NARATHIWAT: Seorang warga Malaysia ditahan di pusat pemeriksaan Huai Kon di Wilayah Nan, Thailand yang bersempadan dengan Laos, kira-kira 1,946 kilometer dari sini – ketika cuba menyeludup 72 kilogram kristal methamphetamine, lima hari lalu (14 Julai 2025).

Tangkapan itu dilakukan kira-kira jam 5.30 petang (waktu Thailand) setelah pihak berkuasa mengesyaki sesuatu yang mencurigakan.

Komander Polis Wilayah Nan, Mejar Jeneral Dres Kalaya, berkata dadah terbabit yang dianggarkan bernilai lebih 90 juta baht (lebih RM11.81 juta) ditemukan dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) menggunakan nombor pendaftaran Malaysia dipandu lelaki terbabit.

Pihak berkuasa Thailand menggeledah kenderaan suspek rakyat Malaysia sebelum menemukan 72 kilogram dadah di sempadan Wilayah Nan, Thailand dengan Laos, 14 Julai 2025.

Katanya, penahanan itu dilakukan selepas pegawai kastam di pusat pemeriksaan berkenaan menyedari sebuah kenderaan yang mencurigakan dengan asap hitam berkepul-kepul keluar.

Menurutnya, suspek, memandu kereta Lexus dengan nombor pendaftaran WA 3313 Y, mendakwa kereta itu rosak akibat diisi bahan api yang salah di sebuah stesen minyak di Mueang Ngeun, Laos.

“Sebaik tiba di pusat pemeriksaan, dia meminta bantuan tetapi enggan menyerahkan kunci, dengan alasan kenderaan itu berkunci dan memerlukan trak penunda. Anggota penguatkuasa yang curiga, selain menyedari kenderaan itu kerap menyeberangi sempadan, kemudian menahannya untuk siasatan.

“Ketika pemeriksaan, pihak berkuasa menemui uncang teh hijau di bawah tempat duduk yang mengandungi kristal methamphetamine. Pemeriksaan lanjut mendapati lebih banyak dadah disembunyikan di dalam petak tayar ganti dan di bawah tempat duduk belakang, dengan keseluruhannya 72 beg seberat 72 kilogram.

“Kereta itu, yang dikenal pasti disewa dari Malaysia, telah melintasi sempadan beberapa kali sejak April. Ia sering pulang pada hari yang sama, tetapi dengan pemandu yang berbeza,” katanya.

Dres berkata, siasatan mendapati kenderaan itu memasuki Thailand melalui pusat pemeriksaan Sadao di Songkhla pada 11 Julai, sebelum meneruskan perjalanan ke Laos melalui pusat pemeriksaan Huai Kon di wilayah Nan, ditemani seorang lagi lelaki warga Malaysia dan seorang wanita Thailand dalam kereta berasingan.

Dadah yang dirampas daripada suspek lelaki rakyat Malaysia pada 14 Julai 2025 lalu.

Bagaimanapun, rakannya dan wanita Thailand itu tiada ketika suspek ditahan.

Suspek dituduh “mengimport dan memiliki narkotik (ais) Kategori 1 tanpa kebenaran, yang merupakan perbuatan untuk tujuan perdagangan dan menyebabkan penyebaran dalam kalangan orang ramai dan menjejaskan keselamatan negeri atau keselamatan orang awam.”

Dia diserahkan kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Chaloem Phra Kiat, Wilayah Nan, untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

Sementara itu, Gabenor Nan, Chainarong Wongyai, menjelaskan ini adalah kali pertama warga asing ditangkap menyeludup dadah merentasi sempadan.

Beliau menekankan bahawa laluan penyeludupan dadah telah beralih dari Chiang Mai dan Chiang Rai, yang mempunyai sistem keselamatan lebih ketat dan teknologi moden, ke wilayah Nan dan Loei, di mana sumbernya terhad.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading