KECANGGIHAN teknologi dan ledakan media sosial menjadikan dunia tanpa sempadan kini sebahagian daripada kehidupan remaja. Platform seperti TikTok, Instagram dan X (Twitter) bukan lagi sekadar ruang hiburan, malah menjadi tempat membina identiti diri. Namun, di sebalik keseronokan dunia maya ini, muncul satu fenomena membimbangkan trend berbahaya yang menggugat nilai moral dan akhlak remaja.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pelbagai trend video tidak sopan seperti trend di TikTok ‘I know ball’ , trend dengan kekasih bukan mahram semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda. Bagi sebahagian mereka, jumlah tontonan dan tanda ‘like’ menjadi ukuran nilai diri. Ada yang sanggup mempertaruhkan maruah diri semata-mata untuk meraih perhatian serta populariti di alam maya.
Fenomena ini menggambarkan bagaimana sebahagian remaja telah hilang arah dalam menilai moral dan adab. Islam menegaskan bahawa kebebasan tanpa panduan iman boleh membawa kepada kerosakan jiwa. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat 36 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.”
Ayat ini jelas menegur sikap terburu-buru dalam melakukan sesuatu tanpa ilmu dan pertimbangan, termasuk tindakan di alam maya. Remaja perlu sedar bahawa setiap perbuatan walau dilakukan secara digital tetap mempunyai akibat dan akan dipersoalkan.
Dunia maya kini bukan sahaja menjadi ruang perkongsian maklumat, tetapi juga tempat menyemai pengaruh yang boleh membentuk cara berfikir dan tingkah laku. Apabila trend negatif dinormalisasikan, nilai malu dan adab semakin terhakis. Inilah yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: “Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu.” (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini memberi peringatan bahawa hilangnya rasa malu adalah tanda runtuhnya iman dan akhlak. Dalam konteks dunia digital, rasa malu bukan sekadar soal berpakaian atau perkataan, tetapi juga tentang apa yang dikongsi, ditonton, dan disebarkan. Oleh itu, setiap individu perlu berfikir sejenak sebelum menekan butang ‘share’ atau memuat naik sesuatu video. Peranan ibu bapa, guru dan masyarakat amat penting dalam membimbing generasi muda memahami batas yang ditetapkan agama.
Ibu bapa perlu mendekati anak-anak secara hikmah, bukan dengan hukuman semata-mata. Komunikasi terbuka dan teladan baik lebih berkesan dalam membentuk disiplin digital. Guru pula harus menanamkan kesedaran bahawa dunia maya bukan ruang untuk berseronok tanpa batas, tetapi platform yang perlu diurus dengan bijak dan beretika.
Selain itu, pengguna media sosial Muslim harus kembali kepada prinsip ihsan iaitu berbuat baik dan kesedaran diri saat berinteraksi di platform digital dengan mengutamakan niat yang baik dan akhlak yang mulia walaupun tidak dilihat manusia. Ini termasuk berhati-hati dalam meninggalkan jejak digital. Setiap perkongsian mencerminkan siapa kita di sisi Allah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu Maha Melihat apa yang kamu lakukan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Justeru, remaja perlu dididik untuk menggunakan teknologi sebagai alat menambah ilmu, menyebarkan kebaikan dan menguatkan ukhuwah, bukannya menjadi mangsa trend yang melalaikan.
Dalam dunia serba canggih ini, kesedaran digital berasaskan nilai Islam perlu dipupuk sejak di bangku sekolah. Apabila iman menjadi asas utama, remaja akan lebih berhati-hati dalam menilai setiap trend dan tidak mudah hanyut dengan pengaruh luar.
Sebagaimana pesan para ulama, “Ilmu tanpa akhlak ibarat pokok tanpa buah.” Begitu juga teknologi yang tidak berpaksikan nilai iman akan membawa mudarat kepada manusia. Oleh itu, sudah tiba masanya masyarakat berganding bahu memperkukuh pendidikan rohani dan literasi digital dalam kalangan anak muda agar dunia maya menjadi ruang untuk menyebarkan kebaikan, bukannya wadah yang memusnahkan akhlak dan nilai kemanusiaan.







Leave a Reply