UYGHUR adalah bangsa yang menetap di bahagian utara negara China khususnya di wilayah Xinjiang dan majoriti mereka beragama Islam. Meskipun tinggal dalam wilayah kekuasaan Republik Rakyat China, People’s Republic of China, (PRC), bangsa Uyghur mempunyai budaya yang amat berbeza daripada masyarakat Cina pada umumnya, malah lebih cenderung kepada budaya Turki dan Islam di Asia Tengah.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, masyarakat Uyghur semakin lama semakin mendapat perhatian global akibat dilema besar yang mereka hadapi, sama ada mengekalkan identiti mereka yang unik ataupun berasimilasi dengan budaya Cina. Oleh itu, artikel ini mengajak pembaca untuk memahami situasi sebenar yang sedang menimpa masyarakat Uyghur di Xinjiang.
Mengikut sejarah, masyarakat Uyghur ini pada awalnya merupakan kaum nomad yang kemudiannya menubuhkan kerajaan mereka sendiri di Mongolia. Setelah kerajaan tersebut jatuh, kaum Uyhur bermigrasi ke kawasan oasis di Lembah Tarim, termasuk Turfan, Kucha, Kashgar dan Hotan, iaitu kawasan yang kini dikenali sebagai Xinjiang. Masyarakat Uyghur mula memeluk Islam pada abad ke-10 melaui pedagang Arab dan Parsi yang berdagang menggunakan Laluan Sutera. Sejak dari itu, Islam menjadi teras identiti dan cara hidup utama masyarakat Uyghur.
Pada era dinasti Qing, kawasan yang didiami oleh Uyghur ini diserap masuk dalam kerajaan China. Hal ini telah menimbulkan ketegangan akibat perbezaan agama, budaya dan politik. Wilayah ini kemudiannya diberi nama “Xinjiang” yang bermaksud wilayah baru sekali gus menjadikannya sebahagian daripada China moden selepas berakhirnya dinasti Qing. Kerajaan China moden cuba menyatukan masyarakat Uyghur ini dengan budaya nasional Cina, namun ia telah mencetuskan pelbagai isu sosial dan politik serta konflik yang berpanjangan.
Antara isu utama yang mendapat perhatian dunia ialah usaha asimilasi budaya dan agama terhadap masyarakat Uyghur. Banyak laporan dari pertubuhan antarabangsa seperti daripada Amnesty International dan Human Rights Watch mendakwa berlakunya kawalan ketat terhadap amalan agama, penggunaan bahasa Uyghur, serta kebebasan sosial di Xinjiang. Masjid ditutup, pengajian agama dihadkan dan lebih parah lagi, simbol Islam seperti hijab dan janggut panjang dikaitkan dengan unsur ekstremisme.
Selain itu, bagi memastikan masyarakat Uyghur patuh dan mengikuti budaya nasional China, satu kem penempatan semula yang digambarkan sebagai kem latihan vokasional telah dibina. Kerajaan China mendakwa bahawa identiti masyarakat Uyghur yang berbeza ini boleh mengancam perpaduan nasionalisme dan menyuburkan radikalisme. Namun begitu, dakwaan ini mendapat bantahan meluas daripada pelbagai pihak di seluruh dunia, kerana tindakan tersebut dilihat sebagai pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia “humans right”.
Masyarakat Uyghur kini tersepit antara dua pilihan yang sukar. Jika mereka memilih untuk berasimilasi, mungkin hidup mereka akan jauh lebih mudah dan diterima dalam struktur sosial China. Namun,sebagai gantinya, mereka akan kehilangan warisan Islam, bahasa, dan tradisi yang diwarisi sejak berabad lamanya. Dalam sisi yang lain pula, jika berkeras ingin mempertahankan identiti asal, mereka bakal menghadapi pelbagai ancaman seperti penindasan, diskriminasi dan penafian hak. Situasi ini seperti “ditelan mati emak, diluah mati bapak”. Bagi masyarakat Uyghur terutamanya generasi muda mereka diajar untuk cinta akan negara, dalam masa yang sama perlu menjauhi dan meninggalkan budaya serta agama mereka sendiri.
Menjadi tanda tanya, dimanakah pemimpin-pemimpin negara Islam apabila saudara seagama kita ditindas? Apakah respon mereka terhadap situasi ini? Sayang sekali kebanyakan daripadanya mengambil langkah berdiam diri kononnya demi menjaga hubungan diplomatik dan kepentingan ekonomi negara masing-masing. Di sebalik sikap mementingkan keuntungan sendiri, masih wujud badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang bangkit dan lantang bersuara bagi menghentikan penindasan kerajaan China terhadap masyarakat Uyghur. Bagi umat Islam, penderitaan Uyghur bukan isu politik semata-mata, tetapi cerminan cabaran mempertahankan maruah dan kebebasan beragama dalam dunia moden yang serba kompleks.
Islam sebagai agama yang syumul, amat mementingkan keadilan dan ukhuwah. Junjungan besar Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk menghormati dan tidak menindas bangsa lain. Hal ini dapat dilihat apabila Baginda memberi kebebasan kepada kaum Yahudi dan Nasrani untuk mengamalkan budaya dan agama mereka ketika Baginda memimpin di Madinah. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 10 bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu.”
Ayat ini seharusnya menjadi prinsip kita untuk saling peduli terhadap nasib saudara seagama, tanpa mengira sempadan politik atau bangsa. Dalam konteks ini, sokongan terhadap Uyghur tidak harus dilihat sebagai campur tangan politik, tetapi sebagai tanggungjawab moral untuk mempertahankan nilai kemanusiaan.
Isu Uyghur telah mengajarkan kita bahawa dalam usaha membangun negara moden, kita telah mengabaikan kepelbagaian hanya untuk mencapai kesatuan. Tindakan penghapusan budaya atau “culture genoside” yang berselindung di sebalik dasar asimilasi merupakan suatu tindakan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan. Sebaliknya,kita perlu menghargai kepelbagaian yang ada kerana itulah yang menjadikan dunia ini penuh dengan warna warni dan harmoni.
Kita seharusnya melihat perjuangan Uyghur bukan sebagai satu penentangan atau radikal, malah melambangkan semangat cinta akan asal-usul dan harga diri. Di sebalik penindasan ini,adanya jiwa-jiwa yang hanya ingin hidup dalam keamanan dengan identiti sendiri. Sudah saatnya kita bertanya kepada diri sendiri, sejauh manakah dunia ini benar-benar menghormati hak untuk menjadi diri sendiri?
Marilah kita bersama-sama menghargai kepelbagaian dan mempertahankan hak setiap bangsa untuk menjadi diri mereka sendiri.







Leave a Reply