Oleh Azlan Abu Bakar

“Setiap langkah kecil adalah kemenangan” Itulah ungkapan yang menguatkan aku untuk terus berjuang hidup selepas dilanda stroke.
Dunia yang dulu penuh warna berubah menjadi hitam putih. Aku berada di puncak kerjaya sebagai news editor, Royal Press Office Johor Darul Ta’zim ketika detik hitam itu melanda hidupku.
Masa itu aku terasa diri hancur dan tak berguna. Kerjaya sebagai wartawan yang menjadi jiwaku terus menjadi mustahil. Terlintas di dalam fikiran,” Macamana aku nak menulis dengan tangan yang lemah? Apakah aku akan jadi beban pada keluarga?”
Di tengah kegelapan, muncul secebis cahaya. Isteriku menghulurkan laptop lamaku. “Tulis kisahmu, bang. Cerita tentang perjuanganmu,” katanya lembut. Aku ragu, tapi dia meyakinkan. “Kamu wartawan, bukan? Jadi ceritakan kisahmu, dan jadikan itu inspirasi.”
Dengan tangan yang mengigil, aku mengetik kata “stroke”. Air mata jatuh ke keyboard. Isteriku yang memegang dan membimbing tanganku berkata, “Kamu kuat, bang. Mula dari sini.”
Hari-hari berlalu, aku menulis. Setiap kata adalah perlawanan, setiap perkataan adalah kemenangan. Aku menceritakan rasa takut, kesedihan, dan harapan. Tentang doktor dan ahli terapi yang sabar, keluarga dan kawan-kawan yang member sokongan, dan diriku yang perlahan-lahan bangkit. “Aku tidak menyerah.”
Aku yang mulanya tidak percaya diri mulai percaya. Langkahku masih perlahan dan bertongkat, tapi aku berjalan. Suaraku lemah, tapi aku berbicara. Aku mulai dengan satu kata. ‘Aku kuat’ berulang kali setiap hari.
Saudara Rashid Yusof, peneraju portal berita ApakhabarTV yang didukung nama-nama besar dunia kewartawanan menjemputku menjadi kolumnis, aku terkejut seketika tapi menerima dengan lapang dada meskipun masih dalam proses pemulihan…”
Isteriku tersenyum. “Abang boleh. Aku percaya.” katanya. Aku ingin membuktikan, stroke bukan akhir. Itu awal dari bab baru.
“Hidup tidak selalu memberi kita pilihan, tapi kita selalu punya pilihan untuk bangkit. Jangan biarkan badai menghancurkanmu. Jadilah cahaya di dalam kegelapan. Setiap langkah kecil adalah kemenangan. Kamu lebih kuat dari yang kamu fikirkan.”






Leave a Reply