TIDAK ada tempoh tetap bagi pendakwa raya untuk memohon melanjutkan tempoh memfailkan rayuan rasmi terhadap sesuatu keputusan kes jenayah, termasuk dadah di Thailand.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand, Kamonsak Leewamoh berkata, mahkamah berhak melulus atau menolak permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh tahanan.

“Habis perbicaraan di Mahkamah Pertama, jika pendakwa raya atau peguam tidak puas hati dengan keputusan hakim, mereka akan buat rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Ini (perbicaraan kes dadah) tidak sampai ke Mahkamah Agung,” katanya..

Menjawab soalan sekiranya kes itu sampai ke peringkat Mahkamah Rayuan, beliau berkata, biasanya perbicaraan di mahkamah itu tidak lebih setahun.

“Tetapi kena ingat bahawa semuanya bergantung kepada mahkamah… tidak ada tempoh masa… mahkamah boleh buat keputusan… kalau bebas maka mereka bebas,” jelasnya lagi.

Merujuk kepada kes penyanyi dikir barat wanita asal Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, suaminya serta empat rakan mereka, beliau menjelaskan terpulang kepada mahkamah untuk membenarkan atau tidak permohonan pendakwa raya bagi melanjutkan tempoh tahanan sementara menunggu rayuan rasmi.

“Saya tidak mengikuti perkembangan kes mereka. Tetapi secara umumnya, bergantung atas mahkamah… kalau mahkamah terima alasan pendakwa raya, maka tempoh tahanan (sebelum pendakwa raya memfailkan rayuan) akan disambung sebulan demi sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Untuk rekod, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan Eda Ezrin, suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine, pada 6 Mac lalu.

Bagaimanapun, pendakwa raya memaklumkan akan memfailkan rayuan dan kesemua mereka dihantar semula ke Penjara Pusat Narathiwat. Dalam tempoh itu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwa untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan.

Susulan itu, mahkamah membenarkan permohonan pertama pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan bermula 6 Mac hingga 6 April, kedua (6 April hingga 6 Mei), ketiga (6 Mei hingga 6 Jun), keempat (10 Jun hingga 6 Julai) dan kelima (6 Julai hingga 6 Ogos). Ini bermakna semua tertuduh kekal di penjara.

Mengulas lanjut, Kamonsak yang juga Ahli Parlimen Narathiwat (Kawasan 5) berkata, mengikut undang-undang Thailand, kali pertama suspek ditangkap, mereka akan ditahan selama 48 jam di lokap balai polis, sebelum dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman.

Dikenali sebagai Wan Johan dalam kalangan penduduk Selatan Thai, beliau berkata, biasanya tempoh reman adalah selama tiga bulan bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan, dan kemudian suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Pertama.

“Berapa lama tempoh perbicaraan bergantung kepada mahkamah. Kemudian, jika mahkamah mendapati tertuduh bersalah atau sebaliknya, peguam atau pendakwa raya boleh mengemukakan permohonan penangguhan keputusan untuk memfailkan rayuan.

“Jika tidak bersalah dan tertuduh pula adalah rakyat asing, mereka tidak akan dibebaskan terus, tetapi ditahan di penjara sementara menunggu pendakwa raya memfailkan rayuan. Kalau penduduk tempatan, mereka dibebaskan dengan jaminan,” katanya.

Kamonsak yang juga pengamal undang-undang tempatan berkata, dalam tempoh menunggu rayuan rasmi itu, pendakwa raya boleh mengemukakan permohonan melanjutkan tempoh memfailkan rayuan dan kebenaran hanya diberi sebulan demi sebulan

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading