
Wilayah Narathiwat, dengan populasi lebih 800,000 orang, menjadi salah satu medan pertempuran paling hangat di wilayah sempadan selatan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen Thailand 2026, yang akan berlangsung esok (8 Februari).
Dibahagikan kepada lima kawasan pilihan raya, ianya bukan sekadar untuk merebut kerusi Parlimen, tetapi ujian pengaruh antara rangkaian tempatan dan pembiayaan pembangunan dan ideologi identiti Melayu, dengan pembolehubah utama iaitu kebangkitan golongan muda yang ingin membebaskan diri daripada corak tradisional.
PRU di Narathiwat mencerminkan landskap politik tiga serampang iaitu kumpulan kuasa dan sumber, yang diketuai oleh Parti Kla Tham dan Bhumjaithai,” yang menekankan prestasi, bajet, dan rangkaian hubungan, menentang kumpulan identiti dan kepercayaan, yang diwakili Prachachat, yang menumpukan kepada kerohanian dan politik ideologi Melayu.

Apabila ‘wang’ bertembung ‘kepercayaan’ dan trend yang berubah-ubah, ia menjadi cabaran utama bagi keluarga politik yang mantap. Bagaimanapun, dalam kemelesetan ekonomi semasa, pemerhati meramalkan bahawa ‘wang’ mungkin menjadi faktor penentu pada peringkat akhir kempen yang telah tamat malam tadi (6 Februari).
Sebenarnya, majoriti kawasan Parlimen di tiga wilayah ini dikuasai oleh Prachachat yang diketuai bekas Menteri Keadilan Thailand, Thawee Sodsong dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Wan Mohamad Noor Matha. Parti ini dilihat lebih kehadapan dalam membela nasib rakyat.
Dengan sokongan sebilangan besar ulama di Selatan Thai, Prachachat yakin untuk menyapu bersih semua 13 kerusi dengan matlamat utama adalah untuk memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen, berbanding tujuh yang dimenangi pada 2023 lalu.
Keyakinan itu berdasarkan kepada asas sokongan kukuh kira-kira 500,000 pengundi ketika pilihan raya 2023 dan lebih 900,000 pengundi atas pagar.
Parti itu juga Mereka mempromosikan ‘model 0-10-100’ mereka, di mana “0” menandakan sifar rasuah dan mengurangkan cukai eksais ke atas bahan api di tiga wilayah sempadan selatan kepada sifar; manakala “10” mewakili langkah mempercepatkan pengurangan ketidaksamaan, terutamanya dalam pendidikan; dan “100” menandakan operasi 100 hari untuk memerangi pengedaran dadah.

Apa Khabar TV bertemu tiga calon Parlimen Narathiwat ketika mereka berkempen dari rumah ke rumah di kawasan masing-masing, bagi mengetahui suasana kempen pilihan raya itu.
Kawasan Parlimen 4 Narathiwat, yang merangkumi Daerah Rangae, Chanae, dan Sukhirin, bakal menjadi tumpuan kerana Dr Zakariya Said, penyandang daripada Parti Bhumjaithai, menunjukkan bahawa kuasa parti iaitu dasar yang berkesan dan bajet pembangunan dapat mengubah pemikiran orang ramai.
Dr Zakariya mempunyai rangkaian penyokong politik yang tersusun rapi dan menerima sokongan penuh Kerajaan Pusat. Bagaimanapun, imej Parti Bhumjaithai mengenai isu-isu tertentu, seperti ganja atau beberapa pendirian politiknya, mungkin masih menjadi cabaran dalam mendapatkan pemahaman daripada penduduk yang sangat sensitif di kawasan tersebut.

Di pihak pencabar utama ialah Kuheng Yawahasan yang mewakili Parti Prachachart – seorang pewaris keluarga Yawohasan yang juga anak kepada Kuseng Yawohasan iaitu Presiden Pentadbiran Wilayah Narathiwat atau di Malaysia lebih tepat dikatakan menteri besar.
Kuheng mempunyai asas sokongan yang kuat di Narathiwat, terutama di daerah tradisionalnya Rangae. Gabungannya dengan Parti Prachachart, yang diketuai Wan Muhammad Nor Matha dan Kolonel Polis Thawi Sodsong, memberikannya populariti melalui dasar identiti dan tumpuannya terhadap hak tanah dan keadilan, yang bergema dalam kalangan penduduk tempatan.
Popularitinya melonjak apabila menyokong rang undang-undang pengampunan untuk pencerobohan hutan, dan penghapusan pinjaman pendidikan oleh pelajar serta usahanya untuk mengembalikan hak milik tanah yang dirampas kepada pemilik asal.
Parti Prachachart mencadangkan program pelepasan hutang. Peminjam hanya perlu membayar balik 10 peratus daripada jumlah pinjaman, dengan baki 90 peratus lagi dihapuskan.
Kawasan 5 Narathiwat, meliputi daerah Bacho, Rueso, dan Si Sakhon. Penyandangnya, Kamolsak Leewamoh, dari Parti Prachachart, mempunyai asas sokongan yang kuat dalam kalangan pemimpin agama dan organisasi masyarakat sivil.

Beliau merupakan seorang peguam terkemuka yang terkenal dengan peranan pentingnya dalam perdebatan di Parlimen mengenai undang-undang hak asasi manusia dan keselamatan, isu-isu yang bergema dengan pengundi di tiga wilayah sempadan selatan.
Dikenali sebagai Wan Johan dalam kalangan penduduk Selatan Thai, beliau sebelum ini adalah bekas Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand.
Mengekalkan kedudukannya di tengah-tengah trend yang berubah-ubah dan kemajuan agresif parti-parti saingan dilihat sesuatu yang mencabar, namun sokongan konservatif kekal menjadi faktor penting.
Tugas yang mencabar adalah untuk menukar momentum sokongan kepada undi tulen dalam peti undi. Masih belum dapat dipastikan sama ada kuasa kewangan akan mengatasi faktor-faktor lain dalam masa kemelesetan ekonomi ini.

Menghadapi persaingan daripada parti-parti saingan untuk pengundi muda dan cabaran kepada nepotisme, Koseng Saemasu dari Parti Kla Tham merupakan pencabar utama kepada Wan Johan. Koseng adalah pemain utama dengan pengaruh tempatan yang kuat.
Sebagai bekas penghulu dengan asas sokongan tempatan yang kukuh, perpindahannya dari Parti Palang Pracharath ke Parti Kla Tham menyediakannya dengan sumber dan keupayaan pengurusan yang dipertingkatkan. Koseng dikenali kerana hubungannya yang mendalam dan penglibatan rapat dengan masyarakat tempatan.
Bagi lima kawasan pilihan raya Parlimen Narathiwat, faktor utama dan halangan dalam kemelesetan ekonomi mungkin menjadikan ‘peluru’ dan ‘sumber politik’ sebagai penentu penting bagi penduduk kampung.
Bagaimanapun, apa yang dapat diperhatikan ialah kawasan ini sering mempunyai ‘kejutan’ pada peringkat akhir, sama seperti laporan pengeboman yang tidak boleh dijangka di Wilayah Narathiwat.







Leave a Reply