PETALING JAYA: Budaya menikmati kopi bukan lagi sekadar trend, ia kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat. Minat terhadap kopi tempatan semakin berkembang, bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan malah turut menarik perhatian pelancong dari luar negara.
Bagi memperkenal serta meraikan keunikan kopi tempatan Selangor, Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor akan menganjurkan Festival Kopi Selangor (SELCOFF) 2025, yang akan berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober 2025 bertempat di The Curve, Damansara, Petaling Jaya.
Penganjuran SELCOFF 2025 akan menghimpunkan lebih daripada 30 jenama dan pengusaha kopi tempatan dari kesemua sembilan daerah di Selangor, selain penyertaan pemain industri antarabangsa dari Vietnam, Indonesia, Singapura dan beberapa negara serantau lain.
Festival ini turut menjadi platform untuk perkongsian ilmu, teknologi, dan teknik penyediaan kopi terkini dalam kalangan komuniti kopi serantau.
Menurut Chua Yee Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, acara ini bukan sekadar perayaan budaya kopi, tetapi juga menjadi ruang penting untuk peniaga, pengusaha kafe, pembekal biji kopi, barista serta komuniti kopi meneliti perkembangan terkini dalam teknologi, inovasi dan trend global industri ini.
“SELCOFF 2025 akan menjadi pentas utama bagi memperkenalkan jenama kopi tempatan kepada pasaran serantau dan global, di samping mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab kopi dan destinasi pelancongan gaya hidup utama di Malaysia dan Asia Tenggara,” tambah beliau.
Antara acara menarik sepanjang festival termasuk pameran kopi, pertandingan barista, bengkel dan forum industri, serta aktiviti interaktif untuk pengunjung. Acara kemuncak, ASEAN Barista Championship juga akan diadakan, mempertemukan barista terbaik Asia Tenggara dalam saingan serantau yang memberi peluang kepada barista tempatan menimba pengalaman dan ilmu daripada pakar kopi antarabangsa.
Selain aktiviti berkaitan kopi, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti dan hiburan sepanjang festival berlangsung. Antara tarikan utama termasuk konsert Istimewa menampilkan barisan artis popular seperti Aizat Amdan, Bunga Isme dan Tam Spider, yang bakal menghidupkan suasana malam dengan persembahan muzik menarik.
Festival ini turut menyediakan gelanggang pickleball percuma untuk orang awam, sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan pengunjung.
Penganjuran SELCOFF 2025 turut diselaraskan dengan aspirasi Tahun Melawat Selangor 2025 di bawah tema Selangor Kan Ada, yang memberi penekanan terhadap pelancongan gaya hidup, gastronomi serta acara bertaraf antarabangsa.
Festival ini menyasarkan kehadiran lebih 30,000 pengunjung, merangkumi komuniti pencinta kopi, penggiat industri, barista profesional, usahawan muda serta pelancong tempatan dan antarabangsa.






Leave a Reply