
AHLI Parlimen Narathiwat (Kawasan 5), Kamonsak Leewamoh mengkritik keras dasar Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dalam usaha menamatkan konflik Selatan Thai yang berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu.
Beliau menyifatkan kenyataan tiga setengah baris Anutin menunjukkan tidak ada usaha bersungguh-sungguh bagi menyelesaikannya secara tuntas konflik di sempadan selatan atau lebih dikenali sebagai ‘Deep South’.
Deep South adalah kawasan bergolak di mana serangan terhadap pasukan keselamatan dan orang awam kerap berlaku. Ia meliputi tiga wilayah iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani, serta empat daerah di Wilayah Songkhla – Na Thawi, Tepha, Channa dan Saba Yoi.

Bercakap pada sidang Parlimen Thailand semalam, Kamonsak yang juga dikenali sebagai Wan Johan berkata, beliau kurang yakin dengan dasar kerajaan Anutin untuk mencari penyelesaian konflik itu.
“Saya tidak boleh bertahan lagi. Saya langsung tidak yakin dengan kerajaan anda (Anutin),” katanya merujuk kepada pergolakan selama lebih 20 tahun yang hanya disebut dalam kenyataan tiga setengah baris kerajaan Anutin.
Kerajaan pentadbiran Anutin dalam kenyataan berkaitan konflik Selatan Thai sebelum ini menyatakan:
“Mempercepatkan penyelesaian masalah di wilayah sempadan selatan. Kerajaan akan mempercepatkan pelarasan operasi untuk mencapai hasil yang ketara dalam mewujudkan persekitaran yang selamat bagi kehidupan dan harta benda rakyat, di samping pembangunan serta meningkatkan ekonomi mampan bagi kualiti hidup penduduk di kawasan itu.”
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan pimpinan Anutin menangani segera konflik Deep South, termasuk menubuhkan jawatankuasa bagi meneruskan rundingan damai dengan pergerakan pejuang Selatan Thai.
“Krajaan perlu mengambil tindakan segera menangani isu tersebut tanpa berlengah-lengah seperti meneruskan dasar-dasar baik kerajaan terdahulu, melantik jawatankuasa rundingan damai yang telah pun disediakan, atau menggunakan laporan Jawatankuasa Khas Proses Damai yang telah mengambil masa dua tahun untuk dikaji,” katanya.
Mengulas kenyataan dasar Anutin yang mendakwa kerajaan baharu mempunyai masa yang terhad dan tidak merangka bajet, Wan Johan berkata, tugas cabang eksekutif adalah untuk menyelesaikan masalah negara tanpa kekangan masa.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Thailand membangkitkan isu dadah.
“Adakah anda (kerajaan Anutin) akan kekal mengesahkan ganja sebagai narkotik terlarang?
“Bagaimana anda akan menangani masalah yang dihadapi oleh lebih 80% pelabur dalam penanaman ganja yang telah mengalami kerugian?,” soal beliau.
Menurut Wan Johan sejak ganja dibenarkan di Thailand pada 2022, wabak dadah menjadi semakin teruk.
Beliau juga mendedahkan data yang mengejutkan iaitu negara asing melihat negara ini sebagai tempat pengeluaran dadah utama, dengan banyak negara melaporkan kepada pihak berkuasa Thai sejumlah besar penyeludupan dadah dari Thailand.
“Selepas undang-undang menghalalkan ganja, import dadah itu ke China naik sebanyak 213.3%. United Kingdom dan India turut mengalami masalah yang sama,” katanya.






Leave a Reply