RAKYAT Palestin pada masa kini menjadi pelarian di tanah air mereka sendiri. Setiap hari kita disajikan dengan isu penindasan yang berlaku di Palestin. Setiap masa mereka berdepan dengan keadaan yang membahayakan nyawa kerana negara mereka diserang oleh penjajah rejim Zionis.

Banyak nyawa yang tidak bersalah terkorban akibat daripada serangan ini. Negara yang sepatutnya membangun dengan aman kini hancur akibat penjajah haram. Rejim Zionis Israel berusaha untuk memadam nama Palestin daripada peta dunia.

Oleh itu, isu ini sepatutnya menjadi perhatian untuk dibicarakan kerana kezaliman pihak penjajah menyebabkan penderitaan bagi rakyat yang tidak bersalah.

Rejim Zionis telah menubuhkan negara haram Israel pada tahun 1948. Sejak penubuhan negara haram ini telah banyak berlaku penindasan ke atas rakyat Palestin seperti berlakunya rampasan tanah untuk pendudukan haram, sekatan ekonomi yang menyebabkan terjejasnya bekalan asas. Selain itu, rakyat Palestin juga berdepan pengusiran dari tempat tinggal mereka, serta perlanggaran hak asasi manusia dan serangan ketenteraan yang sering kali berlaku.

Disebabkan penindasan-penindasan ini banyak hak-hak asasi yang sepatutnya diperoleh rakyat Palestin dinafikan. Hak untuk hidup telah dinafikan susulan serangan yang boleh dikatakan dilakukan setiap hari. Hak anak-anak Palestin untuk mendapatkan pendidikan juga dinafikan kerana sekolah mereka turut dibom. Hak untuk mendapatkan bantuan kesihatan dinafikan apabila hospital juga dimusnahkan selain berlaku sekatan bantuan seperti menghalang bekalan ubat-ubatan masuk ke Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza.

Hak tempat tinggal juga dinafikan kerana rumah mereka dihujani peluru rejim Zionis Israel. Akibat penindasan yang berlaku ini, rakyat Palestin dinafikan untuk hidup bermaruah dan negara mereka musnah akibat penjajahan. Berlaku juga ketidakadilan undang-undang antarabangsa kerana kuasa besar tetap melindungi Israel daripada dikenakan tindakan tegas. Penindasan yang berlaku di Palestin ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti sejarah, politik, serta kegagalan rundingan.

Akibat daripada penindasan yang berlaku ini banyak nyawa yang telah terkorban. Rakyat Palestin telah lama menanggung penderitaan akibat tindakan Israel ke atas mereka. Terdapat banyak laporan yang mengatakan wanita dan kanak-kanak merupakan golongan yang sering kali menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis. Penindasan yang berlaku menyebabkan rakyat Palestin hidup dalam serba kekurangan. Keperitan hidup semakin perit apabila sekatan ekonomi dikenakan ke atas mereka.

Akibat penindasan yang sering terjadi, rakyat Palestin kini hidup dalam trauma, ketakutan dan ketidakpastian. Dalam keadaan yang mencabar ini, walaupun nyawa mereka sering terancam, rakyat Palestin memperlihatkan keteguhan yang luar biasa dengan mempertahankan tanah air mereka. Walaupun mereka diancam senjata, mereka tidak lari. Ianya sekali gus menunjukkan keazaman untuk memperjuangkan hak mereka di tanah air sendiri.

Penindasan yang berlaku di Palestin ini bukanlah perkara kecil, tetapi isu global yang patut dititikberatkan agar penindasan ke atas mereka dihentikan. Namun, kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab ataupun kuasa Barat dalam memberikan perlindungan kepada Palestin ataupun rundingan menghentikan keganasan sering menemukan jalan buntu.

Media antarabangsa pula sering kali berat sebelah apabila memberikan tanggapan negatif terhadap Palestin. Ini menyebabkan Israel terus mendabik dada dan berani melakukan penindasan kerana mereka merasakan dunia masih berpihak kepada rejim Zionis. Walaupun banyak maklumat yang tidak sahih dan berat sebelah dilakukan oleh media antarabangsa, terdapat juga tanggapan masyarakat global yang positif terhadaprakyat Palestin.

Gerakan solidariti dilakukan untuk memberikan sokongan kepada rakyat Palestin. Selain itu, terdapat juga bantuan yang disalurkan oleh masyarakat antarabangsa, termasuk Malaysia kepada Palestin. Masyarakat juga melakukan boikot terhadap jenama atau syarikat yang ada hubungan dengan Israel. Ini menunjukkan bahawa walaupun kuasa besar tidak mampu untuk melindungi Palestin, tetapi rmasyarakat biasa tetap berusaha untuk memperjuangkan hak dan keadilan buat rakyat Palestin.

Akhir sekali, melalui isu ini diharapkan seruan dapat disebarkan ke seluruh dunia, khususnya umat Islam, supaya terus berjuang menegakkan keadilan buat Palestin agar penindasan ke atas mereka dihentikan dan Israel dikenakan tindakan tegas menurut undang-undang antarabangsa. Perjuangan untuk menghentikan penindasan Israel menunjukkan ianya adalah perjuangan kemanusiaan, bukan sekadar politik dan agama.

Kita berharap, dengan sokongan kepada Palestin, seperti menggerakan solidariti ataupun bantuan kemanusiaan, dapat membuka mata dunia bahawa keadilan kepada Palestin mesti ditegakkan supaya mereka dapat hidup dengan aman dan damai di negara mereka sendiri.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading