AGARTECH Ventures Sdn Bhd (AVSB), sebuah syarikat perintis dalam penyelidikan dan inovasi pokok karas komited menghasilkan satu juta benih pokok karas hibrid setahun bagi membangunkan Malaysia sebagai hab industri cip kayu serta produk gaharu premium untuk pasaran global.

Pengerusi AVSB, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata, syarikat pada masa ini menghasilkan sehingga 600,000 benih pokok karas varieti MyKynam setahun yang dibiakkan di dua tapak semaian seluas 5.26 hektar di Lendu, Melaka.

Beliau berkata, hasil inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di AVSB sejak 2017 berjaya membangunkan 24 varieti karas hibrid termasuk kacukan pokok karas spesies Malacensis Aqurilla dengan karas Kynam dari China yang menghasilkan varieti  MyKynam.

Hishamuddin berkata, pokok karas MyKynam menghasilkan teras dan resin premium serta organik sekali gus mendapat permintaan tinggi daripada pengguna di pasaran China, Jepuh, Korea, Australia, negara Arab mahupun Eropah.

Melihat kepada rekod jualan di pasaran antarabangsa sehingga mencecah AS$12 billion setahun, beliau yakin MyKynam berpotensi menjadi komoditi baharu dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara jika ditanam secara berjadual serta konsisten pada skala besar.

Beliau bagaimanapun meletakkan syarat untuk menjayakan pembangunan industri gaharu negara perlu mendapat sokongan kerajaan menerusi penglibatan agensinya selain penyertaan permainan industri, pelabur swasta, institusi penyelidikan dan akademia serta kesedaran yang digembleng menerusi  semua platform media.

Antaranya, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) memainkan peranan penting termasuk dalam pembangunan kapasiti industri, penyediaan khidmat teknikal, pembangunan piawaian serta pengembangan pasaran,.

Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di Melaka pula menjadi rakan strategik dalam memperkukuh R&D, data,  inovasi dan pembangunan modal insan.

Hishamuddin berkata, AVSB ditubuhkan dengan matlamat membangunkan industri MyKynam secara profesional, berdaya saing dan lestari menerusi kegiatan R&D, pembangunan benih hibrid, pengeluaran anak benih, pembangunan ladang komersial serta pembangunan modal insan.

Selepas kejayaan R&D, syarikat kini memasuki fasa baharu dengan memberi tumpuan kepada pembinaan ekosistem industri yang lebih menyeluruh melalui kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti, pelaburan dan pengembangan pasaran.

Dalam usaha memperkukuh agenda tersebut, AVSB menggariskan Visi Agartech 2035, iaitu pelan strategik jangka panjang yang fokus kepada peluasan rangkaian tapak semaian dan ladang komersial, memperkasa usahawan dan pekebun tempatan serta memperluaskan jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Menurut beliau lagi, Malaysia mempunyai kelebihan kompetitif menjadi peneraju industri gaharu era baharu kerana iklim tropika dan tanah yang kondusif, sistem logistik yang baik, kepakaran R&D serta modal insan berkualiti untuk membangunkan industri MyKynam secara lestari.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading