KANAK-KANAK hari ini terdedah kepada gajet sejak usia sangat muda. Kajian mendapati 78% dalam kalangan ibu bapa di Malaysia membenarkan anak-anak mereka memiliki gajet. Statistik ini menunjukkan bahawa gajet dibiarkan menjadi sebahagian dari kehidupan kanak-kanak walaupun menyedari akan potensinya yang membawa banyak mudarat. Isu ini sudah lama berlegar-legar dalam masyarakat kita hingga menimbulkan banyak masalah termasuklah ketagihan, gangguan pembelajaran, pengabaian adab, dan pendedahan kepada kandungan yang tidak selaras dengan syariat.

Menurut pandangan Islam, kanak-kanak Muslim perlu dibimbing sejak awal agar penggunaan teknologi tidak menjejaskan iman, akhlak, dan perkembangan sahsiah. Oleh itu, artikel ini akan menghuraikan bahaya gajet terhadap kanak-kanak Muslim beserta cadangan penyelesaian berdasarkan panduan Islam.

Ketagihan terhadap gajet menyebabkan kanak-kanak hilang kawalan diri, lalai serta mengganggu perkembangan emosi mereka. Ketagihan dapat mengalihkan perhatian mereka dan membuat mereka lalai daripada melakukan ibadah seperti solat, membaca al-Quran, dan berzikir. Contoh yang paling dekat yang dapat kita lihat, kanak-kanak zaman sekarang lalai dalam menunaikan solat sehinggakan ada yang tidak solat langsung semata-mata untuk bermain permainan video dan apabila gajet mereka diambil, mereka menunjukkan reaksi yang tidak biasa pada kanak-kanak lazimnya seperti mudah marah, gelisah, dan tantrum.

Sedangkan dalam Islam sendiri menolak kelalaian dan menekankan penggunaan masa secara berfaedah. Ketagihan gajet bukan sahaja menjejaskan hubungan mereka dengan Pencipta tapi turut menjejaskan perkembangan emosi yang penting dalam diri mereka. Dapat dirumuskan di sini bahawa ketagihan bukan hanya masalah psikologi tetapi turut menyentuh aspek akhlak dan perkembangan emosi menurut Islam.

Seterusnya, penggunaan gajet berlebihan akan menjejaskan perkembangan kognitif dan pertuturan kanak terutama pada usia awal. Islam menggalakkan pendidikan awal yang seimbang seperti pembelajaran melalui interaksi, pergaulan baik, dan adab bercakap.

Kajian menunjukkan penggunaan gajet berlebihan pada usia awal adalah antara faktor yang menyumbang kepada lambat bertutur (speech delay) disebabkan kurangnya interaksi sosial dan masa perkembangan bahasa secara berinteraksi. Perkara ini terjadi kerana kurangnya rangsangan bahasa yang mana akan menjejaskan potensi intelektual mereka yang dituntut Islam untuk dipelihara.

Masalah kesihatan fizikal juga boleh disebabkan oleh penggunaan gajet berlebihan. Lazimnya kanak-kanak cenderung duduk dalam satu posisi untuk masa yang lama ketika menggunakan gajet. Keadaan ini menjadi faktor tubuh tidak berkembang secara optimum disebabkan kurangnya aktiviti fizikal yang menyebabkan metabolisme menurun, sekaligus meningkatkan risiko obesiti kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, pendedahan kepada skrin akan menyebabkan tekanan kepada mata dan akhirnya menyumbang kepada rabun awal. Kajian kes rabun kanak-kanak seringkali berkait rapat dengan masa skrin yang berlebihan. Tambahan pula, penjagaan tubuh merupakan tuntutan syarak dan kita dituntut untuk menjaga kesihatan kerana tubuh badan adalah amanah dan kita bertanggungjawab terhadapnya.

Oleh itu, langkah penyelesaian diperlukan bagi mengawal penggunaan gajet dan untuk melindungi perkembangan kanak-kanak. Semua pihak diseru untuk bersatu dalam memainkan peranan untuk membendung perkara ini. Ibu bapa mempunyai peranan yang sangat penting bagi mengatasi perkara ini dengan mengambil inisiatif seperti mengehadkan masa penggunaan gajet secara konsisten di samping memantau kandungan dan aplikasi yang digunakan dan menggalakkan aktiviti alternatif yang dianjurkan oleh Islam seperti riadah, bacaan, meluangkan masa bersama keluarga, serta tanamkan adab penggunaan teknologi agar anak-anak tidak lalai.

Pihak sekolah juga tidak kurang pentingnya dalam memainkan peranan untuk mencegah perkara ini daripada terus bercambah kerana sekolah merupakan tempat kedua kanak-kanak menghabiskan waktu selepas di rumah. Langkah yang dapat diambil oleh pihak sekolah adalah dengan memberikan kaunseling kepada murid-murid yang menunjukkan gejala ketagihan serta menyediakan aktiviti kokurikulum bebas skrin dengan menawarkan lebih banyak kelab sukan, seni, muzik, dan aktiviti luar bilik darjah.

Akhir sekali, peranan dari kerajaan dengan mengawalselia kandungan digital yang lebih ketat serta memberikan garis panduan penggunaan teknologi untuk ibu bapa dan pendidik. Justeru itu, cadangan solusi ini memerlukan kerjasama semua pihak bagi penggunaan gajet seimbang dan selamat untuk perkembangan kanak-kanak.

Ringkasnya, penggunaan gajet berlebihan memberikan kesan negatif kepada perkembangan fizikal, kognitif, sosial, dan emosi kanak-kanak. Oleh itu, isu ini tidak boleh dipandang enteng kerana ianya melibatkan generasi yang akan memimpin negara kita pada masa hadapan. Justeru itu, ibu bapa, pihak sekolah, dan pihak kerajaan mempunyai peranan penting untuk mengawal penggunaan gajet.

Tanpa kerjasama ini, usaha-usaha untuk menangani masalah ini tidak akan berkesan. Dengan ini saya berharap agar penggunaan gajet dilakukan secara berhemah dan terkawal agar kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran yang sihat dan seimbang antara teknologi dan kehidupan sebenar. Tuntasnya, penggunaan teknologi yang bijak akan menentukan kualiti generasi masa depan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading