KUALA LUMPUR, 29 Nov, 2025: Suruhanhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menggariskan empat impak besar hasil kerjasama di antara Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat Berhad (Kop KGMMB) dan Kakatoo Malaysia (Kakatoo) yang menjalin hubungan strategik untuk menggalakkan usahawan dalam industri makanan.
Ketua Penolong Pengarah (Kawal Selia) SKM Mohammad Farhan Mohamad Sabri berkata empat impak besar berikutan pemeteraian Memorandum Persefahaman di antara dua entiti itu ialah:
➢ Membuka ruang kepada koperasi untuk berkembang secara profesional;
➢ Meningkatkan peluang perniagaan berdaya maju;
➢ Mewujudkan impak ekonomi yang kembali kepada anggota; dan
➢Memperkukuh ekosistem perniagaan koperasi di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Mohammad Farhan berkata demikian di majlis pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Kop KGMMB dan Kakatoo Malaysia, rangkaian restoran masakan nyonya kampung di Kakatoo Restoran Quill City Mall, Kuala Lumpur hari ini.
Kop KGMMB yang dianggotai kira-kira 20,000 ahli manakala Restoran Kakatoo mempunyai 12 cawangan di Lembah Kelang.
MoU ditandatangani oleh Pengerusi Kop KGMMB, Haji Ibrahim Marlan dan Pengerusi Kumpulan Kakatoo F&B, Datuk Yusof Izahar disaksikan oleh Mohammad Farhan.
Mohamad Farhan yakin dengan perancangan yang rapi dan tadbir urus yang mantap, kerjasama ini mampu menjadi model rakan strategik koperasi–industri yang boleh dicontohi koperasi lain di Wilayah Persekutuan.
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kakatoo F&B, Joyce
Chong mengumumkan inisiatif pertama kerjasama itu dengan perniagaan tart kepada ahli koperasi dan mereka yang berminat menyertsi program ini.
Peserta yang layak akan menerima pembiayaan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kop KGMMB dan beberapa agensi pembiaya yang lain.
Sementara itu, Ibrahim menjelaskan, sebagai sebuah koperasi pendidikan yang dianggotai oleh warga pendidik, pihaknya sentiasa mencari jalan untuk menambah baik sumber pendapatan koperasi.
Oleh itu, katanya, MoU ini adalah salah satu langkah ke hadapan dalam menjadikan koperasi bukan sahaja kuat dalam aspek kebajikan, tetapi juga kukuh dalam sektor komersial dan pelaburan.
Gambar Utama: Dari kiri (duduk) Ketua Pegawai Eksekutif Kakatoo F&B, Joyce Chong, Datuk Yusof dan Ibrahim Marlan di majlis menandatangani MoU di Quill City Mall, Kuala Lumpur.






Leave a Reply