BELAKANGAN ini, negara dikejutkan dengan pelbagai laporan membabitkan pelajar sekolah yang tular di laman sosial. Tragedi sebegini bukan sekadar menggambarkan peningkatan kes gejala sosial, tetapi menzahirkan hakikat bahawa krisis moral dan akhlak generasi muda kini berada pada tahap yang membimbangkan. Lebih parah, insiden melibatkan empat pelajar baru-baru ini memperlihatkan betapa rapuhnya benteng iman dan maruah dalam kalangan remaja Islam. Fenomena ini menimbulkan persoalan besar terhadap keutuhan sistem pendidikan, institusi keluarga dan peranan masyarakat Islam secara keseluruhannya.
Apabila remaja Islam mula terjebak dalam pergaulan bebas dan zina sebelum mencapai kematangan akal dan jiwa, hal ini menjadi petanda bahawa nilai haya’ (malu), taqwa dan tanggungjawab sosial semakin luntur. Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa fenomena zina akan membawa kepada kebinasaan. Justeru, gejala zina yang semakin membarah dalam kalangan remaja sekolah bukan sekadar isu disiplin, tetapi tanda jelas keruntuhan akidah dan kemerosotan nilai Islam dalam kehidupan seharian. Maka, timbul tanda tanya: siapa sebenarnya yang gagal mendidik mereka?
Persoalan ini membawa kita kepada hakikat yang lebih mendalam bahawa keruntuhan akhlak remaja bukan semata-mata berpunca daripada kelemahan sistem pendidikan, tetapi bermula daripada asas pembentukan moral di rumah dan persekitaran sosial. Tanpa bimbingan yang kukuh di rumah yang sepatutnya menjadi madrasah pertama remaja cenderung mencari pedoman di tempat yang salah, lalu terjebak dalam gaya hidup bebas yang merosakkan akhlak dan jati diri.
Hari ini, kebanyakkan ibu bapa lebih kenal jadual mesyuarat sehingga mengabaikan didikan agama yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak. Hal ini secara langsung memperlihat kelemahan sesebuah institusi keluarga. Manakan tidak, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Nilai dan tingkah laku anak-anak mencerminkan cara didikan serta perhatian yang mereka terima di rumah. Janganlah kita terhantuk baru terngadah.
Ketika itu tiada gunanya lagi menuding jari kepada pihak lain sekiranya anak-anak ini mula terpesong dari landasan moral yang sebenar lalu mencari arah kehidupan melalui dunia digital yang sering mengaburkan batas antara halal dan haram. Hakikatnya, kita sendiri sebagai ibu bapa tidak boleh leka dalam menjalankan amanah yang diberikan Ilahi kerana leka sesaat, binasa sepanjang hayat; Bila iman goyah, generasi pun rebah.
Jika diperincikan dalam konteks pendidikan di sekolah, sistem pendidikan yang sedia ada di negara kita terlalu menumpukan kepada pencapaian akademik dan hafalan teori agama tanpa menekankan penghayatan nilai dan amalan. Remaja pula dipenuhi dengan sifat ingin tahu yang membuak-buak dalam diri, yang mampu mempengaruhi tindak-tanduk mereka dalam membuat sesuatu keputusan.
Jika pembelajaran di dalam kelas tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian sebagai amalan, maka pihak sekolah perlu memikul tanggungjawab dalam merencana dan memastikan pusat pendidikan menjadi tempat pengintegrasian antara ilmu, nilai dan amalan, agar pengetahuan yang diperoleh bukan sekadar teori tetapi dihayati serta diamalkan dalam membentuk keperibadian pelajar yang seimbang dari aspek intelektual, spiritual dan emosi.
Justeru, pendidikan seharusnya tidak hanya diukur melalui gred dan pencapaian akademik semata-mata, tetapi bagaimana nilai dan ilmu itu menjadi teras dalam pembentukan dan keperibadian sahsiah remaja sekolah. Seperti peribahasa Melayu menyebut, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, usaha pihak sekolah memperkukuh sistem pendidikan yang berteraskan nilai moral dan spiritual tidak boleh hanya tinggal sebagai retorik, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan pelaksanaan yang nyata.
Sepertimana yang tular dalam keratan akhbar mahupun media sosial berkaitan kes-kes buli, pembunuhan mahupun kes rogol, kita dapat lihat bagaimana nilai kemanusiaan dan akhlak dalam kalangan remaja kian terhakis hingga sanggup
melakukan perbuatan di luar batas moral dan agama. Boleh dikatakan bahawa generasi zaman kini hidup dalam dunia teknologi tanpa sempadan dan terdedah dengan pelbagai pengaruh yang disajikan kepada mereka antaranya permainan video, hiburan moden dan fahaman sekuralisme.
Oleh itu, tidak hairanlah jika remaja hari ini semakin jauh daripada landasan nilai akhlak Islam, kerana sistem pendidikan dan persekitaran sosial mereka tidak lagi berteraskan tarbiah rohani yang seimbang. Tanpa disedari, fahaman sekularisme sebenarnya mula menyerap secara halus dalam minda remaja. Disebabkan itulah, remaja mula melihat maksiat dan pergaulan bebas bukan suatu kesalahan sosial, bahkan dianggap sebagai normalisai yang boleh diterjemahkan melalui tindakan.
Malah, ada yang berbangga menonjolkan gaya hidup bertentangan dengan syariat Islam di media sosial. Lebih membimbangkan, kecenderungan algoritma media sosial yang mengutamakan kandungan sensasi telah membuka luas ruang penyebaran bahan yang tidak bermoral. Hal ini menyebabkan sesuatu yang dahulunya dianggap mengaibkan kini menjadi tontonan umum tanpa rasa segan atau bersalah. Fenomena ini jelas menggambarkan bahawa krisis akhlak yang berlaku bukan sekadar masalah disiplin remaja, tetapi keruntuhan nilai agama akibat fahaman sekular dan liberal yang semakin berakar dalam budaya moden.
Dalam menghadapi dunia yang sarat dengan cabaran sosial, tanggungjawab mendidik generasi ini seharusnya dipikul bersama. Semua pihak perlu mengambil pendekatan secara kolaboratif dalam menyemai nilai-nilai murni Islam dalam jiwa remaja bermula daripada peringkat akar umbi. Jika kes-kes ini tidak dipulihkan secara berperingkat bermula dari rumah sehinggalah ke peringkat sekolah, tidak mustahil suatu hari nanti keruntuhan akhlak akan menjadi budaya yang sukar dibendung.
Pada waktu itu, penyesalan tidak lagi mampu memperbaiki keadaan, ibarat nasi sudah menjadi bubur. Oleh demikian, hanya dengan kembali kepada penghayatan sirah dan akhlak Rasulullah S.A.W. mampu mendidik dan membimbing remaja pada hari ini daripada terus tenggelam dalam gelombang kerosakan moral. Usaha membina generasi ummah berteraskan iman dan takwa bukan lagi satu pilihan namun adalah keperluan demi nilai, maruah dan masa depan umat Islam.







Leave a Reply