
HAT YAI, THAILAND: Video tular menunjukkan lelaki Thai mempertaruhkan nyawa di atas talian komunikasi untuk ke temat selamat ketika banjir terburuk dalam tempoh 100 tahun yang melanda Hat Yai – bandar pelancongan yang kerap menjadi tumpuan rakyat Malaysia.
Seorang wanita Thai, yang terperangkap dalam banjir di daerah Hat Yai, Songkhla, telah menggunakan Facebook untuk mendapatkan bantuan, berkongsi video jirannya terpaksa berjalan menempuh bahaya di atas wayar komunikasi dalam usaha untuk sampai ke tempat yang lebih selamat.
Wanita itu menyiarkan video pertama di akaun Facebooknya, Kang Namthip, semalam. Dalam kapsyen, dia menulis…

“Tolong kasihanilah kami. Banyak nyawa masih menunggu harapan untuk keluar dari sini. Air telah sampai ke tingkat dua. Makanan dan air minuman semakin berkurangan. Tolong bantu. Saya tidak dapat menghubungi mana-mana unit penyelamat. Kami berada di Jalan Phonphichai di hadapan Kuil Phutthikaram atau Kuil Plak Krim Nai.”
Video itu menunjukkan tiga lelaki berjalan di sepanjang talian berkenaan. Meraka dikatakan terpaksa menggadai nyawa untuk mencari makanan dan tempat perlindungan yang lebih selamat. Bekalan elektrik di kawasan itu telah pun dipotong untuk keselamatan sejak banjir mula melanda 22 November lalu.
Wanita itu berkongsi video selanjutnya yang menunjukkan dirinya dan jirannya bergelut untuk terus hidup ketika banjir teruk. Dia memasukkan nombor telefon bimbit dan lokasinya di setiap hantaran dengan harapan pegawai kerajaan atau pasukan penyelamat dapat mengesannya.

Dia juga mengkritik kerajaan dan pejabat pentadbiran wilayah kerana pengurusan banjir yang lemah, sambil mendakwa bahawa walaupun penduduk tempatan digesa untuk berpindah, tiada bantuan diberikan.
Air yang naik dan deras telah menyukarkan usaha menyelamat. Banyak pasukan penyelamat di kawasan itu menyiarkan di media sosial, mengatakan ramai mangsa masih memerlukan bantuan segera. Bagaimanapun, sumber sukarelawan tidak mencukupi.






Leave a Reply