Di sebuah kem perlarian yang uzur, seorang lelaki tua duduk di hadapan khemahnya,. Janggutnya memutih, bertongkat namun masih kelihatan muda semangatnya. Beliau duduk bersimpuh sambil melihat ke arah langit, seolah-olah melihat sinar yang menyeruak di fajar yang baru menyinsing. Di tangannya tergenggam sebilah kunci besi yang sudah berkarat, besar, dan berat kunci dari zaman yang sudah jauh berlalu. Umurnya lebih lapan puluh tahun. Dan kunci itu bukan miliknya.
Kunci yang digenggamnya itu adalah milik bapanya, yang menerimanya dari datuknya. Datuknya membawa kunci ini bersamanya ketika melarikan diri meninggalkan kediaman rumah mereka di Bandar Jaffa pada suatu hari di tahun 1948.
Perginya datuknya dengan keyakinan bahawa pemergian dan perpisahan dengan kediamannya itu hanya sebentar, entah itu seminggu, sebulan setahun atau lebih, dia yakin bahawa suatu hari ia pasti kembali. Hari itu masih belum kunjung tiba, namun kunci itu masih ada, menjadi saksi bisu penantian mereka.

Dan selagi kunci itu masih ada, harapan itu tidak pernah benar-benar dikunci.
Titik permulaan sebuah penantian: Nakba 1948
Peristiwa Nakba 1948, ia bukanlah sebuah peristiwa penindasan biasa. Nakba adalah titik permulaan bagi semua penderitaan di bumi anbiya itu sehingga hari ini. Untuk memahami makna kunci itu, kita perlu kembali kepada peristiwa yang orang Palestin gelar Al-Nakba yang bermaksud ‘bencana’ dalam bahasa Arab. Pada tahun 1947 hingga 1948, di tengah-tengah pergolakan politik yang mengubah peta Timur Tengah, lebih daripada 700,000 rakyat Palestin terpaksa melarikan diri atau diusir dari tanah air mereka.
Lebih 400 kampung dan bandar Palestin dimusnahkan atau dikosongkan sepenuhnya. Keluarga-keluarga yang telah mendiami bumi itu selama berabad-abad tiba-tiba mendapati diri mereka berdiri di padang yang asing, membawa apa sahaja yang sempat digenggam.
Perginya mereka tidak membawa emas dan duit, mereka melarikan diri sehelai sepinggang, dan juga kunci. Kunci yang mereka bawa bukanlah sebagai kenangan tetapi sebagai alat. Alat yang meyakinkan mereka bahawa suatu hari nanti mereka pasti akan kembali mendiami rumah yang mereka tinggalkan. Harapan yang tidak pernah luntur dibaluti doa kepada Yang Maha Berkuasa. Tahun berganti tahun, ramai di antara mereka yang sudah pergi dijemput Ilahi.
Rumah yang didiami mereka suatu ketika dahulu pun sudah banyak yang dirobohkan. Namun kunci yang mereka bawa suatu ketika dahulu masih tersimpan, diwarisi oleh anak dan cucu mereka, dengan dibaluti semangat yang sama. Diwarisi dari tangan ke tangan, dari hati ke hati.
Lebih Daripada Besi: Makna di Sebalik Kunci
Tradisi penyimpanan kunci ini mungkin sukar difahami oleh orang asing, bahkan mungkin ada yang menganggapnya sia-sia. Namun begitu, kunci inilah yang menghidupkan kampung halaman mereka selagi ia masih disimpan. 1948 adalah peristiwa malapetaka, dan kunci itulah yang akan membiarkan kisah itu terus hidup walau sebanyak mana pun usaha untuk melupakannya. Nama-nama tempat seperti Haifa, Jaffa dan Lydda telah hilang dari tulisan peta dunia, namun tidak pernah luput dari doa harian mereka.
Ancaman terbesar bagi bangsa mereka bukanlah sahaja dihapuskan , tetapi dilupakan dan lenyap dari ingatan sejarah. Demikian itu, kunci itu terus rapi dalam simpanan mereka, bahkan sebahagian mereka menggantungnya di dinding rumah dalambingkai kaca bagai sebuah artifak. Inilah cara mereka berkata “ Kami masih ada disini, kami tak akan pergi begitu sahaja”. Dalam mewariskan kepada anak cucu mereka, anak-anak mereka bahkan diajar untuk mengenali kunci itu sebelum mengenal nama jalan dan tempat tinggal mereka sendiri.
Resolusi 194 yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 11 Disember 1948 dengan jelas menegaskan bahawa pelarian Palestin mempunyai hak untuk kembali ke tanah air mereka. Sejak tahun 1949, resolusi ini telah berulang kali disahkan hampir setiap tahun, namun selepas lebih tujuh dekad, hak tersebut masih belum direalisasikan. Simbol kunci yang sering diangkat oleh pelarian bukan sekadar lambang emosi, tetapi merupakan tuntutan sah yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa, menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar sentimental tetapi berakar pada prinsip keadilan dan hak asasi manusia.
Warisan Yang Merentasi Generasi
Omer Ihsan, seorang pemuda berusia dua puluh tahun yang lahir dan dibesarkan di kem pelarian al-Wehdat di Amman, Jordan, tidak pernah menjejakkan kaki di Palestin. Dia tidak pernah melihat rumah yang kuncinya dia warisi. Tetapi apabila ditanya sama ada dia ingin kembali, dia ketawa kecil dan berkata: ‘Kem ini hanyalah penyelesaian sementara. Kami sentiasa tahu kami akan pulang.’
