MENURUT Kamus Digital Istilah Pengembangan Wilayah, perkataan normalisasi bermaksud menjadikan sesuatu perkara pelik dan luar biasa menjadi biasa atau normal semula dimana ia merujuk kepada usaha mengembalikan sesuatu keadaan atau hubungan untuk menjadi lebih stabil berbanding sebelumnya.

Normalisasi politik membawa makna proses pemulihan yang dilakukan bagi mengurangkan atau menghapuskan ketegangan antara pihak- pihak yang pernah menghadapi konflik, bertujuan untuk mengakhiri perselisihan tersebut melalui perjanjian damai atau kerjasama rasmi. Manakala normalisasi politik dalam konteks dunia Islam pada hari ini merupakan isu yang semakin relevan terutama berkaitan negara-negara Islam yang telah mula menjalinkan hubungan diplomatik yang bertujuan untuk mencapai kestabilan dan kedamaian dengan negara haram Israel.

Normalisasi politik dalam dunia Islam merujuk kepada usaha yang dilakukan oleh negara-negara Islam bagi menamatkan konflik serta mencapai kemanan dengan negara-negara atau pihak-pihak lain khususnya Israel. Usaha ini melibatkan pengiktirafan diplomatik, pembukaan hubungan rasmi, dan kerjasama yang bertujuan untuk mencapai kesepakatan bersama. Normalisasi politik ini telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di seluruh dunia.

Seterusnya, bagaimana pula dengan kita? Apakah reaksi dan pandangan kita terhadap normalisasi politik ini? Artikel ini akan membahaskan tentang implikasi dan cabaran normalisasi politik khususnya hubungan diplomatik antara negara-negara Islam dengan Israel. Isu ini sangat penting terutamanya bagi umat Islam kerana ia melibatkan kestabilan politik negara Islam serantau lebih lebih lagi di Timur Tengah yang terletaknya negara majoriti umat Islam dan negara Palestin itu sendiri.

Normalisasi dengan negara haram Israel dengan membuat perjanjian seperti Oslo, Abraham Accord dan sebagainya hanyalah melambangkan keamanan tetapi tidak menjamin keselamatan dan kedaulatan negara-negara Islam kerana setiap perjanjian yang disebut itu semuanya berat sebelah dan tidak berpihak sepenuhnya kepada umat Islam.

Kelemahan kedua iaitu dari segi kerjasama antara negara Islam yang lemah dan tidak bersatu dalam isu yang melibatkan umat Islam seperti di Palestin. Kita mempunyai pertubuhan seperti OIC mahupun Liga Arab tetapi hanya sebagai perjumpaan biasa, tiada kata sepakat mahupun membina kekuatan bersama serta hanya mampu mengeluarkan kenyataan bersama tanpa tindakan yang tegas.

Ini juga membuatkan sesetengah negara Islam terpaksa menormalisasikan hubungan dengan negara bukan Islam seperti negara Israel kerana ingin melindungi kedaulatan negeri sendiri. Contohnya, UAE, Mesir, Maghribi, Jordan mahupun Turki. Negara ini terpaksa menormalisasikan hubungan dengan Israel kerana mereka mempunyai kepentingan sendiri. Inilah antara sebab-sebab mengapa normalisasi politik ini terjadi.

Kesan pertama dari normalisasi ini ialah dapat menjamin kestabilan sesebuah negara Itu daripada diserang oleh kuasa-kuasa besar. Ini kerana ada sesetengah negara lebih cenderung kepada sesebuah kuasa besar tanpa memikirkan kestabilan negara sendiri. Ini akan membuatkan kuasa besar Itu mencabar kedaulatan negara tersebut dengan menghantar atau melatih proksi yang berpihak kepada mereka.

Sebagai contohnya, negara Syria yang sebelum ini cukup mesra dengan kuasa besar seperti Russia mahupun China tetapi sekarang lebih memilih mesra kepada semua negara. Ini kerana setelah jatuhnya rejim Assad, pemimpin Syria sekarang iaitu Ahmad Al- Sharaa sedar bahawa dengan bermusuh dengan mana-mana negara akan menyebabkan negara Syria ke arah peperangan yang lebih besar.

Kesan kedua dari normalisasi ini ialah kebangkitan rakyat untuk melawan pemimpin negara mereka sendiri lebih-lebih lagi negara tersebut menyokong penuh negara yang teraniaya seperti Palestin. Ini membuatkan pemimpin negara mereka tidak senang duduk dan mungkin akan memutuskan normalisasi tersebut dan terpaksa mengiktiraf negara tersebut kerana desakan rakyat sendiri.

Sebagai contoh, negara Colombia yang sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan Israel, memutuskan untuk memanggil duta besar mereka kerana membantah tindakan rejim zionis yang melakukan tindakan kejam seperti mengebom besar-besaran terhadap rakyat Palestin. Tindakan negara Colombia ini juga diikuti beberapa negara yang juga membantah tindakan tersebut. Ini membuatkan negara zionis itu semakin kehilangan sokongan dan terpaksa ke meja rundingan.

Kesimpulannya, normalisasi politik ni lebih banyak keburukan dari kebaikannya kerana akan menentukan hala tuju negara untuk kedepan dalam mendepani suhu geopolitik yang tidak menentu. Lebih lebih lagi, menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel akan membuatkan negara kita hilang arah dan akan dilihat sebagai negara yang tidak mempunyai sikap empati terhadap rakyat Palestin yang dizalimi oleh negara penjajah tersebut.

Sikap berdiplomatik kita haruslah bijak dan tersusun supaya tidak tersilap langkah untuk membentuk kestabilan negara pada masa hadapan.

Dayana Syifa Binti Mohamad Zainuddin,
Pelajar Tahun 3, Sarjana Muda Usuluddin (Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam),
Fakulti Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading