Oleh Wartawan ApaKhabarTV

Seramai 23 mahasiswa Universiti Malaya baru-baru ini menyertai program mobiliti antarabangsa NEXUS Mobility 2025 di Universitas Brawijaya (UB), Malang, Indonesia, selama enam hari.

Program ini dianjurkan oleh Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, khusus untuk pelajar Fakulti Kejuruteraan UM, dan turut disertai oleh pelajar dari fakulti lain serta pihak pengurusan kolej. NEXUS yang merujuk kepada Network for Engineers, Cross-cultural Understanding and Student Mobility, direka bagi memberikan pendedahan antarabangsa dalam bidang akademik dan kebudayaan.

Matlamat utama program ini ialah untuk memperkukuh ilmu kejuruteraan, memupuk pemahaman rentas budaya dan menjalin kerjasama jangka panjang antara UM dan institusi serantau. Program ini turut menerima sokongan pembiayaan daripada Fakulti Kejuruteraan, UM.

Dr. Mohd Izzudin Izzat bin Zainal Abidin, pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan yang juga penyelaras utama program, memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran perjalanan dan hubungan antara kedua-dua institusi.

“Program ini bukan sekadar tentang ilmu teknikal. Ia juga membuka peluang kepada pelajar untuk belajar beradaptasi, membina keyakinan, dan memahami budaya yang berbeza,” kata Dr. Izzudin.

Sepanjang program, peserta menghadiri sesi perkongsian akademik bersama pensyarah UM dan UB yang menyentuh penyelidikan semasa dalam bidang kecerdasan buatan interaktif dan diagnosis perubatan berasaskan AI. Mereka turut dibawa melawat makmal kejuruteraan UB, termasuk makmal sumber air, kejuruteraan awam dan kimia.

Di luar kampus, pelajar dibawa melawat beberapa lokasi penting. Antaranya ialah Perum Jasa Tirta I, sebuah agensi utama pengurusan sumber air di Indonesia. Di sana, pelajar didedahkan kepada operasi pengurusan empangan, kawalan banjir, pengairan dan bekalan air bersih. Mereka juga melawat bilik kawalan utama untuk melihat bagaimana sistem pemantauan paras air dijalankan secara masa nyata.

Pengalaman budaya turut diberi penekanan. Pelajar menyertai bengkel pembuatan batik bersama artisan tempatan, melawat pusat agro-edukasi di Batu untuk mempelajari tentang amalan pertanian lestari, termasuk pemerahan susu lembu dan penternakan lebah madu.

Salah satu kenangan paling bermakna bagi peserta ialah lawatan tengah malam ke Gunung Bromo. Mereka bertolak pada jam 12 pagi dan menyaksikan matahari terbit bersama fasilitator UB di kawasan pergunungan yang menakjubkan.

Aqmmal Faiiz bin Ali Shaiffudin, pengarah pelajar program NEXUS, berkata bahawa pendekatan yang seimbang antara pembelajaran dan pengalaman amat penting.

“Kami mahu setiap peserta pulang bukan sahaja dengan ilmu baharu, tetapi juga dengan kenangan dan kefahaman yang lebih luas tentang dunia luar,” katanya.

Program ini membuktikan bahawa kerjasama serantau dalam pendidikan tinggi mampu memberi impak yang besar kepada pembangunan pelajar. Ia juga membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan, pertukaran kakitangan, dan program mobiliti masa depan antara UM dan Universitas Brawijaya.

NEXUS Mobility 2025 menjadi contoh bagaimana pembelajaran yang bermakna boleh berlaku apabila pelajar diberi peluang untuk melangkah keluar dan melihat dunia dari sudut yang berbeza.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Dr. Mohd Izzudin Izzat bin Zainal Abidin, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya di izzudinizzat@um.edu.my

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading