Peristiwa Nakbah bukanlah sekadar hari untuk kita memperingati bencana masa lalu yang menimpa penduduk Palestin, namun ia adalah satu tragedi hitam yang tidak boleh dilupakan oleh seluruh umat manusia.
Hal ini kerana, peristiwa Nakbah yang bermula pada 15 Mei 1948 merupakan titik awal ‘malapetaka’ bagi penduduk Palestin yang ditindas secara kejam oleh rejim Zionis.
Sejarah membuktikan bahawa dalam tragedi 1948 tersebut, tentera Zionis telah menghancurkan lebih 500 buah kampung, merosakkan tempat kediaman, dan menguasai hampir keseluruhan wilayah Palestin melalui pelan pembersihan etnik yang sistematik.
Kesannya, lebih daripada 700,000 rakyat Palestin telah dihalau keluar dari tanah air mereka sendiri untuk menjadi pelarian.
Jika dilihat pada situasi hari ini, malapetaka tersebut dilihat tidak pernah berakhir, malah menjadi semakin parah. Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat masih lagi berada dalam keadaan yang sangat getir.
Pihak Israel secara kejam terus mengancam nyawa mereka menerusi siri pengeboman berterusan, sekatan bekalan asas, dan rampasan tanah yang agresif, sekaligus enggan membenarkan penduduk Palestin hidup dalam keadaan aman.
Pembantaian, kemusnahan infrastruktur total, dan pengusiran jutaan warga Gaza ke khemah-khemah penempatan sementara pada hari ini adalah bukti jelas bahawa ‘Nakbah Kedua’ sedang berlaku di depan mata dunia.
Di sebalik ujian yang meragut ribuan nyawa ini, rakyat Palestin tidak pernah menyerah kalah. Mereka masih terus berjuang demi mempertahankan wilayah mereka.
Malah bagi mereka, agama Islam juga turut diperjuangkan kerana tanah Palestin adalah tanah suci yang barakah, bumi yang menempatkan Masjidil Aqsa sekaligus kiblat pertama umat Islam, serta kaya dengan sejarah perjuangan para nabi terdahulu.
Sebagai umat Islam, kita perlu mengambil cakna tentang keadaan saudara-mara kita di sana secara konsisten. Tanpa perlu menunggu hari peringatan peristiwa ‘Nakbah’ sekalipun, kita wajib sentiasa memperingati, mendoakan, dan menyokong perjuangan saudara kita di Palestin.
Sejarah yang berulang ini adalah tamparan buat iman kita, apakah kita hanya mahu menjadi pemerhati, atau menjadi sebahagian daripada suara yang menuntut keadilan bagi bumi anbiya ini?






Leave a Reply