Beliau menjadi saksi, bahawa anak dan cucu kepada mangsa peristiwa Nakba masih menyimpan kunci itu. Bermula dari sebuah harapan, menjadi tradisi dan cara hidup setiap perlarian Palestin yang masih bertaburan dari Jordan ke Lebanon, dari Jerman ke Amerika Syarikat. Bukti yang kukuh dan kuat adalah di kem perlarian Aida di Bethlehem, di mana replika kunci gergasi setinggi beberapa meter telah dibina di pintu masuk kem. Pembinaan replika ini adalah simbolik bahawa mereka tidak akan tinggal secara kekal di pintu masuk kem itu melainkan pasti akan kembali ke tempat asal mereka satu hari nanti.
Selain daripada itu, dapat kita lihat di Muzium Kenangan Shatila di Beirut, yang menyimpan beratus-ratus objek yang dibawa ketika peristiwa 1948 termasuk kunci mereka. Setiap barang yang sudah lusuh itu menjadi saksi bisu kekejaman rejim zionis yang sudah menzalimi mereka beratus tahun lamanya.
Seni itu melawan.
Bila mana diungkapkan tentang perjuangan dan kebangkitan rakyat Palestin ia bukan sahaja perjuangan bersenjata. Ia juga diungkapkan melalui kata-kata, melalui seni, melalui puisi yang ditulis di kertas lusuh di kem-kem pelarian.
Siapa yang tidak kenal dengan Mahmoud Darwish? Benar, puisi dan kata kata beliau mendapat sambutan yang hangat bahkan dalam kalangan generasi Z. Beliau merupakan seorang penyair agung Palestin yang lahir di daerah Birweh. Daerah Birweh juga telah dimusnahkan semasa peristiwa Nakba. Puisinya menjadi nadi dalam perjuangan keamanan dan menyindir akan buruknya kesan perperangan dan pembunuhan.
Selain daripada itu, tidak lupa juga dengan Fadwa Tuqan, yang sering disebut sebagai ‘Penyair Palestin’ paling berpengaruh dalam kalangan wanita, menulis tentang perlawanan dan kerinduan dalam bentuk yang menyentuh jiwa paling keras sekalipun. Puisi-puisinya menjadi nyanyian perjuangan, dilagukan di kem pelarian dan diulang dalam demonstrasi.
Seni Palestin secara keseluruhan lukisan, filem, muzik, kraftangan — semuanya mengandungi satu tema: kunci dan tanah yang hilang.
Sejarah yang berulang Sehingga hari ini, hampir 85% penduduk Gaza iaitu sekitar 1.9 juta orang tersasar dari rumah mereka. Kitaran 1948 tetap beruoang hingga ke hari ini, begitu juga luka yang dipikul. Seperti tradisi generasi sebelumnya, mereka membawa kunci rumah baharu mereka dengan tujuan yang sama, iaitu dengan harapan bahawa suatu hari nanti mereka pasti akan pulang.
Harapan itu, telah menjadi penantian lebih dari tujuh puluh tahun lamanya.
Namun harapan mereka yang nampak seperti sudah terkubur ternyata membungakan semangat perjuangan di belahan bumi lain. Kezaliman rejim Israel memaksa masyarakat dunia bangkit bagi menentang dan menunjukkan perasaan mereka, serta menekan kerajaan mereka untuk tidak terlibat dalam genosida yang tidak berperikemanusiaan ini.
Di jalanan bandar-bandar utama dunia seperti New York, Kuala Lumpur, Istanbul dan London, simbol kunci dipegang tinggi sebagai lambang semangat dan harapan rakyat Palestin. Kebanyakan mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke bumi Palestin, tetapi faham akan makna kunci tersebut.
Pada tahun 2023, akhirnya PBB mengadakan upacara memperingati peristiwa Nakbah 1948. Meskipun pengiktirafan ini kelihatan terpaksa dan lambat, namun ia tetap dianggap kemenangan.
Kunci Itu Masih Menunggu
Seorang perdana menteri Israel pertama, David Ben-Gurion, dilaporkan pernah berkata pada tahun 1949: ‘Yang tua akan mati, yang muda akan lupa.’
Ramalan itu terbukti salah.
Generasi ketiga dan keempat pelarian Palestin — mereka yang lahir di Jordan, di Lebanon, di Jerman, di Amerika — bukan sahaja tidak lupa. Mereka mengetahui nama kampung datuk-nenek mereka. Mereka hafal kisah hari mereka terpaksa pergi. Dan mereka masih menyimpan kunci itu.
Kunci itu bukan artifak museum. Ia bukan sekadar simbol sentimental. Ia adalah penyataan yang jelas dan keras: kami masih ada, kami masih ingat, dan kami masih percaya bahawa keadilan itu mungkin.
Mereka yang menggenggam kunci itu bukan sedang hidup di masa lalu — mereka sedang berjuang untuk masa depan. Dan selagi kunci itu masih ada, harapan itu tidak pernah benar-benar dikunci.
Ditulis oleh
Muhammad Haikal Shah Bin Mohd Riza Shah,
Jabatan Sejarah Tamadun Dan Pendidikan Islam,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.





Leave a Reply