NARATHIWAT: Ribuan pelancong Malaysia dan penduduk tempatan membanjiri beberapa jalan utama di bandar ini bagi menyaksikan pelancaran Festival Produk Terbaik Wilayah Narathiwat kali ke-48 tahun ini yang diadakan secara besar-besaran, semalam (13 September 2025).

Pelbagai program dengan tema “Identiti Tersendiri 13 Daerah,” akan berlangsung selama 10 hari. Ia bermula dengan perarakan kereta berhias secara besar-besaran sejak petang semalam hingga malam tadi.

Walaupun, hujan lebat sebelum acara bermula, orang ramai termasuk pelancong Malaysia yang sedang bercuti di wilayah ini tidak melepaskan peluang menyaksikan perarakan yang menampilkan pelbagai jenis kereta berhias.

Pelancaran festival melibatkan 13 daerah dalam Wilayah Narathiwat dilakukan pemangku Gabenor, Leftenan Kolonel Trakul Thotham.

Perbarisan dan perarakan bermula di sepanjang Jalan Suriya Pradit dan berakhir di Taman Ulang Tahun Ke-60 Chalermprakiat (Taman Burung).

Perbarisan dimulakan dengan perarakan bendera negara dan bendera wilayah Narathiwat, diikuti dengan perarakan beberapa piala yang akan dipertandingkan sepanjang pesta diadakan.

Ini diikuti dengan perarakan kebudayaan eksekutif wilayah di mana peserta memakai kostum zaman pemerintahan Raja Rama VI, yang menganugerahkan nama “Narathiwat,” yang bermaksud “rumah orang baik.”

Perarakan turut menampilkan pelbagai budaya dari semua 13 daerah sekali gus mempamerkan keindahan dan identiti kepelbagaian budaya Wilayah Narathiwat.

Ramai yang datang menyaksikan acara mengagumi perarakan yang indah dan menakjubkan. Pesta itu turut mempromosikan imej cantik dan identiti budaya penduduk tempatan, seterusnya mempromosikan sektor pelancongan di Wilayah Narathiwat.

Paparan cahaya, bunyi dan multimedia, bersama-sama dengan pertunjukan 110 bunga api melambangkan ulang tahun ke-110 bandar Narathiwat, menarik perhatian ribuan pengunjung.

Dalam ucapannya, Trakul menyatakan bahawa acara 10 hari ini adalah aktiviti penting yang mencerminkan identiti Wilayah Narathiwat dan benar-benar mewakili Narathiwat, atau Kota Orang Baik.

Katanya, akar sejarahnya bermula pada tahun 1915, apabila Raja Rama VI melawat penduduk Bang Nara dan mengeluarkan perintah diraja untuk menukar nama Bang Nara kepada “Narathiwat,” yang bermaksud “kediaman orang baik.”

“Tarikh ini telah disambut sejak 10 Jun 1915, dan tahun ini adalah ulang tahun ke-110 Narathiwat,” katanya.

Pesta ini, katanya, diadakan setiap tahun sejak 1976.

“Acara ini mempamerkan hasil kerja inisiatif diraja dan projek-projek utama yang dilaksanakan melalui pameran daripada lima jabatan.

“Majlis ini bertujuan untuk menyemai rasa kesyukuran dan bangga terhadap Wilayah Narathiwat,” katanya lagi.

Sementara itu, hadiah utama kategori keindahan bagi perarakan dan perbarisan dimenangi Daerah Waeng, diikuti Daerah Yingo dan Cho Airong (ketiga).

Bagi kategori kreativiti pula, tempat pertama dimenangi oleh Daerah Tak Bai, Daerah Mueang (kedua), dan Daerah Bacho.

Festival tahun ini dijadualkan berlangsung sehingga 22 September ini.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading