagai aktiviti sehari, tetapi sebagai asas kepada pembelajaran vokasional yang mempunyai urutan kerja, kawalan keselamatan, penilaian mutu, pembungkusan dan peluang pemasaran. Pemantauan penerapan, penilaian kemajuan dan bimbingan susulan akan diteruskan secara atas talian agar guru APIM dan PDK dapat mengulang latihan secara konsisten dan melatih peserta mengikut kekuatan dan keupayaan setiap individu OKU.

Sokongan kerajaan perlu diterjemah kepada tindakan

Kejayaan inisiatif seperti ini memerlukan ekosistem sokongan yang lebih kukuh. Kerajaan termasuk pelbagai agensi berkaitan dengan OKU, diseru memberi perhatian nyata kepada pusat pendidikan komuniti seperti APIM dan PDK melalui peruntukan operasi dan geran latihan yang berterusan, bukan bantuan bermusim; latihan profesional untuk guru, jurulatih pendidikan khas dan sukarelawan; kemudahan bengkel yang selamat, mesra OKU dan dilengkapi peralatan sesuai; sokongan pengangkutan, terapi, teknologi bantuan dan penilaian kemajuan individu; serta akses kepada pemasaran, perusahaan sosial, pameran, dan jaringan majikan yang inklusif.

Bantuan sedemikian penting kerana ukuran kejayaan pendidikan OKU bukan sekadar kehadiran dalam kelas, tetapi peningkatan kebolehan mengurus diri, menyelesaikan tugasan, menghasilkan produk, berkomunikasi, menerima insentif dan menyertai alam pekerjaan mengikut kemampuan masing-masing.

Institusi komuniti OKU sentiasa cuba meningkatkan kefahaman bagi memenuhi keperluan peserta secara lebih terperinci, namun mereka juga memerlukan dasar yang menyokong, dana yang stabil serta jaringan pasaran. Kerjasama antarabangsa boleh menjadi pemangkin, tetapi tanggungjawab jangka panjang perlu diperkukuh oleh ekosistem pasaran tempatan.

Selari dengan matlamat pembangunan mampan (SDG)

Program ”Dari Daun ke Pasaran” ini amat menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 mengenai pendidikan berkualiti, SDG 8 berkaitan pekerjaan layak dan pertumbuhan ekonomi, SDG 10 mengenai pengurangan ketidaksamaan, SDG 12 berhubung penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab serta SDG 17 mengenai perkongsian untuk mencapai matlamat.

Melalui pendekatan berterusan, daun yang mudah diperolehi di persekitaran bukan sahaja diubah menjadi karya dan seni, tetapi menjadi medium untuk membina fokus, koordinasi, disiplin kerja, keyakinan dan potensi pendapatan. Dengan sokongan kerajaan dan masyarakat yang lebih tersusun, aspirasi APIM “Ke Arah OKU Bekerjaya” berpeluang diterjemahkan menjadi realiti yang lebih luas dan berkekalan.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Dr. Maisarah Hasbullah dan Dr. Mohd Zufri Mamat, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya dan menggunakan emel maisara@um.edu.my

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading