
PERSATUAN Alumni Universiti-universiti Malaysia di Thailand (MUAT) boleh memainkan peranan penting dalam mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara kedua-dua negara, khususnya rakyat di wilayah dan negeri bersempadan.
Konsul General Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, MUAT juga boleh menjadi jambatan antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, terutama pendidikan, keusahawanan, kebajikan, atau diplomasi rakyat.
Beliau yakin dengan kematangan alumni yang kebanyakannya sekarang adalah profesional dalam pelbagai bidang, termasuk menjadi profesor dan ahli perniagaan, jaringan kerjasama itu boleh dipereratkan lagi.

“Usaha MUAT bukan sahaja menyatukan para alumni, malah memperkukuh hubungan silaturrahim antara Malaysia dan Thailand melalui jaringan pendidikan dan profesional.
“MUAt melambangkan kematangan, visi baharu dan semangat baharu dalam kalangan alumni universiti-universiti Malaysia di Thailand,” katanya merasmikan forum bertemakan “From MUAA to MUAT: Overcoming Challenges Towards a Glorious Future.”
Katanya, MUAT bukan sekadar platform nostalgia, tetapi wadah untuk kolaborasi strategik, pembangunan masyarakat, dan perkongsian ilmu merentas sempadan bagi membina masa depan yang lebih gemilang dan inklusif.
“Kita sedar bahawa dunia hari ini penuh dengan cabaran — dari segi ekonomi, teknologi, mahupun sosial. Namun, setiap cabaran juga hadir dengan peluang.
“Sebagai alumni universiti-universiti Malaysia, kita telah ditempa dengan nilai ilmu, integriti, dan semangat kepimpinan.
“Justeru, inilah masanya untuk kita menggunakan kekuatan jaringan alumni untuk menyumbang semula — sama ada dalam bidang pendidikan, keusahawanan, kebajikan, atau diplomasi rakyat.





“MUAT boleh menjadi jambatan, bukan sahaja antara Malaysia dan Thailand, tetapi juga antara generasi alumni lama dan baharu. Melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran, kita mampu membentuk satu ekosistem sokongan yang berterusan dan berdaya tahan,” katanya lagi.
Pada forum itu beberapa isu dibangkitkan, khususnya biasiswa pengajian yang melibatkan pelajar Thailand yang ingin melanjutkan pelajaran di universiti-universiti di Malaysia.
Ahmad Fahmi turut menjelaskan bahawa kebanyakan universiti di Malaysia menawarkan biasiswa kepada pelajar asing, termasuk dari Thailand.
“Bagaimanapun, kemungkinan ramai yang tidak mengetahuinya maka mereka terlepas pandang dan tidak memohon. Tapi memang ada biasiswa disediakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta MUAT bekerjasama dengan universiti-universiti di Malaysia dalam meuar-uarkan biasiswa itu kepada pelajar di Thailand, khususnya di Selatan Thai.
“Bagi pihak pejabat konsulat, kami juga boleh memberi bantuan untuk mempromosikan biasiswa daripada universiti-universiti di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Penolong Menteri Pendidikan Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand (MHESI), Dr Phetdao Tohmina, berkata kenaikan kos pengajian menyebabkan jumlah pelajar dari Selatan Thai yang melanjutkan pengajian di beberapa universiti di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor, semakin berkurangan.
Beliau berkata antara sebab lain ialah kekurangan tawaran biasiswa daripada universiti di Malaysia kepada pelajar di Selatan Thai.







“Nisbah berkurangan itu adalah sehingga lebih 50 peratus. MHESI hanya menyediakan biasiswa kepada pensyarah universiti tempatan yang mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di luar negara, termasuk Malaysia, katanya ketika ditemui selepas forum berkenaan.
Beliau berkata, kementeriannya tidak menyediakan biasiswa kepada pelajar baharu untuk menyambung pendidikan, sebaliknya ia hanya untuk pengajian lebih tinggi termasuk ijazah kedoktoran.
“Pelajar Thailand yang belajar di Malaysia menanggung sendiri kos mereka atau mendapat tawaran biasaswa daripada universiti-universiti di Malaysia.
“Disebabkan sekarang ini kos pengajian meningkat tinggi jumlah pelajar ke Malaysia berkurangan lebih 50 peratus berbanding beberapa tahun lalu,” katanya kepada media Malaysia.
Dr Phetdao yang juga bekas Ahli Parlimen Pattani (Kawasan 1) turut berharap lebih banyak universiti di Malaysia menawarkan biasiswa kepada pelajar di Selatan Thai untuk melanjurkan pengajian.
Pada majlis berkenaan 50 murid terdiri daripada anak yatim dan miskin menerima sumbangan makanan serta wang tunai daripada MUAT.
Selain itu, solat hajat memohon keamanan dan kesejahteraan di wilayah Selatan Thai turut dilakukan.






Leave a Reply