Oleh Thirachet Kanokphon

TENTERA Wilayah 4 Thailand akan menggunakan pendekatan lebih dinamik dalam usaha meredakan pergolakan di Selatan Thai, khususnya konflik bersenjata yang melibatkan wilayah sempadan selatan atau ‘Deep South’.

Pendekatan itu diambil kira setelah Panglima Tentera Wilayah 4 yang baharu, Lt Jeneral Narathip Poynok menyatakan bahawa wilayah ‘Deep South’ bukan medan perang.

Deep South adalah kawasan bergolak di mana serangan terhadap pasukan keselamatan dan orang awam kerap berlaku. Ia meliputi tiga wilayah iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani, serta empat daerah di Wilayah Songkhla – Na Thawi, Tepha, Channa dan Saba Yoi.

Lt Jeneral Paisarn Nusang (kiri) dan Lt Jeneral Narathip Poynok pada majlis serah terima tugas di Kem Sirindhorn, Mukim Khao Tum, Yarang, Pattani, semalam (30 September 2025).

Sembilan pendekatan diambil kira untuk tujuan itu ialah:

  1. Kawalan kawasan dan penguatkuasaan undang-undang;
  2. Pencegahan dan pembanterasan dadah;
  3. Memupuk dan memperkukuh keharmonian hidup bersama dalam masyarakat majmuk;
  4. Pembinaan kefahaman masyarakat;
  5. Integrasi keselamatan dan pembangunan;
  6. Pembangunan anggota;
  7. Perisikan;
  8. Operasi strategik; dan
  9. Hubungan masyarakat serta hal ehwal khas.

Narathip yang sebelum ini adalah Timbalan Panglima Tentera Wilayah 2 Thailand dan turut terlibat dalam pertempuran dengan askar Kemboja baru-baru ini, menggantikan Lt Jeneral Paisarn Nusang yang dilantik menjadi salah seorang Penasihat Angkatan Tentera Diraja Thailand, berkuat kuasa hari ini (1 Oktober 2025).

Dalam ucapan pada majlis serah terima tugas di di Kem Sirindhorn, Mukim Khao Tum, Yarang, Pattani, semalam, Narathip berkata wilayah sempadan selatan adalah kawasan di mana usaha dilakukan bagi mencegah pergolakan, bukannya medan perang.

Beliau memberi jaminan untuk menggunakan persefahaman dengan pihak penentang dan penduduk tempatan bagi memulihkan keamanan, tanpa menggunakan keganasan.

Panglima Tentera Wilayah 4 Thailand, Lt Jeneral Narathip Poynok.

“Kenyataan (bukan medan perang) berpunca daripada beberapa orang lama termasuk empat komander tentera sebelum ini.

“Dapat disimpulkan bahawa wilayah sempadan selatan ini tidak dikategorikan sebagai kawasan ‘bertempur dengan musuh’ yang memerlukan kekuatan tentera.

“Sebaliknya, masalah di kawasan ini hanyalah ‘mencegah pergolakan yang mungkin timbul kumpulan yang berbeza pendapat’. Oleh itu, kaedah pengurusan mestilah berbeza,” kata Narathip.

“Sesetengah pihak berkata ‘kenapa tidak gempur dan tembak sahaja? Tetapi saya harus tekankan bahawa pemikiran sedemikian boleh membawa kepada banyak masalah. Oleh itu, setiap penyelesaian mesti difikirkan dan dilaksanakan secara beransur-ansur,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) turut berjanji untuk meneruskan dasar dan prinsip yang baik, selain terus berusaha mewujudkan keamanan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sambil berjanji menggunakan pengalamannya untuk menyelesaikan masalah di wilayah sempadan selatan, Narathip turut menekankan pembinaan persefahaman dalam kalangan rakyat akar umbi, dan masyarakat, dengan kerjasama semua sektor.

Matlamat akhirnya ialah memastikan kelangsungan misi ke arah pencapaian ‘zon bebas konflik, rakyat hidup dengan selamat dan sejahtera secara berterusan’.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading