PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan bahawa beliau akan menjadi penentu kepada hala tuju penyelesaian konflik jangka panjang antara Palestin dan Israel, sama ada melalui pendekatan satu negara atau dua negara. Kenyataan itu dibuat selepas lawatannya ke Asia Barat baru-baru ini, di mana beliau menandatangani satu deklarasi damai bersama beberapa pemimpin serantau.
Trump menggambarkan deklarasi tersebut yang dimeterai bersama Mesir, Turkiye dan Qatar sebagai satu detik bersejarah. Ia berlaku sejurus selepas pertukaran tahanan antara pihak bertelagah, dan menurut beliau, perjanjian ini menandakan permulaan baru kepada keamanan di rantau yang telah lama dilanda peperangan.
“Saya percaya kita sedang menyaksikan sesuatu yang dahulunya mustahil kini menjadi kenyataan. Rantau ini akhirnya menemui sinar keamanan,” ujar Trump dalam satu sidang kemuncak di Sharm el-Sheikh, Mesir.
Bagaimanapun, deklarasi itu mengejutkan banyak pihak kerana tidak melibatkan penyertaan langsung daripada Palestin dan Israel, walaupun kedua-duanya adalah pihak utama dalam konflik
Situasi menjadi lebih hangat apabila Trump menyampaikan ucapan di Parlimen Israel (Knesset), di mana beliau disambut dengan pelbagai reaksi termasuk kritikan hebat. Ucapan itu, yang memuji pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan menyarankan agar beliau diberi pengampunan atas kes rasuah, disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai ‘membelakangi penderitaan rakyat Palestin’.
Trump turut berbangga dengan sokongan ketenteraan yang diberikan oleh Washington kepada Israel, yang mencetuskan kemarahan banyak pihak, termasuk dua anggota Parlimen Israel yang membawa sepanduk menggesa pengiktirafan negara Palestin sebelum diarah keluar dari dewan.
Seorang wartawan dari DropSiteNews, Jeremy Scahill, mengulas bahawa suasana di Knesset seakan menyambut jenayah perang, kerana individu yang bertanggungjawab dalam konflik Gaza saling memuji antara satu sama lain.
Ramai persoal Tony Blair diumum sertai badan damai Gaza
Pengumuman Trump untuk menubuhkan sebuah badan antarabangsa yang dinamakan “Lembaga Keamanan” (Board of Peace) bagi mengurus peralihan di Gaza turut mengundang kontroversi khususnya selepas beliau melantik bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair sebagai anggota pertama lembaga tersebut.
Blair yang pernah memainkan peranan penting dalam menyokong campur tangan ketenteraan AS di Iraq pada 2003, dilihat oleh ramai penganalisis sebagai tokoh yang tidak sesuai untuk menggalas tanggungjawab keamanan di Asia Barat.
Pengarah Institut Pengajian Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS) dari UIAM, Prof Dr Phar Kim Beng, menyifatkan pelantikan Blair sebagai langkah yang tidak peka terhadap sensitiviti dunia Arab.
“Blair bukan tokoh yang serasi dengan aspirasi rakyat di rantau ini. Malah, berdasarkan pendedahan WikiLeaks, beliau dikaitkan dengan peranan utama dalam mendorong Amerika Syarikat memulakan Perang Iraq. Ini bukan rekod yang melayakkan beliau menjadi pengantara damai,” kata beliau.
Sementara itu, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dari Universiti Utara Malaysia turut berkongsi pandangan serupa. Beliau menekankan bahawa pelantikan Blair menyebabkan ramai pihak bersikap berhati-hati terhadap keseluruhan pelan damai yang dikemukakan oleh Trump.
“Tony Blair mempunyai sejarah yang sukar dilupakan. Ramai yang masih ingat peranannya dalam krisis Iraq. Oleh itu, langkah untuk melantiknya dalam Lembaga Keamanan ini boleh melemahkan keyakinan terhadap pelan perdamaian yang diusahakan Trump,” jelas beliau.
Lembaga Keamanan ini dijangka bertanggungjawab memantau pentadbiran sementara Gaza sekiranya gencatan senjata dapat dikekalkan. Namun, dengan pemilihan individu yang dilihat kontroversi, ramai mempersoalkan sama ada usaha ini benar-benar menjurus ke arah keamanan — atau sekadar satu lagi agenda politik kuasa besar.







Leave a Reply